Oleh DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA
SIAPA yang sangka sosok tubuh kecil ini telah menempa nama sebagai pemimpin yang disayangi
rakyat berbilang kaum. Sepanjang karier politik beliau kenyataannya
sering menjadi bahan kontroversi mendapat reaksi daripada musuh
politiknya, malah jikalau tersiar namanya di dada akhbar atau di kaca TV
pasti ia bertujuan untuk mengeksploitasi dan bukan menceritakan yang
sebenarnya.
Namun pada waktu pemergiannya, media perdana
seolah mahu ‘menebus’ perbuatannya selama ini dengan menyiarkan berita
pemergiannya sebagai pemimpin besar negara. Malah Astro Awani membuat
liputan dari awal berita kematian sehinggalah majlis penyempurnaan
jenazah sehingga ke malam harinya.
Akhbar berbahasa Mandrin pula
menyiarkan sepenuh muka surat tentang kehadiran berpuluh ribu rakyat
menziarahi dan mengiringi jenazah. Terpampang tajuk besar berbahasa
Mandarin “Tok Guru Sepanjang Zaman”.
Mendapat Berita Sedih
Berita pemergian Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat
dimaklumkan ke seluruh negara 10 atau 15 minit setelah allahyarham
menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pada pukul 9.40 malam.
Saya berada dalam majlis forum anjuran MalaysiaKini sebagai salah
seorang panelis membicarakan masa depan politik selepas Anwar
dipenjarakan apabila Fathi Aris selaku moderator mengumumkan kepada
orang ramai berita mengejutkan ini.
Saya terus menghubungi anak
Tok Guru, sahabat saya Ustaz Nik Omar untuk mendapat kepastian lalu
mendapat balasan whatsapp ringkas, “Tok Guru meninggal jam 9.40”. Saya
sudah hilang fokus dan hanya tertumpu untuk ke Kota Bharu sejurus majlis
walaupun saya terpaksa menyelesaikan dahulu baki masa berforum. Usai
forum, malam itu juga saya bertolak ke Kota Bharu.
Bersama Tok Guru Semasa Pelajar
Sepanjang perjalanan ke Kota Bharu, saya hanya mampu menahan sebak
kesedihan kerana beliau adalah pemimpin tertinggi parti saya. Peranan
kepimpinan Tok Guru kepada orang PAS bukan sahaja sebagai ketua tetapi
sifat kebapaan beliau yang melihat kami dengan penuh kasih sayang dan
senantiasa berjiwa besar.
Saya terkenangkan semua itu sehingga
membawa saya kepada ingatan beberapa pertemuan saya dengan Tok Guru
sepanjang karier saya dalam PAS. Pertemuan awal ialah semasa saya masih
menuntut di Mesir sekitar awal 90an.
Kali pertama saya diberi
penghormatan bersama Tok Guru ialah ketika beliau berkunjung ke Mesir
pada tahun 1991. Melalui Nik Omar anaknya, saya meminta jasa baiknya
supaya ayahnya mentahnikkan anak sulung saya yang baru sahaja lahir
ketika itu. Saya bukan sahaja mendapat persetujuan bahawa Tok Guru akan
mentahnik (sunnah membelah mulut bayi kecil) anak saya malah beliau akan
berkunjung ke rumah sewa saya pada pagi hari.
Saya dan isteri
teruja kerana Tok Guru akan makan pagi di rumah kami. Pertemuan pagi itu
dalam kedinginan cuaca musim sejuk Mesir bersama Tok Guru akan saya
ingat selamanya. Malah saya sering mengingatkan anak sulung saya Nidhal
bin Mujahid bahawa betapa beruntungnya anak saya didoakan oleh tokoh
hebat ini.
Bimbingan dan Nasihat
Tugas
saya sebagai Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional (LPN) membawa saya
terjun dalam kancah kepelbagaian kaum dan agama di negara ini. Saya
mendapat keyakinan dengan sokongan dan dorongan Tok Guru kepada usaha
yang saya jalankan.
Sebahagian besar perasmian besar-besaran
Kelab Penyokong PAS yang kami usahakan akan disempurnakan oleh Tok Guru.
Antaranya ialah di Kelantan sendiri, Selangor dan Johor. Setiap kali
kehadiran Tok Guru menyempurnakan pelancaran Kelab Penyokong PAS,
masyarakat berbilang kaum khususnya kaum India akan memenuhi dewan.
Mereka melihat Tok Guru sebagai idola mereka malah ada yang menganggap
mereka adalah anak angkat Tok Guru sendiri.
Beliau sering
mengingatkan saya bahawa, “Mujahid kena jaga mereka molek-molek, dakwah
Rasullullah ialah kepada bukan Islam, kena ambil contoh lagumano Islam
menyantuni mereka, ambo (saya) sendiri cubo di Kelantan untuk buktikan
pada demo (bukan Islam) betapa chomenyo (cantiknya) Islam”.
