Oleh SYAHIR SULAIMAN
"WAHAI jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al- Fajr: 27-30)
1995 – Darjah 6
“Baik
murid-murid, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi”,
ujar guru kami.Hampir separuh rakanku memilih Perdana Menteri dengan
Wawasan 2020, dan hampir separuh lagi menulis tentang ketokohan
Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Seperti biasa,
hanya pemimpin yang dijadikan idola, bukan artis mahupun ahli sukan,
kerana pada zaman itu, tiada lagi fenomena Akademi Fantasia dan K-Pop,
apatah lagi tablet dan internet di tangan.
Seminggu kemudian,
karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun
aku mendapat satu teguran, “Jangan berpolitik di sekolah”.
1996 – Tingkatan 1
“Baik pelajar-pelajar, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi”, ujar guru kami.
Seperti
biasa, hampir separuh memilih (Tun) Dr Mahathir dan sebahagian lagi
tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala beberapa rakan yang kreatif
menulis tentang datuk dan ayah masing-masing.
Seminggu kemudian,
karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun
aku mendapat teguran yang sama, “Jangan berpolitik di sekolah”. Malah,
pada malamnya, aku dipanggil senior tingkatan tiga untuk menegur perkara
yang sama, mujur tidak disentuh (baca: buli), hanya diberi amaran keras
agar “Jangan berpolitik!”.
Pada hujung tahun, pada hari
penyampaian rekod pelajar, guru kelas sempat menegur ibuku, “Dia ini
bijak, tapi gemar berpolitik di sekolah”. Ibuku hanya tersenyum.
2013
Aku berkesempatan menziarahi tokoh yang sangat aku kagumi ini bersama beberapa sahabat.
Pada
awal bicara beliau menyebut, “Ana tenang sekarang walaupun uzur”. Satu
lafaz yang sangat dalam maknanya, terbit dari sanubari yang damai di
hujung usia, sambil berkongsi tertib medikasi yang perlu dilalui
badannya, selepas tidak lagi menjawat jawatan penting yang disandangnya
selama 23 tahun.
Beliau memberi pesanan khusus untuk anak muda,
“Kena kuat bertaqwa pada Allah, pada waktu terang atau sulit. Bagaimana?
Kena ikut nabi. Allah hantar nabi sebagai tok wakil dia di bumi untuk
sampaikan perintah pada kita”.
Beliau menyebut, Kelantan sudah
melaksanakan tuntutan taqwa sejak dulu. “Antara perkara pertama yang
ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta
pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab
ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kena buat”.
Pesan beliau,
“pemuda dengan kekuatan tenaga, kena perkuatkan taqwa, sama ada dengan
menulis, ceramah, program, pandai-pandailah”.
Ketika ditanya
bagaimana mahu istiqamah, beliau sebut, “Istiqamah ni 24 jam, tak boleh
sekejap-sekejap. Pada peribadi kita, kena jaga solat, solat awal waktu,
berjemaah. Biar orang tahu kita orang PAS, lebih baik dari orang Umno.
Kedua hal peribadi, kena banyak senyum. Antum nanti jadi orang besar,
jadi tok wakil, kena senyum sokmo walaupun letih”.
Ditanya apakah
aktiviti harian selepas tidak lagi bergelar MB, beliau menjawab, “Ambo
banyak kena rehat. Ambo suka baca buku. Nampak buku baru, semangat nak
baca. Belum sempat habis, nampak buku baru pulak. Lepas tu, suka
menulis. Apabila mari cetusan, kena cepat menulis. Kadang-kadang masa
nak tidur, mari idea, kena tulis. Kita kena bawa sokmo, kertas dan pen”.
Tok
guru turut berkongsi, dalam munajat dan doanya, antara doa yang paling
kerap dibaca, “Doa ambo pada mak ayah ambo. Kedua, doa pada orang yang
beri ambo makan minum”. Tok guru turut berpesan, “Banyak-banyak ingat
Allah, masa senang dan susah. Kadangkala Allah sengaja uji kita supaya
kita sebut ‘Allah’. Senang susah ni makjun hidup. Orang kaya pun ada
senang susah. Pak Mat kampung pun ada senang susah. Lazimi zikir,
sebutlah apapun, asal hati ingat Allah. Ambo berasa tenang sekarang”.
“Ambo
setakat ni je la, nak rehat”, sambil mengusap dada, ungkap beliau
mengakhiri pertemuan. Tatkala bersalaman selepas bergambar sambil
berkenalan dengan kami yang pelbagai profesion, tok guru sebut, “Zaman
ambo dulu, ada seorang sahaja lulusan universiti yang terlibat dengan
PAS di sini. Kami panggil dia, ‘Deraman Intelek’. Sekarang ni ramai dah
orang bijak masuk PAS”.
2015
Kini beliau
telah pergi buat selamanya, meninggalkan ilmu sebagai warisan. Ia sebuah
kematian yang menghidupkan, menjadi teladan setiap insan.
“Tok
Guru, ilmumu mengajarku erti Islam, hidupmu mengajarku erti zuhud,
tabahmu mengajarku erti sabar, lembut bicaramu mengajarku hikmah
berdakwah.
Nasihatmu sentiasa bernada sederhana, tidak pernah
kulihat dikau bersedih kerana dihina, kesedihanmu hanya kerana agamamu
dihina, tahajud dan doa sebagai senjata.
Ya Allah, jadikan kami
seteguh tok guru, jadikan kami sekuat tok guru, jadikan kami semulia tok
guru, jadikan kami pewaris perjuangan tok guru.
Ya Allah, semoga
tok guru sentiasa dirahmati, tenang berkelana di alam abadi, gembiralah
amat hati kami, bertemu tok guru di sana nanti.”
Tokoh yang saya kagumi, Tuan Guru Nik Aziz.
Penulis ialah Exco Pemuda PAS Malaysia.
Semoga Tok Guru tenang berkelana di alam abadi
Written By zabidi on Monday, 16 February 2015 | 4:40 pm
Labels:
Artikel


Post a Comment