Oleh Zamanuddin Jusoh
Allah SWT menciptakan dua pancaindera penting bagi manusia iaitu
pendengaran dan penglihatan.
Tujuan penciptaan ini adalah supaya kita
fahami bahawa satu daripada pancaindera ini mesti dikurangkan fungsinya
supaya hati kita menjadi lembut untuk menerima kebaikan.
Fungsi pendengaran hendaklah dilebihkan dan fungsi lidah dikurangkan
kerana percakapan terdedah kepada fitnah serta dosa sehingga ulama
menyarankan supaya perbezaan sepertiga jurang pada penggunaan
kedua-duanya.
Umpama kita bercakap dalam kadar satu jam, maka pendengaran mestilah
digunakan dalam tempoh tiga jam. Menunjukkan, percakapan yang banyak
akan menjerumuskan seseorang ke kancah dosa dan maksiat. Dosa lidah
adalah satu daripada dosa besar yang diambil ringan oleh kebanyakan
manusia.
Kawal percakapan
Baginda SAW meninggalkan banyak pesanan bagi menyelamatkan umat
daripada bahaya lidah. Baginda Nabi SAW bersabda: "Jika kamu ditimpa
oleh sesuatu maka janganlah berkata: Kalau aku berbuat demikian, tentu
akan menjadi sekian-sekian. Akan tetapi katakanlah: Takdir Allah dan apa
yang Allah kehendaki pasti terjadi. Ini kerana perkataan 'kalau' akan
membuka pintu perbuatan syaitan." (Riwayat Muslim)
Kata-kata yang diucapkan akan menentukan pulangan pahala dan dosa
seseorang. Lebih banyak mendengar lebih baik daripada banyak
berkata-kata. Pengaruh hati juga amat besar berbanding anggota lain,
maka hati perlu dijaga dengan meneliti kerja yang kita lakukan setiap
hari.
Hati yang mendorong lidah dan telinga untuk memainkan peranannya.
Hati akan menjadi keras disebabkan berlebihan dalam tutur kata,
berlebihan mengambil makanan, banyak bergurau serta bersosial.
Kemudahan teknologi kini menyebabkan ramai melupai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.
Pengaruh Facebook, Twitter, WhatsApp dan laman sosial lain menjadi
medan utama untuk bersosial sedangkan Islam meletakkan beberapa syarat
memilih kawan yang sebenar. Antaranya, sentiasa mengingatkan saudaranya
jika melihat kawannya terleka.
Suasana kehidupan juga mendorong kita untuk melakukan kebaikan.
Segala ucapan yang diungkapkan, akan menambahkan pengetahuan. Demikian
ciri sahabat sebenar dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Oleh itu, kebijaksanaan memilih kenalan akan membuahkan hasil yang baik dalam kehidupan.
Membawa akibat buruk
Berlebihan bercakap menjadikan hati keras serta membawa akibat buruk
kepada seseorang.
Natijahnya, mereka akan suka dan gemar kepada perkara
haram, bercakap yang sia-sia, mendengar dan melakukan perkara buruk
kerana menjadi permainan syaitan.
Seterusnya akan menyebabkan manusia menghidap dua penyakit bahaya
iaitu syubahat dan syahwat. Syaitan tidak akan masuk kepada perkara
wajib kerana mengetahui hamba taat melakukan perkara itu.
Jadi, syaitan menyerap masuk melalui dua penyakit ini untuk menyesatkan manusia.
Manusia akan dibayangi penyakit waswas terhadap kewajipan dilakukan.
Meragukan terhadap ibadah yang kita lakukan ketika sedang dan selepas
beribadah.
Maka, seseorang yang dijangkiti penyakit waswas sebenarnya telah
membuka pintu kepada syaitan umpama kita membuka pintu untuk pencuri di
rumah.
Kebanyakan penyakit waswas ini menyerang mereka yang ingin membuat
yang terbaik dalam ibadahnya. Contohnya, meragukan kita mengenai rakaat
sembahyang, sah wuduk serta perbuatan lain berkaitan ibadah dilakukan.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang
timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati
manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."
(Surah an-Nas)
Penyakit syahwat
Setelah syaitan dapat melangkah kepada pintu pertama iaitu waswas,
maka akan terus masuk pintu lebih besar iaitu ragu-ragu terhadap manhaj
Allah SWT, meragui ketetapan seterusnya membatalkan apa yang
diperintahkan oleh Allah SWT serta hukum hakamnya.
Ketetapan Allah SWT akan dianggap lapuk, ketinggalan dan menjadikan
sistem jahiliah sebagai pegangan dianggap yang terbaik. Firman Allah SWT
bermaksud: "Apakah mereka menghendaki hukum jahiliah dan hukum siapakah
yang lebih baik daripada Allah SWT?" (Surah al-Maidah, ayat 50)
Akhirnya kita terjebak kepada penyakit syahwat yang akan
membinasakan. Hati terdorong kepada dunia dengan menyukai pangkat
kekayaan, kedudukan dan kuasa. Gemar kepada mengumpulkan harta kekayaan
tanpa mengira sumbernya serta suka kepada kemasyhuran dan kemegahan.
Imam Ibnu Qayyim berpendapat, perlu bagi seseorang supaya tidak
menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah SWT. Zikir dapat
melindungi diri daripada gangguan syaitan yang masuk melalui pintu
kelalaian.
Pelihara penglihatan
Sebahagian ulama menyarankan kita memelihara penglihatan kerana
pandangan terhadap sesuatu akan mempengaruhi hati dan minda. Justeru,
mata perlu dipelihara supaya tidak cenderung melihat kepada aspek
keduniaan sahaja.
Firman Allah SWT bermaksud: "Janganlah kamu tujukan kedua pandanganmu
kepada mereka yang diberikan kesenangan dunia untuk kami uji mereka
dengannya." (Surah Taha, ayat 131)
Kita dianjurkan melihat kepada yang lebih rendah supaya tidak berasa
kecewa dengan nikmat Allah SWT seperti disarankan Baginda SAW dalam
sabda Baginda: "Lihatlah pada orang yang lebih rendah daripada kalian
dan jangan melihat orang yang lebih tinggi dari kalian, kerana yang
demikian lebih baik supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah ke atas
kalian." (Riwayat Muslim)
Pandangan kepada mereka yang lemah akan menambahkan kesyukuran
terhadap kurniaan Allah SWT walaupun tidak dinafikan kata-kata menyebut
bahawa orang kaya yang bersyukur lebih baik daripada orang miskin yang
sabar.
Namun, dalam urusan agama hendaklah dilihat kepada mereka yang di
atas untuk peningkatan kepada amalan baik yang kita lakukan. Hati akan
berasa ghairah apabila melihat orang lain beribadat dan berusaha untuk
melakukan kebaikan lebih banyak daripadanya.
Ingatlah, sesiapa yang menjaga dan memelihara pandangannya akan
dikurniakan ketajaman pandangan mata hatinya. Mereka yang menutup
pandangannya terhadap kelemahan manusia, akan ditutup pandangan manusia
terhadap kelemahannya.
Home »
Bicara Islam
» Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar
Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar
Written By zabidi on Sunday, 8 March 2015 | 9:08 pm
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment