Headlines News :
Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Cerpen:Lelaki Pantai dan Sehabis Gerimis

 


Oleh Mawar Safei

HUJAN sejak dini seperti selalu akan membekalkan kabut di sepanjang jalan. Dari titik saya berdiri ini, himpunan sekawan remang seperti berkumpul jauh di hujung tanjung.

Sengaja saya keluar awal dari kamar rumah tumpangan untuk menyertai birai pantai sebaik melihat langit mula bergaris jingga. Apa yang di langit itu seperti turut berombak. Benar, ombak yang sebentar lagi akan datang dan beralih ke tengah dan akan berkunjung semula. Ombak di langit. Ombak di dada juga.

Saat langkah mencecah pasir dan sesekali datang riak angin, saya akan selalu senang untuk mendapatkan satu impian. Saya sering mengharap akan tersangkut botol kaca di hujung kaki. Lalu dengan tertib saya menghapus lekat pasir. Ya, seperti dalam novel. Persis lewat filem. Sehingga botol itu kelihatan mengheningkan dada saya yang sejak beberapa hari ini asyik bergetar, ya berombak. Ketika meleraikan tali halus yang menggulung kertas dari dalam bekas kaca, saya diminta menatap warkah yang sepertinya dari zaman langka. Antara baris di atas kertas, saya masih menjengah langit dan hujung remang yang masih memanjang.

Saya mula membaca surat dalam kaca.

Aneh. Ditulis tentang cuaca, mengisinya dalam kaca, lalu dihanyutkan ke laut.

Kepada siapa surat langka itu mahu ditujukan. Mata saya mencari-cari. Larik tulisan jawi lama, masih dapat saya baca dan fahami. Ya, ditulisnya tentang ombak, angin musim, langit dan remang rasa. Benar, memang banyak siratan jalan antara matahari dengan langkah waktu.

Berlipat-lipat juga antara awan dengan resah dada. Begitu meruah antara hujan dengan penaakulan. Nah, keakraban cuaca dengan manusia, tak akan ternafikan.

"Panas atau hujan?"

Sebelum keluar rumah, melihat aplikasi ramalan cuaca, sama ada panas sampai ke

petang atau ada selang seli guruh dengan angin liar dari tenggara nantinya. Sederas siang dan malam beralih, begitu cepat detik Ramadan yang saya tinggalkan. Perlunya saya berjeda dan berjarak daripada rutin, itulah ikrar Ramadan saya tahun ini. Lalu saya memasuki ruang diam. Sangat benar kata Rumi, banyak yang dapat didengar saat sepi dan sendiri. Ruang untuk menghela nafas, menaakul dan memerhati. Melihat apa yang seharusnya dan bukan apa yang saya mahu. Sunyi. Senyap. Saya dapat mendengar dengan jelas percakapan hati yang selama ini sering gagap dalam bahasa lidah. Kesempatan untuk saya merenung hari-hari semalam dan merancang hari-hari esok. Diam yang memecahkan pusingan riuh. Kebisuan yang menyediakan sabar dan cinta untuk saya berbahagi dengan yang lain.

 Hari hujan atau teriknya siang, semuanya akan berpindah dan berlalu. Surat langka

bercakap erti cuaca. Begitu banyak kesalingan. Panas atau hujan. Adakah panas memberi makna harapan dan sebaliknya hujan adalah petaka?

Aneh. Soalan itu seperti ombak juga, datang dan pergi. Saya menoleh, barangkali ada sesiapa yang sengaja membaringkan bekas kaca di situ. Sekali lagi seperti dalam filem, mirip dalam novel. Mungkinkah penulisnya lelaki pantai. Mengapa saya menebak begitu. Tidak ada tampalan setem atau tanda dari mana surat dalam kaca ini. Saya seperti melihat pada pantulan dan biasan kaca, dia adalah lelaki yang banyak kehilangan dalam hidup dan menerusi suara di warkah dalam kaca, dia menyatakan gelisahnya. Mengapa penulis surat dalam kaca adalah lelaki bukan sebaliknya. Saya seperti ahli forensik linguistik. Atau seperti pernah ada bayang lelaki yang melintasi ruang kabut di hujung pantai ini. Maka saya menamakannya sebagai Lelaki Pantai.

Beberapa hari bagi memulakan Ramadan, sebelum untuk sampai ke hujung tanjung, saya membelah jalan banjaran dan sepanjang jalur lintasan, ternyata kabut yang membalut menemukan saya dengan banyak sekali teka teki. Tak mungkin saya dapat mengagak.

Bahang kemarau mahupun tumpah gerimis, kepada siapa lagi hati akan berpaling melainkan Dia. Ternyata Dia ada di sepanjang jalan ini tanpa latar panas atau hujan.

Tahu-tahu saya sudah menduduki sebuah teduhan kecil. Di sini. Di tanjung ini. Tahu-tahu sekarang saya sudah menyatu dengan ketar. Sepanjang jalan hingga tiba, aneh lagi, saya tidak menemukan siapa-siapa. Apa yang saya jumpa, tidak lain adalah botol kaca berisi surat langka.

Saya menebar pandang ke garis lurus paling jauh yang merentang laut. Benar tulis

Anwar Ridhwan, kabut yang sedang bermain di tengah, membuat langit menjadi rendah dan menjadikan laut tidak terduga! Banyak yang tidak dapat saya tebak. Antara keliru dengan ketar, kaki kecil saya cuba jadi berani. Sekejap bacaan dari aplikasi cuaca, menjadi peta rujukan. Beginilah telahannya, akan ada hujan sekejap lagi. Beberapa pekan sebelum tiba di pintu memasuki tanjung, saya sudah diperingat untuk bersedia. Melontar jauh semua harapan dan yang tinggal hanyalah penyerahan. Bukankah ini juga pengertian sebuah Ramadan. Bulan pelajaran.  Sedang saya masih berbuat salah dan lupa akan apa yang sudah saya

bercermin. Atau apabila saya ingat, saya berbuat khilaf lagi. Ketikanya saya jadi malu apabila perhatian datang tak kunjung henti walau dalam tidur, walau dalam riuh. Saya sepertinya melangkah masuk ke sebuah daerah cinta. Sekali lagi ia adalah jalan bening. Sungguh, ia adalah jalan cinta. 

Saya membaca lanjut surat dalam kaca.

Ditulis tentang betapa kian jauhnya kita daripada matahari. Kesakitan yang kita

hadapi sekarang adalah kerana banyaknya perihal bikinan. Kita mencipta matahari sendiri di dalam rumah dan ruang kerja. Lelaki Pantai itu menulis lagi seperti membacakannya untuk saya dengari. Ya, mengapa saya perlu membelah jalan panjang untuk sampai ke sini? Adakah saya melarikan diri daripada kenyataan yang perlu saya depani dalam pekerjaan dan kehidupan saya setiap hari. Adakah mungkin juga saya masih dalam ketakutan yang bersisa dari musim wabah lalu.

Di sini, Lelaki Pantai mahu saya menyertai matahari! Katanya saya perlu mendapatkan suhu yang seharusnya dan menyertai alam yang sekian lama kami berjarak.

Ayuh, sertai hawa yang alami, bukan angin dingin dari kotak yang kau bina dalam ruang kerja dan kamar istirahatmu. Matahari itu akan selalu menjadi lajur cahaya mengilhamkan jalan mana yang harus kau pilih. Sama ada jalan dusta atau yang memihak kepada penyucian batinmu. Bukankah itu yang disurat dalam al-Quran yang selalu saya pegang dalam dada.

"Adakah hujan itu gelisah?"

Tanya lagi Sang Lelaki Pantai. Saya sebaliknya senang dengan hujan pagi. Melihat

hujan jatuh di atas daun sebagai talun yang sering membawa saya kepada-Nya. Waktu luruh hujan, saya senang untuk memasang doa. Lelaki Pantai mungkin juga seorang penyelidik di Jabatan Metereologi Negeri. Atau sahaja dia adalah perisik tentera. Bukankah pernah dikatakan bagaimana cuaca berubah menjadi senjata perang. Teknologi cuaca dapat menyerang sesebuah negara apabila wujudnya perseteruan. Ribut taufan menjadi peluru gergasi yang meranapkan masa depan anak kecil dan ketamadunan.

Tiba-tiba juga remang dan kabut tadi jadi tersibak. Perlahan-lahan di hadapan saya

semuanya menjadi kabut yang kejap dan membentuk satu lembaga. Saya tidak tahu

menamakannya apa. Memang saya sejak dulu seorang yang penakut. Saya pernah dihantui bayang sendiri di balik cermin di rumah. Saya pernah melihat bangunan di tempat saya bekerja bertukar menjadi jembalang bertaring sumbing. Pernah juga laluan jalan raya yang saya ulang alik setiap hari berubah sebagai sungai yang deras arusnya dan saya seperti mahu tenggelam ke dasar yang jauh.

Sepanjang dua tahun lalu beginilah nasib dan takdir yang dilorongkan. Benar, saya

meninggalkan segala yang alami di luar, lalu semuanya mula mengurung di dalam sel

peribadi. Masa seperti dihentikan. Wabah yang mengubah banyak rupa. Sejak zaman pemencilan diri itu, kehidupan di dalam ruangan berubah menjadi hukuman. Ia malah menjadi ruang pencemaran. Ruang yang saya duduki menjadi racun yang tak terbayangkan!

Usai wabah diterima menjadi kelaziman, dan sekarang kabut itu sudah semakin

menyerupai banjaran gergasi. Mahu sahaja saya namakannya sebagai jejeran gunung

ketakutan. Dalam tidak mampu berlari, di hadapan saya sudah berdiri kesangsian yang membelit kaki dan semuanya. Pastilah ia bukan seperti buih-buih gelombang yang mengikat kaki kekasih yang dimaksudkan Usman Awang!

Suara Lelaki Pantai dari surat langkanya lagi - bukankah kita dahulunya sangat

bersahabat dengan hujan dan cahaya. Sebelum keluar rumah, saya selalu memeriksa jadual ramalan ribut petir atau gerak mata angin. Sama ada jemuran patut saya alihkan ke teduhan atau mahu dibiarkan di luar. Tapi sekarang jadi aneh, dengan awan khatulistiwa, saya mahu terus memeriksa jadual ramalan dari perisian aplikasi. Mengapa? Ternyata cuaca sudah menjadi tidak dapat ditebak. Sebentar ombak yang dahulunya dinanti-nanti sebagai permainan, kini boleh saja menjadi gelombang seteru, air yang lembut kini cemeti yang keras, tulis A Samad Said!

Saya melihat langit yang ternyata masih berombak.

Beginilah agaknya ketika dupa wangi Tabriz kian menipis dan sedikit demi sedikit ia hilang bersatu dengan angin. Dan perlahan-lahan saya tiba-tiba menjadi seperti Rumi. Saya jadi tidak menentu saat ditinggalkan Tabriz. Saya jadi sedih, letih, sepi, dan sangat penat menanggung kesan perpisahan sendiri. Ya, mengapa pula jadinya begitu. Barangkali beberapa masa ini kami jadi akrab. Ada keterikatan yang membuat kami bersama-sama dalam beberapa perihal tentang cuaca dan makna setiap satunya. Benar juga, tanggungan beban pertemuan itu sangat sakit saat mahu berpisah begini. Baru saya sedar betapa rumitnya menjadi Rumi ketika satu demi satu sahabat meninggalkannya. Saya mengenang kuntum mawar yang berselerak di perlak Rumi di Konya. Sambil menebar harum dan bercerita, ketika ditepis angin musim dingin, dalam sunyi itu sebenarnya yang bersuara hanyalah rindu.

Mungkin begini nanti nasib berpisah dengan Ramadan. Saya meninjau langit yang masih belum menjadi biru. Berjalan kembali menuju kamar tumpangan, saya terbayangkan aplikasi cuaca di layar telefon tangan. Sebelum tidur malam tadi, dipapar ramalan pagi ini cuaca berawan dan berangin. Ada baki titis hujan menimpa lengan dan sergahan. Saya menoleh botol kaca dengan surat langka yang saya tinggalkan antara pasir pantai tadi.

Sehabis gerimis, saya tersedar saya tidak berpayung sejak hujan mulai merintik. Tidak tahu jika saya masih mengharapkan ada lagi kaca berisi surat langka yang bukan sahaja berbicara tentang langit cuaca. Saya mahu tahu beberapa cerita lagi tentang Lelaki Pantai.

Tidak tahu bagaimana nanti saya mahu memandu menuju ibu kota apabila lebuh raya bertukar menjadi lautan yang menenggelamkan dan perbukitan di kiri kanan berubah sebagai tumit dan kaki gergasi yang bersedia untuk menginjak kereta kecil saya! Dan saudara sendiri dapat membaca surat langka tentang cuaca dengan Lelaki Pantai itu, hanyalah silauan dari botol kaca yang sudah dalam timbusan pasir pantai kembali.

- Penulis ialah Ketua Kluster (Warisan Melayu), Pusat Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Cerpen : Yang Menyatukan Cinta


Oleh Nazri Hussein

 Semenjak kematian ayahanda dan bonda kami beberapa tahun silam, rumah pusaka itu terbiar tanpa jagaan. Rumah kayu bertiang cengal dengan binaan tradisi Melayu itulah satu-satunya harta peninggalan kedua orang tua yang masih ada.