Kemuncak kehadiran Tok Guru ialah pelancaran Kelab Penyokong PAS
Nasional di Kelang pada tahun 2009 dengan kehadiran perwakilan seluruh
negara lebih kurang dalam 1,000 orang ahli yang berdaftar termasuk Sabah
dan Sarawak. Tok Guru begitu gembira dengan pencapaian PAS di kalangan
bukan Islam pada hari tersebut kerana mereka sudah boleh menerima
perjuangan PAS.
Menyokong DHPP
Saya
sering juga mengadu keoada Tok Guru dalam pertemuan-pertemuan saya
tentang betapa Kelab Penyokong PAS perlu dinaik taraf kepada Dewan untuk
mereka menjalankan aktiviti mereka yang diiktiraf oleh perlembagaan
parti.
Beliau selain almarhum Ustaz Hasan Syukri dan Tuan Guru
Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden amat prihatin untuk
meletakkan bukan Islam dalam bentuk sebuah sayap yang diiktiraf oleh
parti berbanding Kelab Penyokong PAS yang hanya bernaung di bawah Lujnah
Perpaduan Nasional.
Semasa saya mengiringi beliau dalam
pengistiharaan Pilihan Raya Permatang Pauh 2009, beliau menggesa pada
saya supaya perkara ini disegerakan dengan melihat peruntukan
perlembagaan dan memberi ruang yang lebih besar kepada ahli Kelab
Penyokong PAS menyertai organisasi induk parti.
Semangat itu
yang saya dan rakan-rakan bawa dalam usaha meningkatkan tahap
keterlibatan bukan Islam dalam PAS dengan mencadangkan sayap baru yang
kemudiannya dinamakan sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS atau
ringkasnya DHPP.
Alhamdulillah berkat nasihat dan bimbingan Tok
Guru, kini DHPP adalah sayap penting parti dengan keanggotaan hampir
20,000 ahli seluruh negara.
Mendamai Saat Tegang
Pada saat segelintir rakyat Malaysia memilih jalan kebencian dan
permusuhan dalam isu kalimah “Allah”, Tok Guru menghulurkan kedamaian
dengan berdialog dan hormat menghormati. Malah saya dihubungi oleh
pegawai Tok Guru untuk mendapat beberapa maklum balas tentang isu ini
kerana Tok Guru mahukan input daripada saya.
Tok Guru adalah
antara penyokong tegar dialog silang agama dan kerana itu apabila satu
pertemuan diaturkan oleh Lujnah Perpaduan Nasional PAS untuk bertemu
dengan Uskop Katolik Wilayah Utara Bishop Sebastian di Pulau Pinang, Tok
Guru tidak teragak-agak menerima temujanji ini.
Di bilik suite
Vistana Hotel Bukit Jambul menjadi saksi pertemuan bersejarah antara
Mursyidul Am PAS dan Uskop Katolik mementeraikan harapan untuk kedamaian
pada masa hubungan tegang kalimah “Allah” mewarnai hubungan antara
agama di Malaysia.
Jadual Tok Guru pada hari itu begitu ketat
dan semasa pertemuan di petang hari itu, beliau hanya menyatakan betapa
beliau berasa terlalu letih namun bersemangat untuk menyatakan kata-kata
kedamaian kepada Bishop Sebastian.
Saya yang berada rapat di
sisi Tok Guru masih ingat kata Bishop Sebastian, bahawa Malaysia masih
memerlukan kepimpinan Tok Guru yang membekalkan kekuatan spiritual bukan
sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam.
Tok Guru tersenyum sambil menyatakan itulah yang beliau harapkan supaya
kita hidup berdamai antara sesama kita. Majlis berakhir dengan pemberian
kek sempena ulang tahun kehadiran Tok Guru yang kemudian kami namakan
sebagai kek kedamaian. Jiwa Tok Guru sentiasa terbuka kepada kedamaian
antara agama.
Perbualan Tertutup
Buku
saya Menuju PAS Baru mendapat kritikan antara pujian dan kejian. Tok
Guru mengikuti perkembangan dan sebagai ayah tidak mahu mengambil sikap
sehingga mendengar penjelasan daripada saya. Beliau begitu berhati-hati
dan teliti supaya sikapnya tidak dieksploitasi oleh pihak yang memangnya
mahu kalau boleh buku saya itu diharamkan daripada dibaca oleh ahli
PAS. Saya berkesempatan menemui Tok Guru untuk menjelaskan dan
menghadiahkan senaskhah buku saya itu.
Di akhir perbualan
tertutup ini, beliau hanya menasihati supaya diadakan diskusi buku ini
dan diberi ruang untuk mendengar ide yang ada dalam buku Menuju PAS
Baru. Alhamdulillah atas nasihat mulia ini, Pemuda PAS Kelantan
menjayakan diskusi buku saya dengan ahli panel Ustaz Riduan Mohd Nor di
Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Kota Bharu.
