Oleh WAN ABD RAHIM WAN MOHAMAD
SELEPAS banjir besar melanda yang dianggap juga oleh sesetengah orang sebagai bencana, atuk hanya diam.
Atuk hanya menyendiri termenung di jendela melontar pandang melihat
sekeliling. Atuk tidak banyak bercakap, hanya sesekali mulutnya
kumatkamit membaca sesuatu.
Mungkin melafas wirid atau zikir barangkali.
Petang itu, atuk berdiri di jendela terbuka melihat pohon-pohon yang
bergoyang disapu angin.
Melihat awan d berarak perlahan. Atuk melihat
sampah sarap yang berserakan ada yang tergantung terlekat di pokok dan
dahan.
Rumah atuk pun masih ada sisa-sisa lumpur yang belum
hilang. Rumah atuk agak tinggi, berada pun di tempat yang agak tinggi
yang belum pernah dinaiki air walau seinci. Tapi banjir kali ini
benar-benar memecah tradisi, namun atuk tidak anggapnya sebagai bencana
tetapi ianya sebagai rezeki yang cukup bererti.
“Ingat cu, hujan itu adalah rahmat walau ia mendatangkan banjir.
Banjir itu dikatanya bencana yang meranapkan banyak kediaman dan harta
benda. Tapi sebenarnya ia adalah rezeki yang tidak ternilai harganya.”
Atuk diam sejenak, kemudian mengambil sehelai kertas yang tertulis tangan kemudian ditatap dan dibacanya perlahan-lahan.
Banjir Di mata Basah Di hati
Dari Dabong ke Laloh
dari Laloh ke Manek Urai
singgah pula di kampung
karangan
kemudian ke kampung
pemberian
suatu pemandangan
yang amat
menyedihkan
sayu pilu dan airmata
tanpa diminta
tanpa diduga
tumpah jua…
Benarlah kata orang
ia bagaikan tsunami
setiap mata yang
memandangnya
menyentuh rasa
dugaan apakah yang
datang ini
Dari Temalir terus ke
Guchil
singgah pula di Bandar kuala krai
ah bandarnya sunyi sepi
bagai dilanda petaka
namun semua itu terselit
rahsia
kerana setiap yang
berlaku itu
adalah pemberian Tuhan
Ianya rencana yang
cukup indah
Dia memberikan yang terbaik untuk kita
bagaikan banjir di mata
namun basah di hati.
Atuk diam lagi. Dilontar pandangannya ke luar jendela. Melihat sampah
sarap yang belum terkutip. Kemudian kembali menatap kertas di tangannya.
Atuk termenung menoleh ke zaman silam, melihat zaman kegemilangan
dahulunya sebagai seorang penyair.
Benarlah kata atuk,hujan itu rahmat banjir itu hikmah.Terlalu banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik kejadian itu.
Selama hayatnya, atuk juga pernah berkata dunia ini bagaikan ranting.
Seperti burung-burung, singgah di ranting sebagai pengkalan sebelum meneruskan kehidupan.
Kita manusia pun begitu, dunia ini sebagai ranting tempat persingahan
sebelum meneruskan lagi kembara menuju ke sebuah pengkalan yang lain.
Kita datang tidak meminta tapi pergi disuruh pula.Ajaibnya kehidupan
ini. Kehidupan ini disediakan hanya untuk orang-orang yang mengerti.
Setiap saat adalah perjuangan, setiap saat adalah kesabaran walau dalam
bentuk apa sekali pun.
Alif masih ingat ketika bersama
atuknya.Atuk juga pernah berkata, kita ini bagaikan sebuah alam,bukit
dan gunung sebagai pasaknya demikian otak dan akal yang tersimpan di
puncaknya iaitu kepala. Alur dan sungai yang mengalir airnya adalah
saraf yang menghidup dan menyegarkan tubuh. Kata atuk, lihat saja bila
kepala seseorang dibotakkan. Air yang dijirus meluncur laju ke seluruh
tubuh tanpa sekatan.
Ah alangklah harmoninya kehidupan ini jika
semuanya mengikut hukum dan ketentuan tanpa merobek dan merosak serta
memindanya. Kini atuk sudah tiada tapi kata-kata atuk masih
terngiangngiang ada kebenarannya.
“Ingat cu.. Pada suatu waktu
nanti. Cucu akan dapat melihatnya. Semua akan dapat rasainya. Bila
kepala dibotakkan air yang terjirus tidak akan tertahan lagi.”
Benarlah kata atuk,hidup ini disediakan untuk orang-orang yang mengerti.
“Ingat cu... Kesabaran itu adalah rezeki yang paling mahal.”


Post a Comment