Kawasan lapang di halaman rumah yang pernah menjadi tempat kami adik beradik berkumpul suatu waktu dahulu terbiar tanpa terjaga. Rumput-rampai dan tumbuhan liar tumbuh berceracak di perdu tanah manakala daun-daun kering bersepahan di setiap inci bumi.

Di sudut kecil bersebelahan pagar, sergam wakaf kayu mulai mereput dengan reja-reja papan yang mulai tersungkur jatuh satu persatu.

Waktu terlalu pantas bergerak. Usia juga telah membawa kami jauh ke dunia kedewasaan meninggalkan waktu riang di musim kanak-kanak serba terindah. Seperti daun-daun kering yang bersepahan jatuh di halaman tanah dan tidak akan mampu lagi untuk kembali ke hujung julai atau di pangkal dahan.

Musim demi musim datang dan pergi silih berganti –Syawal tetaplah nostalgia yang terlalu manis untuk dikenang. Syawal yang pernah menyatukan kasih sayang kami adik beradik di bawah redup cinta ayahanda dan bonda. Di sinilah segala-galanya terakam mengimbau kisah dan cerita di musim silam yang utuh terpahat kukuh. Sayangnya, segalanya itu menjadi titik saat kepentingan kerjaya mula memisahkan kami. Kami terkepung oleh nafsu mengejar tuntutan duniawi demi kelangsungan hidup. Apatah lagi jarak dan tempat memisahkan kami untuk bersatu. Hanya tanah ini yang masih ada.

Masih wujud di pinggiran desa yang terkepung oleh pembangunan dan kemajuan.

Rumah pusaka kami sudah terlalu uzur. Atap dan perabung semakin banyak yang bocor selain dinding-dinding kayu yang sudah dimamah anai-anai perosak. Kami – empat beradik yang berhak sebagai pewaris rumah sudah tidak mampu untuk menjaga pusaka warisan itu disebabkan kekangan tugas dan kerjaya masing-masing.

Abangku yang sulung jauh di utara manakala kakak keduaku, Manisah memilih untuk menetap di Amerika Syarikat sebagai pengurus projek antarabangsa. Satu-satu adik perempuanku, Syakimah membina dunia perniagaannya di ibu kota sebagai saudagar besar. Kami terpisah oleh pagar-pagar duniawi yang menghalang untuk bersatu di rumah peninggalan ini. Urusan kehidupan dan kerjaya sering menjadi tembok besar yang menghalang kami untuk bersama menjengah kaki di kampung halaman.

Usia yang berputar bagai roda membawa takdir hidup masing-masing untuk bermusafir jauh. Maka, sergam rumah klasik itu terbiar dan terbiar menjadi monumen yang sekadar tumbuh di dalam taman ingatan sahaja.

'Rumah ini terlalu banyak nostalgia.Mak dan ayah melatih kita menjadi manusia di rumah ini."

Abang sulungku, Dr Irwandi selalu berseloroh dalam ungkap pesan di hujung rakaman video kecilnya di peranti media sosial. Video itulah yang mengisi hubungan akrab kami yang berdurasi beberapa minit tatkala kesibukan mengisi masa senggang yang kian bersisa. Hari itu, tatkala didakap Ramadan, dia mengutuskan rakaman video di paparan WhatsApp kami empat beradik dengan ungkapan yang bersungguh-sungguh.

Sudah beberapa kali Syawal menjelang tiba. Akan tetapi perancangan kita untuk bersama meraikan lebaran di rumah pusaka kita masih kekal menjadi impian kosong. Alangkah indahnya jika kita dapat melunaskan harapan yang tersimpan begitu lama itu.

Aku menulis kata-kata sebagai membalas kiriman video daripada abang sulungku di utara semenanjung.

"Tahun ini aku dan keluarga sudah menempah percutian di sebuah pulau terindah di bumi Hawaii. Maaflah kerana tidak dapat lagi memenuhi impian dan harapan untuk bersama di Aidilfitri kali ini."

Suara Manisah di hujung video rakaman yang dihantar membuatkan kami adik beradik terdiam tanpa jawapan. Impian untuk menyambut lebaran di rumah pusaka kami tertangguh lagi.

Ramadan seperti hari-hari sebelum itu panas dan berbahang dengan percikan matahari dari lapisan langit. Pohon-pohon yang tumbuh menghijau mulai layu dan kering kesan daripada kemarau yang mula melanda. Aku yang tinggal paling hampir dengan rumah pusaka ayahanda dan bonda - memilih hari ke sepuluh untuk pulang menginjakkan kaki di rumah kayu yang tersergam di tepi jalan. Tidak seperti kepulangan sebelum ini yang disertai anak-anak dan isteri, kali ini aku memilih untuk bersendirian memandu sejauh seratus kilometer untuk sampai ke kampung halaman. Sebaik memasuki kawasan kampung yang terpencil, suasana sunyi mulai terasa apabila rimbunan pohon-pohon hijau di kiri kanan jalan menyambutku. Dari jauh, kelihatan dusun kelapa yang terbentang luas tanpa penghuni. Seorang dua kanak-kanak yang berlarian di tepi danau mengimbau ingatan jauhku di dunia silam. Keretaku memasuki simpang terakhir sebelum membelok masuk ke kawasan tanah rata yang dipenuhi aneka pokok buah-buahan yang sedang berputik. Rambutan, durian, duku, manggis dan cempedak kelihatan bergugus di dahan dan ranting kayu.

Dari jauh sudah kelihatan rumah pusaka kami yang tersergam. Rumah kayu bertiang besar yang terletak di tengah-tengah kebun itu bagaikan menggamitku supaya segera menjengah. Sebaik keretaku berhenti di halaman yang dipenuhi daun-daun kering bersepahan, halusinasiku berputar jauh membayangkan wajah ayah dan bonda yang sedang menanti di bawah wakaf kecil yang separuh senget.

Aku turun dari kereta dengan perasaan aneh dan luar biasa. Seperti ada sesuatu yang menggamit untuk meninjau setiap inci ruang di bawah rumah. Ternampak di mataku kayu-kayu kecil berceracak yang masih tersimpan di dalam setor kayu. Dahulu, kayu-kayu inilah yang menjadi pemancang kepada pelita yang kami pasang ke sekeliling rumah hingga ke penjuru pagar besi. Sebelum maghrib, akan berkerlipanlah cahaya lampu pelita yang mengerdip di sekeliling kawasan rumah kami. Apatah lagi saat jiran tetangga turut bersama meraikan kegembiraan Ramadan sehinggalah malam lebaran yang melimpah keseronokan yang luar biasa.

Alangkah seronoknya tatkala Ramadan tiba. Ayahanda dan bonda merupakan orang yang paling gembira menunggu ketibaan bulan yang penuh dengan keberkatan.

"Ramadan adalah bulan ujian. Syawal pula bulan kejayaan. Kegembiraan meraikan lebaran jangan sampai melampaui sempadan syarak. Jagalah batas susila dan moral kerana itu pakaian agama kita."

Teringat pesan ayahanda setiap kali kami bergembira bermain mercun dan bunga api. Kata ayahanda, Syawal adalah waktu untuk mengukuhkan temali silaturrahim dan ukhuwah sesama sanak keluarga. Meski siapa pun kami sesudah dewasa nanti bonda tetap berpesan supaya kami pulang menjengah rumah pusaka kami di kampung halaman ini.

"Jangan sesekali dijual, digadai rumah dan tanah pusaka ini. Jadilah rumah ini sebagai tempat kamu adik beradik membina keutuhan dan kesepakatan bersama. Nanti kamu akan merasai betapa gembiranya dapat bertamu lagi di kediaman kita."

Rumah agam kami kujengah dengan memijak anak tangga hingga ke ruang tamu. Album-album lama di dalam almari lama kubuka dan kubelek sambil menatap segala paparan potret yang tersusun. Kitab-kitab tua peninggalan ayahanda yang pernah dijadikan rujukan masih tersimpan kemas. Aku membelek mencari catatan demi catan yang pernah dilakar oleh ayahanda. Dari penjuru kamar, jelas kelihatan kain pelikat dan kain batik milik ayahanda dan bonda yang tersusun di atas rak kayu. Air mataku tiba-tiba menitis laju. Terkenang kedua insan yang mempertautkan kami adik beradik dengan luhur kasih sayang dan cinta sejati.

Dari ruang dapur pula, aku menatap deretan periuk dan kuali yang tergantung dengan mata kuyu. Terkenang bagaimana di sinilah bonda menyiapkan segala menu berbuka puasa serta juadah tradisi hari raya yang tidak mungkin dapat dicari ganti. Tiba-tiba sahaja ronggaku bagai terhidu aroma lemang, ketupat dan rendang daging yang begitu menyelerakan. Ingatan pada tanggal Syawal meruntun kalbu. Di sinilah aku dan adik beradik yang lain menjamu selera dengan masakan bonda yang enak. Alangkah indahnya nostalgia itu. Nostalgia beramah mesra dengan tetamu dan jiran tetangga sambil menjamu selera sebelum kami mengatur langkah menuju ke rumah teman dan sahabat. Syawal adalah ingatan yang terlalu manis mengalir di pangkal batin. Syawal yang terangkum keakraban dan kasih sayang yang maha suci. Lamunan jauhku mati secara tiba-tiba.

Saat fajar senja mulai menguning di garis langit, aku menjengah kawasan halaman sambil memasang kembali pelita yang kubawa bersama di sekeliling rumah.. Kerlipan cahaya dari sumbu pelita mulai menyemarakkan haba ke seluruh kawasan. Semalaman aku memilih untuk menikmati suasana malam di rumah bonda dalam kesunyian yang luar biasa. Semuanya itu terakam di lensa kamera yang kubawa bersama hingga ke penghujung pagi. Setiap inci rumah termasuk kamar, dapur dan almari lama kujadikan fokus dalam rakaman yang penuh dengan sentuhan nostalgia.

"Semoga rakaman ini akan melembutkan kembali hati adik beradikku untuk pulang berkunjung ke rumah pusaka ini pada Syawal nanti."

Aku bermonolog sendiri. Lidahku bersuara dalam doa yang meniti pangkal lidah sesudah dua hari mendiami kediaman pusaka ini.

Setelah segalanya selesai, awal pagi keesokannya aku bergerak pulang ke ibu kota bersama nostalgia yang masih berkaca. Video rakamanku yang berdurasi lebih sepuluh minit bersama iringan lagu 'Cahaya Aidil Fitri' nyanyian Kumpulan Black Dog Bone kujadikan irama sandaran sebelum berkongsi kepada semua adik beradikku.

Hari-hari terakhir sebelum fajar Syawal muncul – aku telah menyiapkan segalanya untuk pulang ke tanah desa tercinta meraikan lebaran. Kali ini aku mahu berlama-lama di rumah pusaka kami meskipun tanpa kehadiran adik beradik yang lain. Biarlah mereka dengan kehidupan yang dipilih sendiri. Aku mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan akar tradisi yang kupertahankan. Kehidupan hanyalah selingkar kisah yang bakal ditinggalkan. Hanya yang bersedia mempertahankan warisan dan jati diri akan menikmati hidup dengan limpah kasih sayang dan cinta yang sebenar. Tuntutan kerjaya, limpahan wang ringgit dan pangkat sekadar hampas duniawi yang akhirnya tidak bermanfaat.

Lebaran Syawal tetap menggamit nostalgia. Dan rumah pusaka ini memiliki kisah dan cerita yang terlalu bernilai dalam kehidupan kami. Sehari sebelum fajar Syawal muncul – ada berita terbaharu yang masuk ke dalam gajet perantiku. Video rakaman yang kukongsi mendapat balasan daripada Irwandi, Manisah dan Syakimah.

Kami akan pulang ke rumah pusaka kita selepas Syawal ini. Tunggulah kepulangan kami dari jauh.

Bagaikan khabar terindah yang tidak terduga olehku. Kusambut berita ini dengan lirik kesyukuran yang melimpah di pangkal lidah. Teruja hati menanti kemunculan keluarga kandung kami.

Tiga puluh enam jam selepas takbir Syawal bergema, deretan kereta mula memasuki halaman rumah pusaka kami. Kelibat wajah Irwandi, Manisah dan Syakimah muncul di hadapanku. Dalam esak kesedihan kupeluk mereka satu persatu sambil mengalunkan takbir dan tahmid yang menyentuh kalbu. Kami kembali bersatu di rumah pusaka ini sambil menghimbau nostalgia dan ingatan musim silam yang teramat indah.

Syawal menyatukan kami dengan seluhur cinta. Cinta suci tatkala lebaran menitipkan hari demi hari yang penuh nostalgia.

- Penulis prolifik ini sudah 35 tahun berkarya dan kini menetap di Kemaman, Terengganu

KETUNGKALAN


Oleh Badariah Arbin

"SUDAH siapkah kerja rumahmu, Lolan?" tanyaku dengan nada mendatar.

"Belum mak, susah bha.. soalan ASK ni... ndak aku faham," rungut Lolan sambil melayari permainan permainan video di telefon pintarnya.

Aku menghampiri Lolan. Serasa hidungku mulai gatal.

"Oo… jadi kalau ndak faham, teruslah tengok handphone? Main games? Kecil besar kecil besar sudah mama tengok kau ni… mari sini telefon tu!"

"Ishk… mama ni… nah! Ambillah!"

"Aik? Melawan?"

"Mana ada melawan makkk…" tingkah Lolan dengan suara meninggi, langsung bingkas bangun menuju ke arah biliknya.

Aku memerhati, menggeleng kepala. Sempat juga ekor mataku menangkap tingkah anak sulungku itu sedang menahan empangan air mata. Sebentar lagi, pasti empangan itu pecah dan air mata panas akan membasahi pipi. Biarlah Lolan menangis sekarang, jangan dia menangis kemudian. Biar dia tahu apa itu susah. Biar dia tahu apa itu usaha. Sampai masanya nanti, Lolan akan dapat rasai nikmat kejayaan di sebalik keperitan berjuang di medan ilmu.

Aku yakin sangat itu dan keyakinanku tak akan pernah berubah seperti kekalnya huruf Alif di awal pengajian mengenal al-Quran.

Ya, aku tahu Lolan ketungkalan juga menyiapkan tugasan PDPR. Tambahan pula, subjek Asas Sains Komputer atau ASK itu memang mata pelajaran yang begitu sukar bagi dirinya.

Perlahan-lahan tanganku membelek Buku Teks Asas Sains Komputer Tingkatan Dua itu. Aku meneguk liur. Menarik nafas dalam-dalam. Meskipun hanya tiga bab sahaja, namun ia amat mencabar minda seorang pelajar yang kini belajar hanya dalam talian.

Kod ASC11, Algoritma dan Kod Arahan memerlukan kegigihan yang bukan kepalang untuk memahami konsep dan menghafal rumus-rumus tertentu. Aku meraup wajah. Aku perlu usaha bimbing Lolan agar meminati ASK demi masa depannya kelak.

Teknik mencari 'key point', 'speed reading' dan 'close reading' perlu aku tunjukkan. ASK adalah mata pelajaran yang memerlukan data internet untuk mengakses maklumat dalam laman sesawang dan mengimbas QR Code untuk melihat tutorial. Memang sukar, tapi tak mustahil! Hidup bukan hidup namanya tanpa cabaran. Dan cabaran bukanlah cabaran namanya kalau tak disahut! azamku tumbuh dalam hati.

"Mak! sudah siap!" jerit Naim dari ruang tamu tiba-tiba.

Aku tersentak. Ingatanku kelmarin menjengah. Kelihatan Naim yang berbadan montok dan berpipi tembam itu datang menghampiriku sambil membimbit sebuah buku.

"Wah! Pandainyalah anak mama… Naim faham jugakah mama ajar tadi?" soalku, menguji.

"Faham mak macam bayi bha… mula-mula kecil, lepas tu membesar. Jadi Naim jawab tertib menaiklah," ujar Naim. Dia kelihatan sangat yakin, sambil menunjukkan buku aktiviti Matematik tahun dua itu.

Aku tersenyum lantas mendakap tubuh anakku lalu mengusap-ngusap belakangnya diiringi bacaan zikir dalam hati.

Benar, mengajar anak sendiri tak sama mengajar anak orang lain. Cepat betul jariku jadi sepit ketam. Cepat juga amarah menyirap ke urat sarafku. Inilah ujian yang perlu aku tempuh. Perlu! Tekadku bertalu-talu.

Selesai menangkap gambar kerja sekolah anak, pantas aku maklumkan kepada guru matematik dalam kumpulan sembang WhatsApp Kelas 2 Cemerlang.

Semenjak penguatkuasaan PKP, memadam data sembang dalam setiap kumpulan sembang WhatsApp memang menjadi rutin harian sebelum tidur.

Jika aku tidak berbuat begitu, maklumat baharu tidak sampai, tidak dapat masuk.

Ah, siapalah dapat menjangka abad ke-21 ini, sistem pendidikan sudah menjadi seperti ini. Belajar dari rumah, tidak bersemuka dengan guru, tiada lagi soal sesi jawab, tidak dapat menghadiri sekolah secara fizikal, aku mengeluh dalam hati.

Laungan azan Zuhur dari Masjid Ar-Rahman berdekatan rumah bergema di udara. Syukurlah, walau dalam PKP penduduk di Taman Sentosa ini masih mampu menikmati laungan suara azan. Alhamdulillah! Bagi sesetengah orang, azan menitipkan sesuatu. Laungan azan amat penting dalam kanvas kehidupanku. Ia bagai penanda aras untuk terus bergerak. Azan subuh, menandakan sebentar lagi, buat sarapan pagi dan hidupkan suis mesin basuh. Azan Zuhur, menandakan sebentar lagi kerja rumah anak-anak akan siap. Azan Asar, menandakan aku perlu keluarkan bahan-bahan basah untuk memasak lauk malam.

Nanti menjelang azan Maghrib, anak-anak telah bersedia dengan rehal masing-masing manakala azan Isyak, tanda kami sekeluarga akan berehat di ruang tamu dan aku siap-siap menunggu siaran berita perdana pukul 8.00 malam.

"Ndaklah bha aku tahu… apa sudah jadi negara kita sekarang ni… makin diperketatkan PKP, makinlah pula mendadak kes naik," gerutu Jazman pada suatu petang.

Aku menyeluruhi wajah suamiku yang berkulit sawo matang dan bertubuh sasa itu lalu meletakkan sepinggan cucur udang di atas meja.

"Sabar sajalah kita ni bang… kita bukannya ada pilihan," jawabku sambil menghulur secawan kopi pekat.

Aku renung dia, dalam hatiku berkata, dalam keadaan sekarang, mana mungkin kita ada pilihan bang… selain bertahan. Iya, kita bertahan hadapi semua ujian dengan sabar. Pasti ada hikmah-Nya. Ini masalah satu dunia. Semua orang terkesan. Ada yang hilang pekerjaan. Ada yang dipotong peratus gaji setiap bulan. Ada yang terpaksa menanggung kos kerugian dalam perniagaan rentetan fasa PKP terdahulu.Ternyata pandemik COVID-19 telah merenggut kebahagiaan dalam kehidupan manusia di abad ini.

"Mama sudah hantarkah markah kuiz Naim?"

Khayalanku mati di situ.

"Adehhh… sekejap… mama hampir terlupa. Terima kasih nak, tolong ingatkan mama… pandai anak mama ni," kataku berjela.

"Itulah… nanti macam kelmarin lagi, mama lupa." Naim mengusik. Ketawa kecil.

Aku membalas dengan senyuman. Aku akui, aku ketungkalan juga sebenarnya. Mengajar anak satu hal. Memahamkan mereka apa yang diajarkan satu hal lagi. Memastikan anak siap semua tugasan PDPR pun satu hal juga, terutamanya Lolan!

Pelajaran sekolah menengah sekarang ini jauh berbeza dengan pelajaranku 30 tahun yang lalu.

Huh! Markah kuiz Naim yang telah aku ambilkan visualnya dan cepat kuhantar kepada guru Bahasa Inggerisnya.

Ya Allah… selama PKP ni, rutin harianku seperti kartun. Seakan semua bergerak pantas. Nasib ada mesin basuh, banyak juga ia membantu. Sambil menunggu pakaian dicuci dan dikeringkan, sempat juga aku mengajar anak-anak di rumah. Cuma, Lolan. Ya, cuma Lolan! Cara mengajar Lolan memang tak sama dengan adik-adiknya.

Lolan perlukan bahan bantu, komputer riba dan aku sendiri perlu memantau pembelajarannya setiap masa. Aku perlu terus fokus dan sedar dengan apa yang dibuatnya. Risau juga aku, kalau nanti dia terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik. Dunia tanpa sempadan ada juga keburukannya jika disalahgunakan.

"Mak, lapar..," Haziq, seorang lagi anak menghampiri. Dahinya berkerut-kerut.

"Sekejap ya nak, mak mau masak sudah ni ayam kicap," pujukku sambil menggaul lauk dalam kuali.

"Haziq sudah siapkah sambung titik-titik tu?"

"Sudah bha," jawabnya. Ringkas.

Aku menyeka peluh, menghela nafas panjang. Mujur jugalah guru prasekolah Haziq telah menyediakan kertas soalan untuk tempoh dua minggu. Tidaklah aku ketungkalan sangat mengejar masa menyiapkan tugasan PDPR kesemua anakku ini.

"Belajar ketika kecil seperti mengukir di atas batu, Mariam. Kalau menurut Imam Al-Ghazali, hati itu ibarat cermin, apabila terang cerminnya, maka teranglah segala maklumat atau ilmu pengetahuan yang diterima... kita sama-sama belajar ya," pesan Ustazah Bibi Zaleha suatu ketika dahulu ketika aku masih lagi dara sunti masih membekas dalam diri.

"Mak..." suara dari belakang datang, dapat kuduga siapa gerangan pemilik suara itu.

Aku sengaja tidak menoleh, mahu untuk berlagak tidak peduli. Aku teruskan juga menggaul ayam di kuali.

"Mak...minta maaf makkk..." suara Lolan sedih sekali. Kemaafannya dipinta dengan sungguh-sungguh.

Dia mengulang-ulang lagi permohonan maafnya.

Ah anak ini, aku pantas mematikan api dan menoleh ke arah anak sulungku. Aku menatap tepat ke wajahnya. Anak yang aku letakkan segumpal harapan menjadi contoh buat adik-adiknya. Anak yang akan memikul tanggungjawab andai ditakdirkan kami pergi dulu. Anak inilah!

Sudah habiskah menangisnya tadi ? Sudahkah dia sedar silapnya tadi?

"Lain kali jangan buat begitu, nak... jangan tinggikan suara. Ada 'kan cikgu ajar Lolan adab dengan ibu bapa di sekolah?"

Lolan menekurkan pandangan ke lantai. Diam menikus.

"Lolan sayang mamakah?"

"Sayang bha mak..."

"Kalau Lolan sayangkan mama, ikut nasihat... mama ni bukan selama-lamanya hidup nak..."

"Nah... janganlah bha mama cakap begitu..." rayu Lolan sambil meraih tanganku. Matanya mula berkaca.

"Sapu air mata tu, anak jantan jangan bha cepat menangis... kena kuat! Pasal ASK tu, nanti mama ajar Lolan cara belajarnya.

"Satu lagi, pegang handphone ada masanya. Kalau Lolan salahgunakan, mama ambil balik, faham?,"

Lolan angguk. Senyum pantas terbit di bibirnya.

"Sekarang, kemas ruang tamu. Kita mahu makan," arahku. Tegas.

"Ok... mama..." jawab Lolan berbaur kegembiraan.

Anak akan menjadi lebih cerdik apabila dilatih menilai kelemahan dan kekuatan diri mereka. Kelemahan diri hendaklah diperbaiki melalui latihan yang berterusan. Kekuatan diri pula hendaklah dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi. Aku memutar pita ingatan semula tentang buku Panduan Mencerdaskan Minda tulisan Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Jaafar Salleh. Bingkisan itu masih segar bermukim di dalam dada.

"Mak, tambah bha... boleh?" pinta Naim sambil menghulurkan pinggan.

"Jangan terlampau kenyang bha nak... nanti susah mau sembahyang tu," terangku.

Naim melirik senyum. Kelihatan sebaris giginya yang putih.

Betapa agama Islam amat menitikberatkan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Perut adalah pangkal segala penyakit. Menjaga pemakanan adalah pokok sekalian ubat." Meski hidup kami sederhana, keperluan anak-anak tetap menjadi keutamaan. Lauk tidak selalu mewah. Memadailah cukup sumber protein, vitamin dan karbohidrat.

Aku mengalih pandang ke arah wajah ketiga-tiga puteraku bergilir-gilir, dengan penuh rasa kasih sayang. Namun, pandanganku tertumpah lama terhadap anak sulungku itu.

Lolan nama panggilan Fauzan Azami. Benar, Lolan perlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam norma baharu. Benar, Lolan bosan sebab tak dapat keluar jumpa kawan-kawan. Benar, Lolan sudah besar. Dalam usia remaja, Lolan mencari identiti diri. Remaja zaman sekarang mana sama dengan remaja zaman aku dulu.

Zaman dulu, tiada pengaruh gajet. Tiada permainan dalam talian segala macam dari Garena Free Fire, PUBG dan sebagainya.

Zaman dulu, waktu sebaya Lolan, aku tinggal di asrama. Aku jalani hidup dengan penuh peraturan. Mandi beratur. Makan beratur. Bahkan, balik dari dewan kuliah pun beratur. Anakku belum ada pengalaman hidup sebegitu. Belum! desis hatiku.

"Macam mana anak-anak hari ini? okey juga Yam?" tanya Jazman yang baru sebentar tadi balik dari kerja sebagai Pembantu Tadbir di SMK Permai.

"Macam begitu juga bha bang… pagi, sibuk menjawab soalan. Petang, ulang kaji sikit pelajaran. Tapi, sebenarnya kasihan juga bha anak-anak kita ni… mau kita bawa bersiar-siar di luar pun, belum lagi boleh... mudah-mudahan cepatlah reda kes COVID ni..." getusku sambil melipat selonggok pakaian.

