Oleh DR DZULKEFLY AHMAD
INI
eulogi khas buat almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (10
Januari 1931- 12 Februari 2015). Tanggal malam Jumaat serta disemadikan
pada penguhulu segala hari adalah merupakan penyudah kehidupan yang
baik (husnul khatimah) bagi insan istimewa ini.
Puluhan ribu
manusia yang membanjiri bumi Kelantan persis pengkebumian almarhum
Ustaz Fadzil Noor, pada usia lebih muda, 65 tahun (13 Mar 1937 - 23 Jun
2002) ketika memimpin Parti Islam SeMalaysia, PAS selaku Presidennya
(1989-2002).
Telah banyak naratif tampil daripada pelbagai
sisi tumpuan pengkisahan hidupnya. Pelbagai istilah molok cuba untuk
dipakaikan kepada sosok tubuh ulama hebat ini. Penulis tidak perlu
mengulang atau menambah.Satu jilid besar sirah hidup Tok Guru juga tidak mencukupi untuk diabadikan riwayat sang murabbi-murshid-‘abid ini.
Lalu
penulis tidak malu dan silu untuk memohon pihak berkuasa mahupun pihak
korporat ataupun individu supaya cuba memperuntukkan dana yang selesa
menerbitkan autobiografi pemimpin ulama-umara ini.
Pentingnya, kualitinya tidak harus dikompromikan setanding autobiografi founding fathers, bahkan tokoh-tokoh pemimpin dunia yang pernah tampil di muka bumi ini.
Penulis
bukan jenis manusia ‘pengkagum’ tetapi untuk Tok Guru, hujahnya ketara
dan nyata. Belasungkawa atau eulogi ini hanya satu usaha kecil untuk
memberi makna sebenar tentang nilai pemikiran seorang ulama-umara ini.
Ya, penulis sedar Tok Guru bukan maksum.
Walaupun
bukan dari parti pemerintah persekutuan, pemikiran, tata kelola politik
yang bersih serta penuh integriti dan juga kehidupannya yang serba
sederhana, amat wajar dikaji untuk diteladani oleh generasi pewaris.
Pelbagai
sisi dan dimensi kajian ilmiah perlu ditekuni dan didalami. Fokusnya
bukanlah untuk periwayatan dan penonjolan naratif, tetapi maqasid
utamanya adalah pencerakinan sebuah pemikiran, bertema-teraskan
“Politikal Islam Dalam Sebuah Masyarakat Majmuk”.
Atas pengamatan
penulis yang telah berpeluang bukan sahaja hidup dibawah pimpinan Tok
Guru, malah juga bekerja dan ‘belajar’ secara langsung dengan Tok Guru,
mahu sahaja penulis syorkan dengan penuh yakin agar Tok Guru dinobatkan
sebagai “Mujaddid Zaman”, sekiranya diizinkan Ilahi dan disokong umat
Islam terkini.
Dunia kontemporari telah menyaksikan penampilan Politikal Islam dalam pelbagai model dan eksperimen (tajribah)
di serata dunia. Politikal Islam, takrif ringkasnya, disepakati sebagai
“projek menjayakan Islam dan penghayatan syariat sebagai teras
pemerintahan di dalam kerangka negara moden:. Satu snapshot mutakhir
kedudukan gerakan Islam wajar dirakamkan.
Tentunya kejayaan
berserta kegagalan Dr Morsi dan Ikhwan Muslimin mendepani ujian
demokrasi serta kecurangan-kebobrokannya, menjadi naratif ilmiah yang
didambakan generasi pemimpin gerakan Islam yang mendatang.
Erdogan
dan AKP pula pastinya tampil sebagai gerakan Islam yang cukup moden dan
sofistikated.
AKP tidak mempedulikan sangat status “gerakan Islamnya”
berbanding perlaksanaan program, agenda dan objektif mereka. Berpandukan
road-map partinya, Erdogan lantas merintis jalan-jalan baru
yang tidak konvensional yang penuh risiko.Kini AKP mula meraih pulangan
pelaburan berisiko tinggi itu.
