Oleh Bennie Zie Fauzi
Telefon pintar menjadi kegilaan generasi baru. Satu demi satu model
dikeluarkan, namun tetap menerima sambutan hangat dan laris seperti
pisang goreng panas.
Namun, pengguna perlu tahu hayat telefon pintar kebanyakannya tidak
panjang seperti telefon genggam awal pengeluaran dulu. Selain aplikasi
yang membebankan penggunaan bateri, telefon pintar dikatakan mudah
terdedah kepada virus diperoleh ketika melayari internet.
Sebelum membeli, pastikan wang dilaburkan setimpal dengan fungsi,
kegunaan, kualiti seterusnya pakej pelan ditawarkan telefon berkenaan.
Pembelian berbaloi serta mengambil kira bajet ditetapkan didapati
melalui:
1. Tawar-menawar
Keghairahan memiliki telefon pintar seperti mana diiklankan membawa kerugian jika tidak menepati selera dan keperluan.
Lebih dikesalkan, ia dibeli dengan harga mahal sedangkan nilai di
pasaran menunjukkan penurunan.
Sebab itu, jangan terus beli sebaliknya
kunjungi dua tiga kedai yang menawarkan telefon berserta aksesori
terlebih dulu bagi membuat perbandingan harga.
Pilih yang menawarkan harga paling rendah dan sebolehnya, cuba tawar-menawar untuk mendapatkan pembelian bernilai.
Anda dinasihatkan tidak membeli telefon yang baharu saja dilancarkan
di pasaran tetapi tunggu sehingga enam bulan. Biasanya harga telefon
bimbit akan turun sebaik model baru dilancarkan.
2. Elak pembelian secara ansuran
Aliran telefon pintar berubah saban minggu. Persaingan sengit dalam
kalangan pelbagai jenama dan syarikat pengeluar gajet itu memungkinkan
kemunculan model baru dalam tempoh singkat.
Kecenderungan memiliki model telefon pintar terkini bukan saja
mendorong pembeli berbelanja besar tetapi lebih parah, kerap menukar
telefon demi mengejar aliran baharu.
Ia mendatangkan kerugian terutama jika ia dibeli secara ansuran
dengan tempoh penggunaan belum mencecah setahun. Sebaiknya, lakukan
pembelian tunai manakala jika berkenan dengan model tertentu, tunggu
sehingga harganya jatuh. Harga boleh turun sehingga RM300 dan lebih
sebaik muncul model baharu yang menawarkan aplikasi lebih canggih.
3. Hindari pakej pasca bayar mahal
Telefon pintar menawarkan sambungan data yang membolehkan penggunanya
melayari internet, laman sosial seperti Facebook dan Twitter selain
berhubung menerusi aplikasi Whatsapp, Telegram, Line dan sebagainya.
Pakej pelan internet itu meliputi 1MB (megabit), 2MB, 5MB dan
seterusnya, namun semakin tinggi MB, semakin besar jumlah bil perlu
dilunaskan.
Memilih pelan paling mahal menyebabkan anda perlu membayar bil
bulanan hingga mencecah ratusan ringgit sedangkan kadar penggunaan
mungkin hanya separuh daripada pelan dipilih.
Untuk lebih penjimatan, anda disarankan memilih pelan prabayar yang
membolehkan anda melayari internet selama sebulan dengan harga belasan
ringgit.
4. Utamakan aksesori penting
Telefon pintar memerlukan pelindung skrin bagi melindungi skrin
daripada calar, comot, malah retak.
Namun, elakkan terpedaya dengan
tawaran harga pelindung skrin yang ada kalanya tidak masuk akal.
Berbanding memasang pelindung skrin berharga puluhan ringgit,
rajinkan diri mencari kedai aksesori menawarkan harga berpatutan,
misalnya tidak lebih RM30 berserta upah memasangnya.
Aksesori lain wajib ada termasuk alat bebas tangan (handsfree), alat
pengecas kuasa tambahan (power bank), sarung (casing) dan sebagainya
yang amat diperlukan bagi telefon berbilang kegunaan seperti ini.
Post a Comment