Jazman menggetap bibir. Sesekali mencicip secawan teh dan menguyah biskut mayat. Dia tidak berkata apa-apa. Hanya matanya sahaja bagai berbicara. Dan aku seakan-akan dapat mentafsir maksud renungan itu. Renungan yang menuntut segudang kesabaran.

"Lolan, bawalah adik- adik masuk bilik. Tidur awal. Bangun besok pun awal."

"Okey, mama..." Lolan memimpin tangan adik-adiknya ke bilik.

Mataku semakin berair. Rasa mengantuk yang amat.

"Abang masih tengok Tv?"

"Ya... ada kung fu malam ni."

Perlahan-lahan aku melangkahkan kaki ke bilik tidur. Lampu telah dimatikan.

"Ya Allah... nikmatnyalah dapat baring ni, serasa aman dunia,' bisik hatiku. Syukur.

Belum pun sempat aku membaca doa sebelum tidur, tiba-tiba terdengar pintu bilik diketuk seseorang. Aku bingkas bangun.

"Makkk… baru Naim ingat, belum siap kerja rumah BM…," ujar Naim sambil menggeyeh-geyehkan matanya.

Aku menepuk dahi.

Glosari

Ketungkalan – tak menang tangan/banyak kerja/tersedak

- Pengarang muda asal Sabah ini bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid di SK Merpati Sandakan, Sabah.

Semendera Janji


Oleh Md Nizar Parman -

 SEJAK kecil, Munah memang telah diasuh untuk bermesra-mesra dengan laut dan ombak. Berbanding abang dan kakaknya, Munah lebih cekap menghidu bau angin. Munah tahu bila ribut akan turun apabila melihat kelompok awan yang berarak di kaki langit dan merasa angin yang menyentuhnya. Jika keadaan itu berlaku, Pak Munir akan cepat-cepat menarik pukatnya. Munah pula akan menanggalkan ikan-ikan yang tersangkut pada pukat dan memasukkannya ke dalam tong ikan yang berisi ais dengan segeranya.

Munah sudah tahu membezakan jenis ikan ketika usianya enam tahun. Kertang, gelama papan, selampai, pari, senangin, kurau dan sembilang adalah antara spesies ikan yang sering terperangkap pada pukatnya justeru dia juga cekap untuk memilih saiz ikan yang sesuai untuk dijual kepada pemborong. Ikan-ikan yang bersaiz kecil biasanya dilepaskan ke laut kembali.

Kebelakangan ini, Munah sering memikirkan kesihatan Pak Munir. Tubuh ayahnya tidak setegap dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu. Kedut-kedut pada muka, urat yang kian menimbul dan mata yang kian cekung jelas kelihatan pada susuk lelaki itu.

"Engkau tak perlu risau fasal aku, Munah. Aku masih kuat untuk turun ke laut. Tarik pukat." Itu sajalah kalimat yang terpacul daripada mulut ayahnya apabila dia menyuarakan kebimbangannya. "Engkau tu yang patut risaukan diri. Umur sudah hampir suku abad, bayang jodoh pun tak nampak lagi!" tempelak ayahnya pula.

"Ke situ pula ayah ni," rungut Munah – memuncungkan mulutnya.

"Sampai bila engkau mahu bersendirian? Ayah tidak muda lagi. Entah esok... entah lusa, Dia jemput aku," ujar ayahnya yang duduk di pangkin kayu di anjung rumah. Sebelah kakinya dilipatkan sehingga lututnya hampir mencecah dagu.

Ketika itu, Munah sedang memeriksa pukat hanyutnya yang ditarik memanjang seperti ampaian. Beberapa batang buluh dicacakkan untuk menahan pukat itu. Dia hanya mendiamkan diri. Entah berapa kali ayahnya berkata begitu. Belakang ini hasil tangkapan ikannya semakin berkurangan. Itu soal yang lebih merunsingkan fikirannya berbanding memikirkan soal jodoh. Ikan-ikan di pesisiran pantai itu pun tidak sebanyak dan sebesar dahulu.

Pun begitu, Munah tetap bersyukur kerana buat masa ini dia dan ayahnya tidak pernah keputusan wang belanja. Hasil yang diperoleh daripada jualan ikannya dibelanjakan dengan cermatnya. Tidak seperti gadis yang lain, Munah amat langka membelanjakan wangnya untuk tujuan kecantikan. Cuma setiap malam sebelum tidur dia akan menempekkan mukanya dengan bedak sejuk. Itu sudah memadai baginya.

Munah mendongak ke langit. Sudah rembang tengah hari. Tengkuknya berasa perit dijilat rakus cahaya matahari. Mujur pukat itu tidak banyak yang rosak. Hanya ada beberapa koyakan kecil dan telah disiratnya dengan benang baharu. Esok dia dan ayahnya akan memukat ikan lagi berhampiran sebuah pulau kecil tidak jauh dari jeti nelayan di situ.

Dia melabuhkan punggung berdekatan dengan ayahnya di pangkin kayu itu untuk menghilangkan lelahnya. Petang nanti jika cuaca sudah mula redup, dia akan menggulung pukat itu dan menaikkannya ke bahagian belakang pikap miliknya. Pikap yang sudah hampir lima tahun usianya itu digunakan untuk menghantar ikan ke pasar-pasar awam di pekan berhampiran juga. Munah lebih suka menjual ikan-ikan yang ditangkapnya secara terus kepada peniaga berbanding menggunakan khidmat orang tengah yang kebanyakannya tukang catut. Ayahnya telah menyerahkan semua urusan penjualan ikan kepadanya.

"Jadi kamu hendak ke jeti pemancing kita tu petang nanti?" soal ayahnya.

"Jadi, ayah. Munah dah janji dengan Sahak. Dia nak periksa tiang dan lantai jeti pemancing tu," balas Munah.

"Sebab ada beberapa tiang buluh tu sudah terbenam. Lantainya pun sudah mula melendut."

Pak Munir terangguk-angguk. Siapakah lagi yang hendak diharapkan untuk mewarisi pekerjaannya sebagai anak laut kalau bukan Munah? Hendak harapkan Moin dan Maisarah, tidak mungkin sebab anak sulung dan keduanya itu sudah ada jawatan tetap di kota besar. Moin sudah jadi pakar bedah di hospital besar manakala Maisarah bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam. Kedua-duanya juga sudah beranak-pinak.

Pak Munir sedikit pun tidak berasa kesal walaupun Munah tidak berotak cair seperti abang dan kakaknya. Dan, Munah juga tidak pernah menyesali nasibnya. Hanya kadang-kadang dia berasa sedih apabila melihat anak gadisnya itu terpaksa memerah kudratnya di bawah terik matahari ketika melabuhkan dan menarik pukat.

"Ayah menungkan apa?" Munah menggugah lamunan ayahnya.

"Teringat akan Abang Moin dan Kak Maisarahkah?"

"Tak... Tak ada apa-apa. Cuma..."

"Tak payah nak bohong Munahlah, yah. Munah tau ayah sunyi. Lebih-lebih lagi sejak emak tidak ada. Abang Moin dan Kak Maisarah pun sudah jarang pulang. Kalau ayah rindu akan cucu-cucu ayah, pergilah ke rumah mereka seminggu dua. Ayah jangan risau, pandailah Munah uruskan semua kerja di sini. Lagi pun, Sahak boleh bantu Munah kalau ayah tiada," balas Munah.

"Engkau dengan Sahak tu ada apa-apakah?"

Munah membiarkan soalannya ayahnya itu terus bergentayangan. Soalan yang belum ada jawaban yang pasti. Dalam kalangan teman sekolahnya, Sahaklah yang paling akrab dengannya. Mungkin mereka mempunyai minat yang sama. Ya, laut. Cuma perbezaannya, Sahak mewarisi syarikat penangkapan ikan milik arwah ayahnya. Dia mempunyai dua buah bot besar untuk menangkap ikan di laut dalam. Dan, Munah juga mempunyai impian yang sama.

Pantai Sungai Tegak boleh diibaratkan seperti pantai yang telah kehilangan pasirnya. Laut yang bagaikan naga lapar dan ombak yang bagaikan apinya telah menghakis pasir nan putih di pesisiran pantai itu. Dahulunya, kawasan tepi laut ialah kebun kelapa milik penduduk-penduduk kampung di kawasan ini. Oleh sebab hakisan yang serius, akhirnya kebun-kebun ini lenyap. Untuk mengelakkan hakisan yang lebih teruk, sepanjang Pantai Sungai Tegak telah dibina benteng daripada bongkah-bongkah batu yang besar.

"Dapat?" tanya Munah lembut.

Kedua-dua hujung tudung yang disangkutkan pada bahunya bergoyang-goyang ditiup angin sore. Dia duduk di atas sebongkah batu besar di tepi pantai itu, betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk jeti pemancingnya.

Sahak pula berdiri di laluan masuk jeti itu yang berlantaikan papan. Sengaja diinjak-injaknya untuk menguji kekukuhannya. Jeti pemancing sepanjang 50 meter yang menganjur ke arah laut itu jarang kosong. Pada hujung minggu, ada sahaja kumpulan pemancing yang menempahnya.

"Dapat. Ada di dalam lori tu," jawab Sahak.

"Agak-agak, bila kita boleh mulakan projek tu?"

"Terpulang pada Munah. Saya ikut sahaja. Kalau minggu depan pun elok juga," balas Sahak. Dia berjaya mengumpulkan boya-boya lama yang diperolehnya daripada rakannya; para pengusaha bot di sekitar Batu Pahat. Boya-boya itu akan ditenggelamkan untuk menternak kupang.

"Kalau ada dua puluh, cukuplah 50 buah sarang kupang," ujar Munah. Dia melihat sarang-sarang kupangnya yang diikat dengan tong berwarna biru dan hijau teroleng-oleng dipukul ombak. Dua atau tiga bulan lagi, dapatlah dia menuai kupang-kupang itu. Sahak yang membekalkan benih-benih kupang itu kepadanya.

"Alhamdulillah. Nampaknya usaha Munah akan membuahkan hasil. Kalau dah banyak nanti, kita akan bersama-sama mengeksport kupang ini ke negara jiran," ujar Sahak.

Munah tersenyum puas. Apa sahaja yang tidak dilakukannya untuk kelangsungan dunia nelayan yang diwarisi oleh ayahnya? Legasi itu harus diteruskan. Dia tidak boleh hanya mengharapkan ikan-ikan masuk ke dalam pukatnya setiap hari. Dengan jumlah tangkapan yang kian tidak menentu, dia harus berani untuk melakukan perubahan untuk menambahkan pendapatan. Sahak yang mencadangkannya untuk menternak kupang. Ternakan kupang ada potensi untuk maju. Sahak sendiri tidak menang tangan untuk membekalkan kupang kepada para peniaga terutama pengusaha kedai atau restoran makanan laut di sekitar daerah itu.

Daripada Sahak jugalah dia mula belajar memasarkan ikan-ikan segar secara dalam talian. Pada peringkat awalnya, dia hanya membuka jualannya untuk orang-orang kampung dan taman perumahan berhampiran dengan tempat tinggalnya dan menyediakan perkhidmatan penghantaran ikan.

Walaupun penat, dia seronok melakukannya. Alah bisa tegal biasa. Jika bekalan ikan segarnya tidak mencukupi, dia akan mendapatkan bekalan ikan daripada rakan-rakan peniaga ikan di pasar awam tempatnya berniaga. Dia hanya mengambil upah penghantaran. Secara tidak langsung, dia dapat meningkatkan hasil jualan rakan-rakannya apatah lagi ketika pandemik Covid-19 sedang bermaharajalela ketika ini.

Munah membiarkan Sahak memeriksa keadaan jeti pemancing itu. Dia hanya memerhatikannya dari situ. Kelihatan Sahak duduk di jeti itu sambil berbual-bual dengan beberapa orang pemancing. Mungkin Sahak memerlukan pandangan atau pendapat daripada para pemancing itu. Walaupun telah beberapa kali dilanda ribut kencang, Munah bersyukur kerana jeti yang didirikan hasil titik peluh ayahnya kira-kira tiga tahun yang lalu masih kukuh.

Setelah hampir senja, Munah selesai membantu Sahak memunggah boya-boya lama itu daripada lori kecilnya. Boya-boya itu dimasukkan ke dalam sebuah stor kecil di sebuah pondok yang dibina oleh ayahnya di tepi laut itu. Pondok itu disediakan untuk membolehkan para pemancing bersolat, memasak atau berlindung ketika ribut melanda secara tiba-tiba.

Setelah selesai memunggah dan menyimpan boya-boya itu, mereka berpisah. Munah memastikan stor itu telah dikunci dengan betulnya. Ketika dia hendak menghidupkan enjin pikapnya, muncul Fakhrul, anak muda di kampungnya yang sudah lama menaruh hati padanya.

"Bukan main mesra Cik Munah dengan usahawan muda tu. Ada apa-apakah?" usik Fakhrul tanpa mematikan enjin motosikalnya.

"Maaflah, Abang Fakhrul. Itu urusan peribadi antara dengan Sahak. Kami bekerjasama untuk membesarkan penternakan kupang ni. Salahkah?" balas Munah. Seboleh-bolehnya, dia memang selalu mengelak daripada bersua muka dengan Fakhrul terutama di jeti nelayan.