Satu lagi keterampilan gerakan
Islam yang turut mewarnai naratif Politikal Islam kontemporari dipimpin
Sheikh Rachid Ghanoushi. Suaka politik di United Kingdom diakhir tahun
80an tamat apabila kembali memimpin an-Nahdah. Beliau menang pada
pilihan raya umum tahun 2011, tetapi kemudian kalah ketika menyerah
kuasa pemerintahan kepada rakyat ketika didesak seteru pada 2014 secara
damai dan demokratik.
Sesuai dengan penegasan sebuah Qawaid Fiqhiyyah: “Tasharruful imam ala ra’iyyah, manutum bil maslahah’
yang bermaksud “Tindak-rencana dan advokasi polisi Imam atau para
pemimpin adalah tergantung dan bersesuaian dengan kemaslahatan rakyat
yang mereka pimpin”. Begitulah kira-kira ketetapannya.
Pemimpin
Islam sangat sedar, siasah atau politik diukir dalam keluasan syariat
yang menjadi asas dan memandu segala tindakan dan pendirian, berlegar
disekitar bab muamalat, yang bersifat berubah-ubah (mutaghayyirat). Ruang siasah sentiasa bersifat baru dan memerlukan ijtihad.
Sebab itu hukum asal muamalat itu harus (mubah).
Perkara ini adalah sebaliknya dalam perihal akidah atau akhlak, yang
sifatnya tetap, tidak berubah dan tidak fleksibel. Akidah dan akhlak
tidak tertakluk kepada ijtihad justeru berubah zaman dan realiti
kehidupan yang moden.
Nah, dengan catatan pengantar di atas
penulis ingin membuat komentar tentang kepimpinan Politikal Islam Tok
Guru. Penulis hanya mampu memberi contoh-contoh secara selektif.
Terpenting, Tok Guru sangat konsisten dan tabah mendukungi teras dan prinsip Islam sebagai rahmat lil ‘aalamin.
Politik Islam olahannya terpasak di atas paksi dakwah Islamiyah,
sekaligus menghapuskan polemik jurang “politik vs dakwah”. Kedua anasir
ini seiring dan sebati serta menonjol dalam pemikiran siasahnya.
Meskipun
Tok Guru tidak lazim dikenali sebagai ideolog parti, tetapi
penghayatnnya jelas mencerminkan peranan dan kedudukan itu. Tok Guru
juga dilihat oleh samada kawan ataupun lawan sebagai seorang pemimpin
yang walk the talk (cakap serupa bikin).
Penglibatan
politiknya yang bermula sejak 1967 meletakkan Tok Guru amat peka dengan
dinamika politik negeri dan negara bahkan dunia seanteronya. Evolusi
tahapan pemikirannya disegi penggarapan perjuangan lebih menyerlah
ketika mengemudi PAS selaku Murshidul ‘Am parti.
Kerap Tok Guru
mengingatkan kepimpinan dan aktivis untuk mendahulukan dan mengutamakan
mesej Islam dari kepentingan kepartaian. Apabila Islam dibela maka PAS
akan turut didukungi bersama, tegasnya.
Di negara yang fahaman
rasisme dan asabiyyah Melayu sangat tajam dan mendalam, bahkan menjadi
modal politik bagi meraih sokongan untuk kekal berkuasa, doktrin
ketuanan Melayu mewarnai ideologi dan polisi advokasi pemerintah.
Penentangan
Tok Guru secara tidak berbelah bagi, layak menjadikannya lambang atau
ikon pendobrak asabiyyah paling lantang dan konsisten. Rasisme, sejak
berzaman dan khasnya semakin terserlah mutakhir ini, dengan repackaging
baru atau transformasi kepada ketuanan Melayu-Islam (seperti yang
ditaja oleh beberapa badan NGO yang pro-BN), dijadikannya sasaran untuk
didobrak, dikalahkan dan disingkir dalam pencerahan mesej politik dan
dakwah Tok Guru dan PAS.
Lebih terperinci, kalau ada yang cuba mendakwa merekalah yang memulakan pendekatan engagement
dengan kaum bukan Islam dan bukan Melayu untuk meruntuhkan
tembok-tembok pemisah atas garis ras dan kaum, maka wajar memerhatikan
Tok Guru. Siasah Tok Guru berjalan serentak dan seiring dengan dakwahnya
bermula sejak pemerintahannya, awal 90an.
