Kerajaan
akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membantu,
menangani masalah dan
melahirkan lebih ramai usahawan agar sasaran
mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan muda menjelang 2020
tercapai.
Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
jawatankuasa itu yang akan meletakkan aspek keberhasilan terhadap setiap
program dalam membantu usahawan sebagai keutamaannya, akan
dipengerusikan beliau sendiri.
Katanya, kewujudan jawatankuasa tersebut
perlu kerana walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai tabung,
program serta dana bagi membantu usahawan tetapi hakikatnya, nilai
keberhasilannya masih belum mencapai tahap disasarkan.
“Jawatankuasa ini akan melakukan
koordinasi yang dipengerusikan saya sendiri dengan melibatkan menteri
serta ketua setiausaha yang melihat keberhasilan dan bukannya jumlah
program semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran
Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan
Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi
Jawatankuasa JUMP, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
JUMP yang menampilkan ramai tokoh
usahawan muda berjaya tanah air akan memulakan siri penjelajahan bagi
membimbing usahawan kecil sedia ada dan baharu di zon tengah, zon
selatan, zon utara, zon pantai timur, zon Sarawak serta zon Sabah.
Sempena majlis tersebut, Ahmad Zahid
turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada JUMP bagi membantu
pertubuhan itu melahirkan lebih ramai para usahawan muda khususnya
daripada kalangan bumiputera.
Menurut Timbalan Perdana Menteri,
berdasarkan kajian ilmiah yang dijalankan Dewan Perniagaan Melayu
Malaysia (DPMM), hanya 55 peratus usahawan bumiputera berkecimpung dalam
dunia perniagaan melebihi tempoh 10 tahun.
Tambah beliau, daripada jumlah itu, 72
peratus adalah usahawan bumiputera yang melakukan perniagaan secara
kecil-kecilan dengan 61 peratus daripadanya pula menghadapi masalah
kutipan hutang sehingga terpaksa gulung tikar atau nazak.
Selain itu, 61 peratus lagi kurang
berkemampuan untuk menjalankan kajian pasaran walaupun memiliki idea
serta semangat tinggi, 60 peratus lagi belum mampu menyediakan laporan
kewangan manakala 58 peratus kurang berkebolehan menentukan aliran
produk.
“Kajian ini hanya peratusan tetapi
jumlah sebenarnya (berapa ramai usahawan bumiputera yang berjaya) tidak
diketahui berikutan tiada perangkaan melalui ‘single windows system’
yang boleh diperoleh,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Timbalan
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan Kecil dan
Koperasi tidak perlu diwujudkan kembali kerana kerajaan telah
menyalurkan peruntukan bagi tujuan itu melalui kementerian dan agensi.
Katanya,
di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai kementerian
serta agensi telah diberi tanggungjawab secara spesifik untuk membantu
melahirkan usahawan muda yang berjaya dan seterusnya menyumbang kembali
kepada masyarakat.
Bantu usahawan muda Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh
Written By zabidi on Monday, 11 January 2016 | 12:21 pm
Labels:
Bisnes
Post a Comment