"Jangan sombonglah, Cik Munah. Masa kaumasih kecil dulu, masih berhingus, siapa yang membantu Pak Munir di laut tu? Ini... Fakhrul!" ujar Fakhrul sambil menepuk dadanya. "Mentang-mentanglah sudah dapat gading bertuah..."

"Tak baik bersangka buruk, Abang Fakhrul. Kami cuma bekerjasama untuk memajukan projek ternakan kupang ini sahaja. Tak lebih daripada itu," tegas Munah.

"Sudahlah! Anak-beranak sama sahaja. Mudah lupa diri," kata Fakhrul dengan wajahnya masam mencukanya.

"Kaunak potong jalan aku ternak kupangkan?"

Munah mengurut-urut dadanya sambil beristighfar. "Tak ada niat langsung Munah nak buat macam tu, Abang Fakhrul. Munah tak pernah kacau pun projek abang tu." Tuduhan-tuduhan melulu daripada Fakhrul yang berusia 15 tahun lebih tua daripadanya benar-benar merentap emosinya. Seperti api dalam sekam, dendam Fakrul tidak pernah padam.

"Engkau jangan mimpilah nak lawan aku, Munah. Aku lebih dahulu makan garam tau," ejek Fakhrul kemudian memecut motosikalnya meninggalkan Munah. Debu-debu halus yang terhasil daripada geseran tayar motosikal itu berterbangan, entah di mana hinggapnya.

"Tak sangka pula begitu sikap Abang Fakrul tu, ayah," adu Munah selepas menikmati makan malam dengan ayahnya. "Dulu, elok sahaja tingkah lakunya."

Pak Munir hanya diam. Dia melunjurkan kedua-dua belah kakinya di ruang tamu rumah itu sambil memicit-micit lututnya. Dia tidak betah kalau duduk atau berdiri lama-lama. Dia merenung Munah yang duduk di sofa. Ketika itu juga, Munah sedang sibuk menguruskan tempahan ikan segar daripada pelanggannya secara dalam talian. Esok, seawal pukul 7:30 pagi dia akan mula membuat penghantaran.

"Kalau kautak tolak pinangan dia dulu, tak jadilah macam ni," ujar Pak Munir.

"Yalah, ayah pun tak boleh paksa kamu."

"Soal perasaan, jodoh dan masa depan Munah, biarlah takdir yang menentukannya, ayah. Cuma buat masa ini, Munah belum bersedia. Munah pun ada impian," balas Munah.

Pak Munir diam. Tidak perlu lagi dia memanjang-manjangkan soal itu. Dia kenal Munah. Dia tahu hati Munah. Hati Munah seperti bongkah-bongkah batu di tepi laut itu juga. Keras dan utuh.

Kupang-kupang yang diternak oleh Munah sudah cukup tempoh matangnya kini. Esok dia akan mengemudikan botnya dari jeti bersama-sama ayahnya dan Sahak untuk mengutip kupang-kupang itu. Tiga hari lepas, dia dan ayahnya telah memeriksa sarang-sarang kupangnya yang terletak tidak jauh dari jeti pemancingnya. Kupang-kupang itu sudah ada yang menempahnya.

Lewat malam itu, hujan lebat dan badai telah melanda kawasan Pantai Sungai Tegak dan kampung-kampung berhampiran. Munah berharap sarang-sarang kupangnya selamat dan tidak dihanyutkan ombak yang mengganas. Dia amat bimbang jika buluh yang digunakan untuk mengikat sarang kupang dan tong-tong plastik sebagai pelampung itu tercabut dan hanyut. Munah berdoa agar tidak ada apa-apa yang berlaku.

Badai yang luar biasa malam tadi telah menyebabkan banyak dahan pokok di sepanjang jalan menuju ke jeti itu serkah. Daun-daun dan rantingnya gugur di jalanan. Sebatang pokok kelapa di tepi jeti nelayan itu telah tumbang. Mujur tidak mengenai jeti dan bot-bot nelayan di situ. Tumbangnya ke arah lain. Pokok kelapa itu bagai dipulas-pulas oleh angin.

Laut pagi itu tenang. Munah mengemudikan botnya dengan berhati-hati. Ayahnya pula sedang rancak berbual-bual dengan Sahak di bahagian hadapan bot. Sebaik-baik sahaja tiba di kawasan ternakan kupangnya, mereka mendapati sebahagian besar tong-tong plastik itu telah hilang. Munah kehilangan kata-kata. Sepasang matanya mula digenangi air mata. Sahak yang berdiri bahagian sekeliling bot memerhatikan keadaan sekeliling. Dia nampak beberapa tong terdampar di celah-celah batu di tebing pantai itu. Dia mengarahkan Munah menggerakkan botnya ke tempat itu.

Dengan menggunakan pencangkuk yang diikat dengan kayu lurus yang terdapat di dalam bot itu, Sahak yang dibantu oleh Pak Munir cuba mengait tong itu. Akhirnya, dia berjaya mendapat satu daripada tong itu.

"Bukan kena ribut. Ada orang yang sengaja memotong talinya," jelas Sahak.

Munah meraup-raup wajahnya. Siapalah yang tergamak melakukan perbuatan khianat itu kepadanya?

Tiba-tiba Pak Munir suatu objek yang tersangkut pada bahagian tiang jeti pemancingnya. Segera dia mengarahkan Munah mengemudikan botnya ke situ pula.

"Mayat!" jerit Pak Munir sebaik-baik sahaja bot itu menghampiri objek itu. Pak Munir yang pada awalnya berdiri di bahagian hadapan bot itu terduduk apabila melihat mayat yang terapung dan tersangkut pada tiang jeti pemancing itu.

"Abang Fakhrul..." Terpacul nama itu dari mulut Munah dengan suaranya yang seperti ditelan laut. Dan, ombak terus menghempas bongkah-bongkah batu di Pantai Sungai Tegak.

Pengarang berasal dari Johor ini bertugas sebagai guru di Kluang, Johor dan sudah menghasilkan beberapa buah novel dan antologi cerpen

Zuhud

OLEH: A. RAHMAN C.M.

“Tadi kamu ingat apa? Masa kamu bedal Azmi, tak ingat Allah ke?” Bedul menyentuh dahinya. Dia
tidak tahu kali ke berapa dia menyentuh dahinya itu. Ada rasa benjol. Terasa juga ngilunya. Dia memandang kosong pada wajah Pak Long yang berada di hadapannya. Dia nampak wajah kering Pak Long. Masih jelas raut wajah marah Pak Long di mata batinnya. Dia tidak menyangka Pak Long akan marah begitu.

Dia melayah kemudian jatuh ke tanah setelah Pak Long menumbuk dahinya.
“Aku dah lama bersabar.” Dia ingat matanya putih pada wajah Pak Long.
“Ibu kamu, bini kamu dah banyak kali mengadu tentang perangai kamu. Rimas aku. Menyusahkan!”
Dia kaku dan kelu. Dalam duduk dia hanya menelan kata-kata Pak Long. Dia sedar, kalau dia berdiri, tendangan Pak Long pasti mengena pada badannya.

Malam sudah larut. Suasana malam sepi di mana-mana. Bedul menilai patah kata Pak Long. Bedul menilai wajah Pak Long. Kata-kata Pak Long pedas, hangat, pahit dan bisa tetapi ada benarnya. Wajah Pak Long garang, bengkeng, bengis, marah tetapi dia tidak nampak ada rasa kebencian pada wajah itu.

“Bedul, kamu kena ingat, Pak Long tu ganti ayah kamu. Pak Longlah tempat kita berpaut selepas ayah kamu mati. Kamu tak ingat ayah kamu. Ketika ayah kamu mati, umur kamu baru setahun.” Kata-kata ibu menyedarkannya bahawa kehidupannya selama ini dibiayai oleh Pak Long, iaitu ayah saudaranya, abang kepada ibunya. Dia ingat memang Pak Long sayangkan dirinya. Pak Long kasihkan dirinya. Sebab itu Pak Long mengambil tugas ayahnya. Ibunya tidak pernah berkahwin selepas kematian ayahnya.

Salakan anjing sayup-sayup kedengaran. Di luar gelita merata-rata. Bedul masih berdiri di muka jendela yang terbuka. Peristiwa petang tadi yang membawa penumbuk Pak Long ke dahinya datang satu demi satu.

Dia baru pulang dari pejabat. Kepalanya masih bengang dengan kata-kata teman sekerja yang memerli, menyindir dan menempelaknya. Tiba-tiba Azmi berkelahi dengan Azmah, anak perempuannya di atas serambi rumah. Tanpa usul periksa, dia terus menampar Azmi. Azmi lari turun ke tanah. Dia mengejar Azmi dengan manggar kelapa. Dia membedal belakang tubuh Azmi entah berapa kali sehingga Azmi terjatuh di hadapan Pak Long. Kebetulan ketika itu Pak Long lalu di hadapan rumahnya kerana hendak ke masjid.

Azmi memeluk lutut Pak Long. Pak Long menghantar Azmi ke rumah. Apabila Pak Long pasti Azmi tidak nampak mereka, penumbuk Pak Long singgah di dahinya. Dia melayah ke belakang lalu terjelapak.

“Allah!” Dia ingat, dia menyebut kalimah Allah SWT ketika itu.
“Tadi kamu ingat apa?” Dia nampak wajah Pak Long menyinga padanya.
“Masa kamu bedal Azmi, tak ingat Allah?” Bedul jadi batu.
“Kenapa kamu bedal Azmi?” Bedul jadi kayu.
“Iblis, syaitan, ego kamu sebagai ayah, begitu?” Bedul terus kaku.

“Siapa ajar kamu bedal anak dengan manggar kelapa?” Pertanyaan Pak Long tidak dijawabnya. Dia hanya mampu mendongak pada wajah Pak Long. Lama wajah Pak Long pada mata batinnya.

Salakan anjing sayup-sayup kedengaran. Hawa malam kian dingin. Bayu malam yang dingin membelai dadanya yang telanjang di tingkap bilik tidurnya yang terbuka.

Bedul tiba-tiba teringatkan Azmi anak keduanya. Ingat sungguh-sungguh. Dia menutup tingkap, lalu dia ke bilik anaknya. Dalam cahaya suram mentol 15V, dia duduk di tepi katil Azmi lalu menyelak selimut yang menyelimuti badan Azmi. Kebetulan Azmi tidur mengiring. Dia nampak jalur bekas manggar kelapa pada kulit belakang anaknya itu. Dia terkedu di situ. Bedul kembali kepada dirinya. Dia tidak pernah dipukul begitu oleh sesiapa pun. Tidak! Pak Long hanya membulatkan matanya kalau marah terhadap kelakuannya yang nakal. Tangan Pak Long tidak pernah singgah pada kulit tubuhnya. Hanya tadi, penumbuk sulung Pak Long singgah di dahinya. Penumbuk itu amat terasa kesannya. Hingga saat ini matanya masih kejang. Wajah Pak Long bertakhta di mata batinnya. Perlahan-lahan Bedul merendahkan kepalanya lalu mencium pipi Azmi. Kemudian cepat dia kembali ke biliknya.

Kejadian siang tadi memang salahnya. Dia bertindak mengikut emosinya yang terganggu di pejabat. Kerjanya di pejabat tidak selesai, lalu dia diperli. “Orang berjanggut ni sepatutnya amanah. Kalau tak amanah lebih baik cukur saja janggut tu, buat malu Nabi saja.” Bedul hampir bergaduh di pejabat tadi.

Dia selalu disindir kerana mengikut ajaran yang kebenarannya diragukan. Dia terlibat mengikut jemaah Imam Derauf di Bukit Merah. Baginya ajaran Imam Derauf baik. Imam Derauf mengajar cara-cara beramal. Mengajar cara mendekatkan diri kepada Allah. Mengajar cara berzikir serta cara bermunajat kepada Allah dan Rasul-
Nya. Dia juga terlibat dengan kumpulan yang mengikuti ceramah hujung minggu di surau Lebai Kulub.