Tahaaluf Siyasi atau
koalisi politik juga bukan fenomena yang baru bermula dengan kemenangan
besar pembangkang selepas PRU ke-12 pada 2008, lantas menubuhkan Pakatan
Rakyat. Tok Guru sangat prihatin memecahkan halangan ras dan rintangan
kaum serta sentiasa bersedia untuk berkoalisi sebagai pendekatan
siasahnya bagi mendepani cabaran kuasa pemerintah. Bahkan tahaaluf-lah
yang meletakkan Tok Guru ke tampuk kuasa sejak 1990.
Tok Guru
adalah perintisnya, hasil tekunan dan ijtihadnya, untuk menjayakan
perjuangan politiknya dan penyebaran dakwah Islamnya. Pemimpin ini jelas
menyerlahkan erti dan kefahaman tuntutan siasatud-dakwah,
istilah gerakan Islam, yang tidak begitu popular di kalangan pimpinan
PAS berbanding di negara Arab atau golongan Islamis di Indonesia.
Maksud
mudahnya, dalam langkah siasah terangkum perhitungan dakwah sementara
penganjuran dakwah sentiasa bermatlamatkan meluaskan tapak sokongan
siasah. Tidak pernah wujud konflik, pertembungan, jauh lagi kecelaruan,
seperti yang selalu dipolemik sesetangah pihak kononnya, terlalu banyak
bersiasah atau sebaliknya, kritikan tidak peka dengan dakwah!
Sangat
tepat dan mudah jalur pemikiran Tok Guru. Tegasnya, penulis telah lama
memerhatikan Tok Guru inilah ulama haraki yang punya penguasaan (isti’ab) terhadap realiti politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually exclusive) di kalangan masyarakat plural, yang majmuk di negara ini. Tok Guru tetap bertegas dan tidak mengundur.
Justeru
kerana itu juga, Tok Guru pernah dicemuh dan ditohmah sebagai pengamal
pluralisme agama bahkan liberal. Golongan agamawan sama ada dari luar
mahupun dalam parti ini cepat menuduh Tok Guru ketika mereka tidak
memahami strategi siasah dan pendekatan dakwahnya. Hanya dengan ilmu,
yang mengizinkan Tok Guru meneroka dan merentas keluasan siasah dan
dakwah serta faham batas-batasnya.
Tok Guru tidak takut dikritik
ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka. Tok Guru
menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan keramaian budaya di
restoran-restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun arak serta
hidangan yang kurang ‘menyenangkan’ di mata masyarakat ummat Islam
persis Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, yang menyatuni dan
berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan di bandar-bandar
di Kaherah.
Bahkan Tok Guru dikatakan memberi keutamaan meraikan
program seumpama ini, seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran
yang lain.
Kerap Tok Guru memulakan ucapannya di hadapan kaum
Tionghua dengan ayat-ayat al-Quran yang releven dan sesuai dengan tujuan
dakwahnya. Contohnya, kerap Tok Guru mengungkapkan ayat 13 Surah
Hujurat yang menekankan manusia dari datuk dan moyang yang sama yakni
Adam dan Hawa. Itu biasa.
Namun apabila Tok Guru tekankan bukan
sahaja “kita bersaudara”, tetapi acap didengari menggunakan kalimat kita
ini “adik-beradik” itu ajaib dan istimewa. Wow!
Dari sudut
psikologi komunikasi, Tok Guru lebih arif bagaimana untuk menjadikan
dakwah dan mesej politik yang benar-benar berkesan sekaligus inklusif,
yang merangkum dan terangkum serentak menambat hati budi dan pemikiran
kaum Tionghua khasnya di bumi Kelantan itu. Tidak aneh kalau akhbar
Mandarin menobatkannya “Tok Guru Sepanjang Zaman”. Ajaib.
Bandingkan
hakikat ini dengan pelbagai episod konflik kaum yang tidak ada
kesudahan di negara ini, seumpama kontroversi oleh seorang menteri
mutakhir ini. Perkauman sudah mendarah-dagingi warga negara ini.
Malangnya umat Islam tidak mampu menunjukkan penyelesaiannya, bahkan
juga sebati dan berakar-umbi dalam benak hati dan pemikiran, justeru
kerana tidak mendapat pencerahan Islam sebenarnya.