Pertemuan
selanjutnya ialah untuk saya hadiahkan sequel Menuju PAS Baru iaitu
Rejuvenasi PAS kepada beliau. Saya menerangkan tajuk-tajuk dimuatkan
dalam buku ini sambil berbincang tentang “kepimpinan ulama”.
Saya membawa ide kepimpinan yang lebih mencakupi kepimpinan Islam dengan
melihat kepada konsep Al Qawwi dan Al Amin (berkelayakan dan amanah).
Tok Guru sedia mendengar pandangan dengan sikap terbuka apabila ada
hujah dan beralaskan dalil Al Quran dan Sunnah.
Malah beliau
bersetuju asas kepimpinan mestilah mengikut prinsip Al Quran. Namun
beliau juga cuba membayangkan kepada saya bahawa betapa sukarnya sesuatu
untuk mengubah paradigma sebahagian orang PAS. Wajahnya sesekali
membayangkan sesuatu yang serius dan mendalam apabila kami berbincang
soal ini.
Buku Berdialog Dengan Gereja
Buku saya ini mendapat penghormatan apabila Tok Guru sudi menulis kata
pengantar bersama Bishop Sebastian. Saya sendiri menyerahkan buku ini
kepada beliau di rumahnya ketika itu. Saya menunjukkan kepadanya
gambar-gambar dalam buku saya itu semasa kunjungan Uskop Wilayah Utara
di Pulau Pinang tempoh hari bertemu dengan beliau.
Saya turut
memuatkan cerita pertemuan itu dalam buku saya sambil saya merakamkan
penghargaan bahawa semangat Tok Guru yang mempercayai dialog silang
agama sebagai jalan kedamaian membawa saya ke seluruh negara membawa
mesej ini.
Pertemuan yang sepatutnya hanya beberapa minit itu
menjadi sejam kerana minatnya Tok Guru kepada tajuk ini walaupun beliau
terpaksa membawa kantung plastik kerana kanser prostat yang dialami.
Nik Omar yang mengaturkan pertemuan berbisik kepada saya, “Selalunya
ayah tidak lama berjumpa dengan tetamu, dengan anta (awak) nampak dia
lama sikit”. Kebetulan Tok Guru menunjukkan pada saya skrip biografi
tentang dirinya yang sedang disiapkan oleh seorang penulis. Beliau
nampaknya begitu bersemangat pada pertemuan hari itu, mungkin sebab itu
pertemuan saya lama sedikit berbanding tetamu yang lain.
Bergegas Balik dari Turki
Kali terakhir pertemuan saya denga Tok Guru ialah bulan Januari di
HUSM. Saya bergegas balik dari Turki setelah mendapat perkhabaran Tok
Guru dimasukkan ke bilik rawatan rapi kerana tahap kesihatan yang
dialami turun mendadak.
Sejurus tiba di KLIA, saya meneruskan
perjalanan ke Kota Bharu dan ke terus hospital namun hanya dapat
menjenguk dari pintu cermin. Esok paginya saya diberi izin masuk oleh
pakar yang merawat sambil saya mencium tangan dan dahi Tok Guru.
Beliau sedar sambil tersenyum dan bertanya khabar dalam nada yang
sangat lemah. Saya menyampaikan salam beberapa sahabat dari Tuki dan
juga Tuan Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Seri Pandikar Amin yang
bersama kami di Turki untuk mengikuti sebuah konferens.
Saya
juga membawa amanah dari pengusaha permaidani di Bazar Istanbul yang
mengirimkan kepada saya rehal hiasan batu marmar untuk dihadiahkan
kepada Tok Guru kerana beliau amat menghormati dan menyayangi Tok Guru.
Saya juga membawa buku terkini saya berjudul Malaysia Pasca Rasisme
yang mana beliau turut menulis kata pengantar untuk dihadiahkan
kepadanya. Saya hanya mampu menyerahkan kepada anaknya Nik Adli dengan
harapan apabila Tok Guru sihat nanti dapatlah beliau membacanya.
Berakhir Dengan Permulaan
Saya menyaksikan pemergian dua tokoh yang saya kagumi dalam PAS selain
ayahanda saya, Haji Yusof Rawa iaitu allahyarham Ustaz Fadzil Noor dan
Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setiap kali saya terkenangkan mereka,
saya menanam azam untuk meneruskan apa yang telah mereka mulakan.
Perjalanan jauh yang mereka tempuh janganlah disia-siakan dengan
sekadar bersedih, limpahkanlah kasih mereka dengan terus beristiqamah.
Anggaplah mereka berakhir dengan sebuah permulaan yang akan digalas oleh
kita yang masih hidup.
Buat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
sekalung Al-Fatihah, pastinya pemergianmu tidak akan disia-disiakan dan
nasihat mu akan sentiasa bergelora menjadi azimat buatku.
Allahumma Arhamhu Rahmatan Wasi'ah...Amin Ya Rabbal Alamin...
Penulis ialah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS dan AJK PAS Pusat serta Ahli Parlime Parit Buntar.


Post a Comment