“Ini cara guru kamu ajar didik anak?” Bedul jadi batu.
“Pagi Jumaat nanti jumpa Pak Long.” Dia ingat kata-kata akhir Pak Long tadi. Sebelum sempat dia berdiri, Pak Long berlalu ke masjid.
___
Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Visualiser

KEHADIRAN Cikgu Rafi ke sekolah mendapat perhatian. Ramai pelajar terutamanya pelajar perempuan memuji kesegakan dan ketampanannya. Aku juga akui, namun tidaklah aku seperti ‘rusa masuk kampung’. Benar. Cikgu Rafi kelihatan hebat.
KEHADIRAN Cikgu Rafi ke sekolah mendapat perhatian. Ramai pelajar terutamanya pelajar perempuan memuji kesegakan dan ketampanannya. Aku juga akui, namun tidaklah aku seperti ‘rusa masuk kampung’. Benar. Cikgu Rafi kelihatan hebat. Tetapi, kesedihan masih menyelubungi aku. Pusara cikgu Firdaus masih merah lagi, begitu mudah kawan-kawanku melupakannya. Cikgu Firdaus kemalangan dan pergi di tempat kejadian. Peristiwa yang bagi aku boleh dielakkan. Gara-gara kawan sekelasku Ameera yang terkunci dalam Makmal Sains, Cikgu Firdaus bergegas kembali ke sekolah. Semuanya salah Ameera yang tertidur dalam makmal. Aku sangat benci pada Ameera. Pelajar perempuan yang selalu inginkan perhatian. Tergedik-gedik. Pemergian Cikgu Firdaus begitu sukar untuk aku terima. Cikgu Firdaus yang banyak memotivasikan aku sejak aku Tingkatan Tiga lagi. Hinggakan aku menganggap Cikgu Firdaus seperti abang aku sendiri.
            Sejak kehilangan Cikgu Firdaus, aku menanam tekad untuk tidak bertegur-sapa dengan Ameera. Aku lebih rela memusuhinya. Bermula duduk bersebelahan dengannya, kini aku bertukar tempat dengan Rozi. Aku tahu, Ameera terasa dengan sikap dinginku, aku tidak mampu berpura-pura gembira dengannya. Biarlah. Mungkin aku perlu masa untuk menenangkan emosi aku. Ameera bagiku hanya ‘perampas’ kebahagiaan aku ketika Cikgu Firdaus masih ada.  Aku suka cara Cikgu Firdaus mengajar subjek tersebut. Muncul pula cikgu Rafi. Cikgu Rafi yang kononnya lebih hebat berbanding Cikgu Firdaus. Sedikitpun aku tidak teruja dengan penampilan Cikgu Rafi.
            Pada suatu pagi ketika diadakan perjumpaan semua murid Tingkatan Lima bersama Cikgu Rafi, Ameera tiba-tiba berdiri dan menghulurkan bungkusan hadiah berwarna merah jambu kepada Cikgu Rafi. Semua mata tertumpu kepadanya. Seorang demi seorang bertepuk tangan. Pandanganku bagai dipanah petir. Degup jantungku terasa laju. Duniaku gelap.
            “Syima! Syima!”
            “Eh...eh...eh! Kenapa dengan saya ustazah?” Ustazah Halimah berada di kananku.
            “Syima, kamu pengsan tadi. Kamu pengsan masa perjumpaan tadi.” Pantas Ustazah Halimah menjawab.
            “Pengsan!?”
            Aku cuba mengimbas apa yang telah berlaku. Akhirnya, peristiwa penyebab aku pengsan tadi kini berlegar-legar di fikiranku. Aku mendesah lalu menarik nafas perlahan-lahan. Hatiku ketawa kelucuan. Barangkali, adegan yang dilakonkan Ameera begitu mengejutkan aku. Biarkanlah. Cuma, aku terkilan sedikit kerana terlepas banyak maklumat tentang perjumpaan itu. Ingin bertanya, tetapi pada siapa. Pasti saja aku ditertawakan kawan-kawan jika bertanyakan isu-isu perjumpaan tadi. Lagipun, kawan-kawanku tahu perhubungan aku dengan Ameera itu bagaimana. Aku beralah. Niat ingin bertanya kuurungkan saja.
            “Pengumuman, bermula esok Cikgu Rafi akan ajar subjek Sains. Diharap semua akan bersedia untuk memulakan pembelajaran bersama Cikgu Rafi di Makmal Sains.” Hadijah selaku ketua kelas menyampaikan pengumuman pendek. Ketua Kelas yang baik hati tetapi tegas. Sesuai dengan jawatan yang diamanahkan kepadanya kerana terserlah kepimpinannya.
*          *          *
            “Baiklah, hari ini hari pertama kamu semua akan mengikuti subjek Sains bersama saya. Cikgu harap, pemergian Cikgu Firdaus tidak mematikan semangat belajar kamu, tetapi jadikanlah apa juga impian dan harapannya terhadap kamu selama ini agar jadi kenyataan. Saya yakin, beliau sudah tentu mendoakan kamu agar lulus cemerlang dalam SPM 2017 nanti.” Tukas Cikgu Rafi penuh yakin dan bersemangat.
            Aku menekup kedua-dua telingaku yang aku sembunyikan di sebalik tudungku. Emosiku terganggu dengan kata-kata Cikgu Rafi. Dia tidak layak untuk menyebut nama Cikgu Firdaus. Dia cuma guru baharu yang berlagak. Pelajar lain bolehlah dia umpan dengan penampilannya itu, tetapi bukan dengan aku. Mahu saja aku mencelah, tetapi Hadijah sempat mengerling aku. Hadijah bijak dapat meneka isi hati aku waktu itu. Jikalau tidak, riuh-rendah Tingkatan Lima Mawar aku perlakukan. Entah mengapa, setahu aku selama ini aku bukannya seorang yang mudah terasa atau panas baran. Walhal, aku suka buat lawak dalam kelas bersama kawan-kawan yang lain. Begitu kuat tekanan yang aku alami akibat pemergian Cikgu Firdaus. Di rumah, ayah dan ibu juga perasan akan perubahan aku. Aku menceritakan segala yang terbuku dalam hati, ibu berpesan agar perbanyakkan solat dan sedekahkan Surah Al-Fatihah buat Cikgu Firdaus. Ibu banyak menenangkan ‘rasa kehilangan’ yang amat mendalam ini.
            Gejolak hati yang belum ada penawarnya. Seringkali terpandang potret Abang Long mengingatkan aku tentang Cikgu Firdaus. Wajah mereka mirip. Pemergian Abang Long sewaktu aku berada di Tingkatan Tiga sangat mempengaruhi aku waktu itu. Hampir tiga bulan aku tidak dapat menumpukan pelajaran. Ayah risau kerana tinggal beberapa bulan saja aku akan menduduki peperiksaan PT3. Ayah memujuk aku setiap hari. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kerana hikmah di sebalik itu kami solat jemaah setiap hari jika berkesempatan. Kembalinya Abang Long kepada pencipta-Nya, maka kini hanya tinggal ayah, ibu dan aku. Kehadiran Cikgu Firdaus tepat pada masanya. Semuanya dengan aturan Allah. Saat aku kehilangan abang tersayang, DIA hadirkan aku dengan seorang insan yang memiliki sifat dan sikap seakan Abang Long. Ayah pernah bertemu dengan Cikgu Firdaus dan menceritakan kisah aku. Mujur, Cikgu Firdaus bersikap terbuka untuk mengambil aku sebagai adik angkatnya. Kebetulan atau suratan, Cikgu Firdaus juga pernah kehilangan adik tersayang. Sebab itulah, aku beranggapan kisah kami mempunyai pertalian. Walaupun, pada mulanya ada yang memfitnah kami. Ayah sendiri datang berjumpa dengan pentadbir sekolah dan menerangkan situasi sebenar. Aku dapat rasakan kasih sayang ayah dan ibu terhadap Cikgu Firdaus, cuma orang tua lebih bijak menyembunyikan perasaan mereka. Tabahnya mereka.
            “Bermula hari ini, cikgu akan aplikasikan alat visualiser semasa pengajaran dalam pembelajaran Sains.” Kata Cikgu Rafi sambil tangannya lincah mengeluarkan beberapa alat dan diletakkan atas meja.
            “Visualiser?” Hampir semua pelajar mengeluarkan perkataan sama sekali gus. Tidak termasuk aku. 35 orang pelajar cukup ramai untuk satu kelas. Tetapi, kami sudah serasi dengan situasi ini. Sekolah Menengah Sri Bintang ini memang mempunyai ramai pelajar. Tambahan lagi, setiap tingkatan mempunyai lima pecahan kelas. Sekolah ini juga terkenal dengan kecemerlangan akademiknya. Tahun ini saja, sekolah ini dicalonkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Ucapan pengetua pada hari Isnin semasa perhimpunan sekolah masih terngiang-ngiang di halwa telingaku. Pelajar-pelajar SPM 2017 tahun ini memikul tugas besar, kami adalah penanda aras untuk menentukan kelayakan calon sekolah kluster. Gerun kami dibuatnya.
            “Ya, pernah dengar apa itu visualiser?” Sambung Cikgu Rafi lagi.
            “Mmm...kalau visual pernahlah cikgu,” pantas saja Ameera menjawab. Biasalah dengan gayanya  yang kemanja-manjaan. Tapi, jauh di sudut hati Ameera sebenarnya baik hati dan peramah. Sikap manjanya saja yang kadang-kadang kurang menyenangkan. Adakah aku cemburu? Ah!!! Tidak ada sebab untuk aku cemburu.
            “Visualiser juga dikenali Dokumen Kamera. Merupakan alat  ICT (Information and Communication Technologies) yang kos-efektif, jimat masa dan mudah digunakan. Kita hanya perlu menyambung visualiser pada projektor atau monitor atau papan interaktif dan menghidupkannya. Kemudian kita letakkan objek yang perlu dipaparkan dibawah kamera.” Bersungguh-sungguh Cikgu Rafi menerangkan kepada kami.
            ‘Menarik’ getus hatiku. Aku mula tertarik. Aku memang meminati subjek Sains. Aku selalu mendapat gred A dalam subjek Sains. Hatiku berkobar-kobar ingin menyoal, tetapi dek ego yang meraja, aku paksa diri untuk diamkan saja. Aku tidak mahu diibaratkan ‘menjilat ludah sendiri’. Salahku juga telah memandang serong terhadap Cikgu Rafi.
            “Apakah kelebihannya cikgu?” Hadijah bertanya. Riak wajahnya menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi.
            Pelajar-pelajar lain turut mengangguk-angguk kecil tanda ingin tahu.
            “Ohhh...sangat banyak. Antara kelebihan yang utama ialah, setiap kali ada tugasan berkumpulan atau individu yang memerlukan pembentangan kamu boleh aplikasikan alat ini. Hanya perlu sediakan bahan saja. Malah, setiap objek yang kamu paparkan melalui dokumen kamera ini kelihatan lebih jelas dan seolah-oleh hidup. Cikgu percaya minat belajar kamu akan meningkat dan merangsang minda untuk menjana idea-idea baharu. Betul kan...?” Terang Cikgu Rafi.
            Penerangan Cikgu Rafi menampilkan kewibawaanya dan kepakarannya dalam menggunakan alat ICT tersebut. Setiap kali memberi pendedahan berkenaan visualiser, tangannya silih berganti memaparkan objek-objek melalui dokumen kamera. Tiap satu menarik minatku. Tanpa aku sedari perlahan-lahan pendekatan visualiser mengikis rasa benciku yang bersarang terhadap Cikgu Rafi. Aku hanya tidak pasti, bagaimana untuk meluahkan rasa kesal itu. Aku mesti cari jalan.
            Pembelajaran hari ini, begitu menakjubkan. Penyampaian Cikgu Rafi terus meresap dalam kotak fikirku. Mudah difahami. Jelas dan kreatif. Sebelum kelas berakhir, kami dibahagikan kepada lima kumpulan terdiri daripada tujuh orang ahli. Pembentangan adalah pada kelas minggu hadapan. Hari ini juga, kelihatan semua pelajar menunjukkan reaksi positif dalam pembelajaran Sains. Agaknya, penangan visualiser yang baharu itu berjaya memberi manfaat kepada kami. Selama ini, pasti ada saja keluhan atau rungutan jika diberi tugasan berkumpulan. Masing-masing mengelak untuk menyiapkan tugasan. Apatah lagi, jika tiba giliran pembentangan pasti ada yang tidak mahu. Asyik-asyik pelajar sama sahaja yang menjadi mangsa untuk membentang. Hatiku terharu melihat perubahan ini. Termasuklah diri aku.
            Dalam diam, aku menyemai hasrat untuk menawarkan diri sebagai pembentang mewakili kumpulanku minggu hadapan. Mudah-mudahan langkah berani ini akan memberi sinar buatku melupakan tanggapan negatifku terhadap Cikgu Rafi, begitu juga aku bertekad untuk menjernihkan semula hubungan aku terhadap Ameera. Sesekali, bayangan Cikgu Firdaus seolah-olah berdiri di hadapan sambil tersengih-sengih. Begitulah Cikgu Firdaus yang tidak lokek dengan senyuman terhadap kami.
            ‘Maafkan Syima cikgu. Maafkan Syima. Bukan bermaksud untuk Syima melupakan cikgu. Tiba masanya untuk Syima redha akan pemergian cikgu. Syima terlalu pentingkan diri hingga melukakan banyak hati di sekeliling Syima. Cikgu akan selalu dalam ingatan dan doa Syima. Syima berjanji akan meneruskan perjuangan ini dan melakukan yang terbaik dalam SPM tahun ini. Pesanan-pesanan cikgu segar dan mekar membugar dalam hati ini. Damailah dan tenanglah cikgu di alam sana...’
            Amin Ya Rabbal alamin.
            Sebelum melelapkan mata, berbekalkan semangat yang membara aku menghidupkan komputer. Ingatan tentang visualiser menjadikan aku bersemangat untuk meneroka tentangnya. Aku menaip ‘visualiser’ pada laman sesawang google. Tidak tergambar kegembiraan yang melingkari lubuk hatiku saat ini, memang menarik alat ICT itu.

            ‘Visualiser penjalin ukhuwah. Begitu besar hikmahnya. Terima kasih Cikgu Firdaus. Selamat datang Cikgu Rafi.’