Persoalan yang
perlu dihalusi adalah mengapakah Tok Guru mengambil pendekatan untuk
benar-benar melazimi dan mendampingi kaum Tionghua, sehingga negara luar
yang pertama dilawati sebaik sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan pada
tahun 1990, ialah membuat lawatan ke negara China?
Mengapakah Tok
Guru mengizinkan kalimah “Allah” digunakan penganut agama lain
sementara wujud golongan agamawan yang bertegas dan berkeras untuk tidak
mengizinkan?
Terdahulu, ramai masih ingat pelbagai reaksi dan
kontroversi terhadap usaha Tok Guru membina masjid yang rekabinanya
berbentuk bumbung pagoda, sehingga mendapat jolokan Masjid Cina.
Mungkin
telah ada masjid seperti ini lebih awal di negara ini, tetapi tatkala
Tok Guru membinanya ia punya matlamat yang jelas dalam siasah dan
dakwahnya bagi menambat hati kaum Tionghua dan meredakan prajudis
terhadap Islam. Kerap Tok Guru menekankan kaum Cina lebih dahulu Islam
dan lebih ramai Islam dari orang Melayu!
Ini menunjukkan betapa
Islam itu bukan hanya untuk Melayu, bahkan untuk semua kaum, seluruh
alam. Ini mesej Tok Guru yang sangat mendalam penghayatan siasah dan
dakwahnya. Bukan sahaja untuk kekal berkuasa seperti sang penguasa
politik di mana pundi dunia ini.
Seperkara lagi, meskipun Tok
Guru sedar, demografi negara ini berteraskan majoriti orang Melayu
pastinya, sengaja Tok Guru lontarkan, satu hari nanti mahu dilihat
seorang Perdana Menteri berketurunan Cina. Melompat pelbagai pihak. Chauvinist Melayu pastinya berang dan kita mampu faham. Tetapi chauvinist Cina juga marah, kononnya Tok Guru mahu ‘Islamkan’ mereka.
Hanya
rakyat Malaysia sejati yang sangat memahami ‘insinuasi’ ulama bertubuh
kecil ini tetapi mempunyai minda yang tak bertepi dan berfikir diluar
kotak.
Mampukah PAS meneruskan penerobosan pemikiran Tok Guru?
Sangat tegas dengan prinsip, kreatif dalam perlaksanaan dan antisipatif dengan cabaran dan persaingan.
Mampukah
PAS memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan oleh Tok Guru
dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan
peruntukan perlembagaan negara?
Mampukah pimpinan tertinggi PAS
meneruskan penegasan Tok Guru, untuk kekal bertahaaluf dalam Pakatan
Rakyat sementara bijak mengurus perbezaan yang terkadangkali sangat
tajam dan mendebarkan?
Itulah siyasah syar’iyah Tok Guru yang bijak persis, mencerminkan sifat fatonah para anbiya’.
Itulah legasi siasatud-dakwah
Tok Guru yang menambat hati-budi mereka yang mulanya curiga dan sangsi,
tetapi kini sudah mula melazimi “PAS Untuk Semua” dan Islam agama yang
mendamaikan.
Tok Guru berjaya menampilkan “Islam Adil Untuk Semua”.
Malangnya
hanya setelah ketiadaannya, negara bahkan dunia mula mengiktiraf bahawa
Tok Guru adalah tokoh pemimpin negara merentas agama, etnik dan budaya.
Amat sukar mencari calon yang boleh dinobatkan begitu dan hilangnya
sukar dicari ganti.
Banyak lagi yang harus digali dan dicerakinkan
dari segenap aspek hidupnya ulama yang cukup sederhana dalam kehidupan.
Cukup sekadar ini untuk penulis berhujah agar Institut Pemikiran Tok
Guru yang telah ditubuhkan di bawah kerajaan negeri Kelantan benar-benar
berfungsi seperti yang disarankan ini.
Moga Allah merahmati ruhnya Tok Guru bersama Al-Akhyar! Amin. Al-Fatihah. –
Dr Dzulkefly Ahmad,Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.
TG Nik Aziz dalam pentas dan jalur perjuangan ‘Political Islam’
Written By zabidi on Wednesday, 18 February 2015 | 1:49 pm
Labels:
Artikel


Post a Comment