BiarTular di Langit Cinta

Oleh

Aish, seorang gadis cantik yang dilahirkan sekitar tahun 90-an di sebuah kota raya yang sedang pesat membangun. Aish seorang gadis yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang bertaraf hidup sederhana. Di celah-celah jutaan manusia yang masih mengintai peluang dan ruang untuk mencapai impian, terselit seorang Aish yang telah teguh berdiri dengan pendapatan lumayan dan mempunyai pengaruh tersendiri di laman sosial miliknya.

Aish, seorang gadis cantik yang dilahirkan sekitar tahun 90-an di sebuah kota raya yang sedang pesat membangun. Aish seorang gadis yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang bertaraf hidup sederhana. Di celah-celah jutaan manusia yang masih mengintai peluang dan ruang untuk mencapai impian, terselit seorang Aish yang telah teguh berdiri dengan pendapatan lumayan dan mempunyai pengaruh tersendiri di laman sosial miliknya.
Keberanian dan kepetahan Aish telah menjadi senjata untuk membolot perhatian masyarakat.Tambahan pula, Aish seorang penggemar fesyen Korea yang menjadi kegilaan remaja masa kini.Pada Aish, kecantikan amat penting untuk meningkatkan keyakinan diri.Setiap hari, Aish akan memuat naik foto atau video tentang dirinya termasuklah aktiviti harian yang diselubungi kemewahan baik cara berfesyen dan juga makanan yang terhidang.

Aish memiliki hobi mengumpul barangan yang berjenama mahal seperti Gucci, Channel, Prada dan sebagainya.Senang kata di mana sahaja ada koleksi dan promosi baranganberjenama, pastinya Aish akan muncul. Maka tidak hairanlah pengikut akaun Instagram miliknya sahaja telah mencecah 1.8 juta orang dan rentetan itu, ramai remaja menjadikan dia sebagai idola.

Namun begitu, kemewahan dan kebahagiaan yang ditayangkan di laman sosial miliknya hanyalah ciptaan semata.Pada hakikatnya, Aish hanyalah anak sulung kepada seorang pemandu dan pembantu rumah di kediaman seorang konglomerat tersohor.Aish mempunyai sepasang adik kembar, Attar dan Aulia yang berusia 20 tahun.Masing-masing masih menuntut di salah sebuah universiti tempatan.

Berbeza dengan Aish, di awal usianya mencecah 20 tahun, Aish telah memilih untuk berhenti bekerja
 di sebuah firma guaman sebagai seorang kerani apabila foto-foto yang menyerlahkan kecantikannya mulai tular di Instagram. Padanya, jawatan yang disandang terlalu rendah dan pendapatannya juga tidak membantu dia memenuhi kehendak.Menjadi seorang Iger yang dibayar adalah impian ramai orang, dan Aish juga begitu. Ternyata tuah ayam nampak di kaki tuah Aish ada di laman sosial.

Namun begitu, keghairahan Aish berkongsi tentang kehidupan palsu di media sosial tidak menyenangkan hati keluarganya.Pernah sekali ayahnya menegur perbuatannya itu ketika mereka menikmati makan malam bersama di sebuah pangsapuri milik majikan ayah dan ibunya. Pangsapuri tersebut telah dihadiahkan kepada  ayah dan ibunya sebagai tanda penghargaan akan kesetiaan mereka bekerja berpuluh tahun lamanya.

            “Kakak, nak menunjuk biarlah berpada-pada, ukurlah baju tu di badan sendiri.Tak perlu kakak nak meraih perhatian kawan dengan kemewahan.Kalau mereka ikhlas berkawan, mereka semua mesti akan terima kakak seadanya.” Kata-kata ayah yang sering terngiang-ngiang di telinga Aish yang kadang membuatkan Aish bermonolog.

“Alah ayah apa tahu? Nasihat orang je pandai.Dia tu bukan elok sangat pun.Pemalas! Sebab tu la jadi kuli je. Tengok aku ni tidur bangun tidur bangun pun duit masuk. Dah Tuhan bagi kelebihan guna je la.” ,omelnya sambil bergelak sakan bangga dengan kecantikan yang dimilikinya.

“Eish akak ni. Tak baik cakap ayah macam tu. Kalau bukan sebab ayah tak adanya akak nak pakai Iphone 6 tu.” , tegur Attar apabila terkejut mendengar kata-kata kakaknya yang dianggap melampau. “Ye la kak, hargai sikit apa yang ayah dengan ibu buat untuk kita. Jangan tahu nak merungut je,”  sampuk Aulia tanda setuju dengan kata-kata Attar.

            “Eh bingit la.Jangan sibuk hal aku boleh tak? Kamu berdua apa tahu? Dasar budak hingusan, banyak bunyi betul la.Dah la hadap buku tu lama-lama mana la tahu keluar emas ke berlian ke nanti.Hahahahaha (gelakbesar)” ,balas Aish dengan marah. Mendengar kata-kata itu, Attar dan Aulia hanya memandang sesama sendiri dan menggelengkan kepala isyarat tidak berpuas hati dengan gelagat kakaknya yang lima tahun lebih tua daripada mereka.

Kelihatan Aulia jauh termenung mengimbas kembali saat kakaknya itu menangis-nangis meminta ayahnya membelikan telefon bimbit keluaran Apple.Pada ketika itu, dia dan kembarnya Attar baru sahaja diterima masuk ke universiti. Ketika ibu dan ayah sedang sibuk membantu Attar dan Aulia membuat persiapan terakhir sebelum kekolej kediaman, Aish menunjukkan rasa iri hati kerana ayah dan ibunya seakan pilih kasih kerana terlalu memberikan perhatian kepada adik-adiknya.

“Ayah dengan ibu ni manjakan sangat budak-budak ni. Biarkan je la budak-budak ni kemas barang sendiri.” , kata Aish sambil mencebik bibir. “Takapa la kak, bukan selalu ibu dengan ayah ada masa dengan Attar dan Aulia. Lagipun esok mereka dah nak mula belajar,”  balas ibunya sambil mengukir senyuman bahagia. Telah lama dia menunggu saat ini.Hati ayah dan ibu mana yang tidak bahagia apabila anak-anaknya berjaya.

“Ibu ni kalau pasal Attar dengan Aulia je semua boleh.Kalau Aish je semua tak boleh,”  ngomel Aish sambil menangis teresak-esak. “Kak, jangan lawan ibu macam tu. Tak eloklah.Apa lagi yang tak cukup? Makan, pakai semua cukup kan ayah bagi. Tu haa duk online memanjang tu bukan ayah ke yang bayar bil. Seratus lebih sebulan,” sambung ayahnya yang sejak tadi memerhati Aish yang sedang ralit menatap skrin telefon bimbitnya di atas sofa sambil tersenyum.

“Apa-apa jela ayah.Ayah dengan ibu memang tak sayang kakak.” ,tengking Aish sambil berlari menuju ke bilik. “Dooom” ,bunyiA ish menghempas pintu lalu ayahnya berlari kebilik Aish. “Tok,tok,tok”, bunyi ayah mengetuk pintub ilik Aish. “Kakak, jangan macam ni, tak kesian dengan ayah ke?” Soal ayahnya dengan nada sebak. “Dah la ayah! Ayah memang tak sayang kakak!” ,tengking Aish. “Baiklah, apa yang kakak nak ayah buat? Kakak cakap la apa sahaja ayah akan tunaikan,”  pujuk ayahnya. Sambil tersenyum puas, Aish membuka pintu perlahan-lahan dan membisikkan pada ayahnya, “Kakak nak Iphone 6.”

Demi Aish, ayahnya sanggup mengikat janji sedangkan hatinya berat kerana masih banyak keperluan lain yang perlu dia cukupkan. “Baiklah, nak. Nanti ayah belikan.” , sambil tersenyum ayah berjalan menuju ke dapur. Ketika itu, sempat Aulia mengintai ayahnya melalui celah langsir. Terkedu Aulia melihat ayahnya terduduk di tepi peti ais, berjuntaian air matanya jatuh membasahi kain pelikat cap gajah duduk yang dipakai.

Tersentak Aulia apabila Attar menepuk bahunyaserayabertanya, “Lia, apa yang dimenungkan tu?”.“Tak ada apa la abang.Cuma teringat masa ayah cakap nakbelikantelefonkatkakakdulu. Kesian ayah kan abang? Masa tu ayah bukan ada duit. Ayah sanggup potong rumput hujung minggu untuk kumpul duit belikan kakak benda tu.” , kata Aulia sambil mulutnya muncungkearahAish yang sedanglekamengeditfotonyamenggunakanaplikasitelefon pintar. “Biarlah dia. Dah jatuh tergolek, sedarlah tu nanti.” , balas Attar sambil mengukir senyum sinis. Aulia hanya mengukir senyuman hambar.

Keesokan harinya, “Kakak! Kakak! Buka pintu ni cepat!!”, panggil Aulia yang kelihatan tertekan seakan ada perkara buruk yang telah terjadi. “Eh budak ni! Kau dah kenapa pagi-pagi buta dah kacau orang tidur?” omel Aish sambil memulas tombol pintu kamarnya. “Haa, nakapa? Kalau nak duit cari sendiri!!” , tanya Aish dengan nada sinis. “Eh akak ni, mulut tu bertapis sikit boleh tak?” Tegur Aulia. “Eh kau jangan buang masa aku boleh tak? Cepat la cakap! Kau nak apa??” Tengking Aish.

Sambil menghela nafas panjang, Aulia menunjukkan telefon bimbitnya kepada Aish.“Kau dah kenapa tunjuk telefonburuktukataku? Kau ingat aku hairan dengan telefon kau tu?” Omel Aish dengan nada sinis sambil menjeling tajam ke arah adiknya. “Kak, baca ni! Hadam betul-betul! Jangan asyik syok sendiri je. Orang kat luar tu ramai je nak tengok akak tersungkur.” , tengking Aulia.

Lantas Aish merentap telefon bimbit adiknya dengan kasar dan meneliti setiap bait ayat yang tertera di paparan skrin telefon tersebut. Dengan jelas tertera tulisan, “Realiti Hidup Aishmaira! Ku sangka berlian rupanya kerikil.#mohoncermindiri ”dan terpampang sebuah video berdurasi 5 minit yang menayangkan gelagat Aish sedang membeli-belah di sebuah kedai pakaian terpakai di sebuah bandar. Ternyata video tersebut telah menular di laman sosial.

“Ahh, belah la kau. Suka la kau kan?” Omel Aish sambil menolak tubuh kecil Aulia. Terjatuh Aulia di hadapan pintu bilik kakaknya lantas dia pergi ke ruang tamu untuk memberitahu Attar. Sementara di dalambilik, Aish segera mencapai Iphone 6 miliknya untuk memeriksa akaun Instagram  yang dibanggakan. Terduduk Aish di penjuru biliknya menghadap tingkap.Betapa terkejutnya dia apabila menerima pelbagai komen negatif daripada pengikutnya.Ada yang mengatakan bahawa dia tidak sedar diri, ada pula yang menggelarnya perempuan hipokrit dan bermacam-macam lagi.

Hampir seminggu Aish mengunci diri di dalam biliknya.Dia hanya keluar daripada bilik untuk makan sahaja.Itu pun dia hanya menjamah juadah sedikit sahaja.Gelagatnya juga tidak seperti kebiasaan.Biasanya, mulut Aish akanberbicaraseperti murai. Bicaranya tidak akan terhenti melainkan dia terlena. Namun begitu, setelah tragedi itu menimpa dirinya, dia tidak lagi petah seperti dulu.Apabila dia keluar dari rumahnya sahaja, jiran tetangga mula memaki hamun, memerli dan memulaukan dirinya.

Kejadian tersebut benar-benar meninggalkan trauma untuknya.Itulah hakikat yang paling payah untuk diterima oleh Aish.Semua barangan berjenama yang digayakannya adalah pemberian isteri majikan ibu dan ayahnya.Foto-foto di butik-butik barangan berjenama diabadikan di laman sosial miliknya hanya untuk mengaburi mata pengikutnya.

“Kakak, jom ikut ayah dengan adik-adik keluar jalan-jalan.” Ajak ayahnya dengan nada pilu. Perlahan-lahan Aish menguak pintu lalu dia memeluk erat ayahnya sambil menangis teresak-esak.Kali ini, Aish gagal melawan rasa sedih dan kecewanya.Bertalu-talu dia memohon maaf daripada ayah, ibu dan adik-adiknya. Di saat dia memeluk ayahnya, sempat ayahnya berbisik,
“Aishmaira, anak ku sayang, hidup kita bukan untuk meraih perhatian manusia.Tuhan telah menetapkan bahawa lahirnya manusia ke dunia untuk menjadi seorang khalifah, melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kalau perhatian Pencipta yang kita raih, pasti hidup kita akan selalu tenang tetapi kalau perhatian manusia yang kita dambakan, suatu masa kita pasti akan merasa kecewa. Anakku, biar nama kita tular di langit cinta-Nya, kerana itulah matlamat utama kita diciptakan.”

Kerajaan Rakyat

Oleh Mohamad Husaini Husin

POHON-POHON renek di pembahagi jalan atau di tepi bahu jalan, semuanya diserkup dengan plastik berwarna merah dan biru. Bagi yang baru menjejaki kaki di bumi empat musim, memanglah terasa pelik dan janggal.
“Tuan, kenapa pokok-pokok itu diserkup plastik?” Tanya seorang anak perempuan comel. “Pokok itu bisa mati jika tidak diserkup kerana kedinginan.”
Jawab pemandu pelancong fasih berbahasa Melayu mirip Indonesia.
“Bukan saja manusia akan mati tetapi tumbuh-tumbuhan juga akan mati kedinginan.
Begitu?” pertanyaan lanjut anak comel itu.
“Yeaa…” “Kenapa pokok-pokok besar tidak diserkup juga?” “Pokok besar, akar, batang dan dahannya juga besar. Bisa menahan sejuk. Nanti menjelang musim bunga, daunnya kembali tumbuh! Pasti indah!” “Pokok-pokok kecil ngak bisa tahan dingin yea?” Anak comel itu bertanya dengan bahasa meniru lenggok bahasa Indonesia pemandu pelancong itu.
“Yeaa…” Salji turun lagi. Ada salji yang turun dan berkumpul.
Bertompok-tompok di sana-sini termasuk di dahan-dahan pokok tanpa daun dan di atas serkup plastik pokok-pokok renek. Ada yang bertimbun di tepi-tepi bangunan dan di atas bumbung.
Bagi yang pertama kali melihat suasana pemandangan alam bersalji, pasti terasa gembira dan teruja melihat salji turun melayang-layang seperti kapas putih diterbangkan angin.
Seluruh gumpalan-gumpalan kecil itu turun menuju ke bumi dan sekejap diterbangkan ke arah lain termasuk kembali melayang menuju ke atas langit ditiup angin kencang. Angin yang tiba-tiba menerpa menambahkan kedinginan suasana.
Ada gumpulan salji jatuh ke lantai konkrit serta jalan raya bertar dan terus mencair dan ada yang membeku, menjadikan permukaan tersebut seperti diselaputi oleh lapisan ais jernih. Ais yang jernih sejernih-jernihnya. Selaput itu menjadikan permukaan itu sangat licin untuk tayar kenderaan. Memudahkan kereta menggelonsor dan sukar dihentikan, apatah jika menekan brek sekuat hati.
Berjalan di kawasan itu juga perlu berhati-hati terutama jika memakai kasut yang tidak sesuai atau tapaknya sudah haus. Dari berjalan tegak berdiri boleh tergelincir jatuh terduduk seperti buah nangka jatuh ke tanah dan sukar untuk bangun tegak berdiri kembali.
Sesekali kelihatan kenderaan penguasa menyodok salji-salji yang bertimbun di tengah jalan. Kemudian kenderaan itu menabur garam untuk memudahkan salji mencair lalu menjadi air jernih dan mengalir  dari tengah jalan ke parit-parit kecil di tepinya. Ada yang keras membeku sebelum sempat sampai ke parit-parit kecil itu.
“Seronok ya… tengok salji turun. Cantik!” Anak comel itu meluahkan perasaannya sambil memandang ke arah dia. Dia hanya angguk-anggukkan kepala, sekadar mengambil hati anak comel itu.
Lantas anak cilik itu membuka pintu lobi hotel dan bermain-main dengan salji yang berguguran. Gembira sekali wajahnya dan ceria gelagatnya.
“Malang generasi anak comel ini.” Bisik hatinya.
Dia tersenyum melihat telatah anak comel itu.
Kegembiraannya pasti sebentar sahaja. Keterujaannya pasti sekejap cuma. Kegembiraan dan keterujaannya bermain salji itu pasti akan dibunuh kejam oleh kedinginan salji itu sendiri.
Sebentar kemudian dia masuk semula. Dia keluar kembali untuk bermain-main dengan salji dan cuma sebentar, lantas dia kembali ke dalam lobi hotel.
Begitulah kelakuannya beberapa kali, dan akhirnya dia hanya memandang saja salji berguguran dari dalam ruang tamu hotel.
“Kenapa?” Tanya pemandu pelancong tadi.
“Kenapa apa, pak?” Tanya kembali si gadis comel.
“Kenapa ngak keluar bermain salji lagi?” “Dingin banget... Ngak bisa lagi menahan kedinginan!” Dia sedang duduk-duduk di atas sofa kulit berwarna hitam di lobi, merehatkan diri sambil memerhatikan kelakuan manusia asing berkulit putih dan bermata sepet lalu-lalang di depan kaunter hotel.
Walau di dalam hotel serta berpakaian kulit tebal, dingin cuaca masih terasa sehingga perit rasa kulit. Sofa juga terasa sejuk seperti sedang duduk di atas air batu, kedinginan terasa seperti mencucuk-cucuk tulang putih, menebusi seluar jean dan sehelai seluar di dalam. Tidak termasuk sepasang “Long John.”
“Tuan!” Tegur ketua rombongan merangkap penaja lawatan itu. Wajahnya ada garis-garis ketuaan terutama di tepi mata. Misainya tebal menghitam dan rambutnya sudah ada putih-putih uban tetapi ditutupi dengan songkok baldu kehitaman.
“Ya.” “Termenung seorang saja. Nampak macam tidak gembira berada di sini.”
“Aku sudah biasa ke negara bersalji berbulan-bulan. Barubaru sampai memanglah teruja tetapi apabila sudah berbulan lamanya, seksa jadinya. Cuaca sebegini masih di kira baik. Jika bawah 20 darjah celcius, terpaksa terperuk 24 jam di dalam rumah dengan pemanas senantiasa dipasang. Kehidupan di dalam dunia sebesar rumah, di dalam empat dinding umpama penjara.
Mental yang lemah menjadikan empunya mental itu gila. Gila kebosanan dan keseorangan.
Bertambah seksa jika bekalan elektrik terputus akibat timbunan salji berwarna keputihan tetapi gelap sekali penderitaan batin akibatnya”
“Habis kenapa ikut kami ke sini?”
“Aku ikut kerana ingin kembali mengingatkan diri sendiri betapa bebalnya kebanyakkan rakyat di negara kita.”
“Kenapa tuan berkata begitu?” Kehairanan si pemakai songkok. “Kau perhatikan anak comel itu.”
“Kenapa dengan anak itu?” “Perhatikan! Lihat tingkahlakunya. Apa yang kau perhatikan?” “Anak itu gembira melihat salji. Sesekali dia keluar untuk bermain salji.”
Masih bebal
“Berapa lama dia mampu menahan kedinginan salji.” “Tidak lama. Sebentar saja.” “Kau lihat pula pohon-pohon di luar. Ceritakan keadaannya.” “Pokok-pokoknya tidak berdaun dan ada yang ditimbuni pangkalnya dengan salji-salji seumpama busut anai-anai.”
“Bagus. Semua itu jika difikirkan dalam-dalam menunjukkan rakyat di tanah air kita rata-ratanya masih bebal walau berpelajaran tinggi!”
“Apa kaitannya?”Dia hanya tersenyum. “Bas sudah sampai. Mari kita naik bas.” Pelawa si pemandu pelancong.
Dia masih lagi tersenyum sambil bergerak ke arah bas.
Soalan tidak berjawab. Apabila keluar dari pintu lobi dia membetulkan bajunya dan kedua tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Jalannya laju seperti mengejar sesuatu. Begitu juga dengan pelancong-pelancong dari negaranya termasuk anak comel cilik tadi. Dia berlari-lari menuju ke bas meninggalkan ibu bapa di belakang. Nampaknya anak comel itu hendak segera di dalam bas. Kedinginan agaknya.
Dipermulaan dan di sepanjang perjalanan pemandu pelancong menerangkan pelbagai perkara berkaitan negaranya itu terutamanya maklumat tentang kawasan dilalui bas ketika itu.
Dia hanya sesekali menumpukan perhatian terhadap bicara pemandu pelacong itu. Itu pun tumpuan sambil lewa.
Selebihnya, dia menumpukan perhatian menikmati panaroma di luar bas.
Bas melalui sebuah perkampungan. Tanahnya datar dan seluas mata memandang.
Hanya kelihatan seorang dua di luar rumah dengan pakaian tebal memberatkan diri. Merimaskan.
Tiada pepohonan hijau. Ada beberapa rumah yang sangat jauh jaraknya.
Kelihatan kawasan yang luas di sekeliling sebuah rumah. Mungkin kebun sayursayuran kerana masih kelihatan batas-batas kebun, namun tiada tanaman yang tumbuh dan semuanya membeku kegersangan. Ada banyak juga kolam-kolam ternakan ikan dan hampir semuanya dilitupi oleh ais di tepi-tepi kolam. Tiada yang menarik perhatian tetapi dia tetap merenung pemandangan yang menjemukan itu.
“Alangkah bertuahnya ibu pertiwi tetapi majoriti rakyatnya bebal!” Terkeluar keluhan penuh kekesalan itu tiba-tiba.
“Cuba tuan kongsi keluhan tuan itu.” Rakan di sebelahnya bertanya. Orang bersongkok di lobi tadi.
“Lihatlah negara ini. Tanahnya lebar luas tetapi kegersangan akibat musim dingin membeku. Tanah ketandusan, tiada tumbuhan yang boleh tumbuh segar.
Malahan sungai dan kolam membeku menjadi batu!” “Saya melihat keindahan tempat orang tetapi tuan melihat kegersangannya.”
“Indah di mata orang tidak pernah melihat. Gersang bagi yang sudah biasa dan mampu berfikir. Pasti ketara kegersangan ini jika dibandingkan di tanah sendiri. Kegersangan ini bukan sekejap, malah berbulan-bulan!” “Apa kaitannya dengan kebebalan rakyat kita?”
“Negara kita sebuah negara bertuah. Mentari bersinar cerah dan hujan sepanjang tahun, kecuali sekejap di kala hujan atau lama sedikit di musim tengkujuh. Tumbuh-tumbuhan subur sepanjang tahun. Hutan tropika menghijau memikat jiwa.
Air sungai sentiasa mengalir. Ada yang mengalir dengan deras dan ada yang lemah-gemalai. Hasil bumi juga banyak! Kenapa rakyat rata-ratanya masih berhempaspulas untuk meneruskan kehidupan. Malahan ramai yang merempat di bumi nan subur!” Terdiam. Mungkin memikirkan persoalan diutarakan itu. “Maaf, saya masih belum dapat mengaitkan dengan kebebalan rakyat kita.” Bertanya orang bersongkok.
Dia tersenyum memandang orang yang bersongkok itu.
“Beginilah tipikal rakyat negara sendiri. Walau kaya-raya tetapi tidak berupaya memikirkan sesuatu yang jauh sedikit.” Bisik hatinya.
Suasana hening seketika. Hanya kedengaran bunyi enjin bas. Bas mewah dilengkapi dengan sistem pendingin dan juga pemanas udara. Ketika ini pemanas dihidupkan untuk memanaskan suhu di dalam bas. Ketika musim panas terik, pendingin hawa pula dipasang.
“Kenapa negara subur rakyatnya menderita? Perit kehidupan kita?” “Mungkin rakyat malas berusaha?”
“Cuba perhatikan, rakyat negara ini tidak dapat berbuat apa-apa akibat kedinginan berbulan-bulan lamanya. Adakah rakyat negara kita begitu malas sekali sehingga tidak bekerja berbulan-bulan lamanya seperti mereka?”
“Saya rasa segelintir saja. Hampir kesemuanya berhempaspulas mencari sedikit habuan untuk meneruskan kehidupan.”
Celahan dari anak muda duduk di kerusi belakang. Misainya jarang dan janggutnya sejemput.
“Lalu kenapa rakyat masih ramai menderita?”
“Ekonomi tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan.” Anak muda tadi menjawab.
“Nah… ada anak muda yang pintar juga akhirnya. Adakah kalian dapat nafikan kerajaan yang ada adalah kerajaan korup.
Perbelanjaan kerajaan terlalu tinggi dan ketirisan tidak diambil peduli. Khazanah negara menjadi rebutan penguasa-penguasa elitis kebal undang-undang?”
“Lalu apa yang perlu dilakukan untuk mengubah kerajaan?” Anak muda di kerusi belakang bertanya pula.
“Jadilah rakyat yang pintar. Seru dan ajak semua rakyat untuk sama-sama menjadi pintar. Kerajaan didirikan oleh rakyat dan sepantasnya kerajaan berkhidmat untuk rakyat. Rakyat pintar memilih kerajaan rakyat dan bukannya memilih kerajaan umpama penjajah, menjarah khazanah negara untuk diri, kenalan dan keluarga sendiri.
Penguasa yang sepatutnya merempat dahulu, sebelum ada mana-mana rakyat merempat.
Kerajaan rakyat mesti didirikan!” Semangat nada suara dia seolaholah sedang berceramah di atas pentas utama dengan ribuan pendengar. Sehingga penumpang bas paling jauh juga mendengar ceramahnya itu dan kadangkadang mengerlingnya.
“Ya betul. Kerajaan rakyat mesti didirikan!” Sahut anak muda itu lagi.
Orang bersongkok mencuka wajahnya. Dia hanya tersenyum.
Sambutan anak muda itu menggembirakan hatinya. Jika ramai anak muda sebegini, harapan cerah kerajaan rakyat dapat didirikan segera…
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER