Headlines News :
Home » » Kerana cinta

Kerana cinta

Written By zabidi on Wednesday, 17 August 2016 | 10:42 am

Oleh Maizatul Azwa Aznan 

ANGAH bukannya gatal. Bukan juga sudah membuntingkan anak dara orang. Angah tahu hukum hakam. Menghampiri zina sahaja sudah jatuh hukum haram, apatah lagi kalau kita melakukannya. Tetapi Angah tetap dengan pendirian, ingin mendirikan rumah tangga di saat tahun akhir pengajiannya.Kerana cinta...

Angah bukannya bodoh, bukan juga malang. Di saat bakal isteri disahkan menghidap kanser pangkal rahim, Angah masih setia. Walaupun mulut orang mengata, pendirian Angah tetap sama. Kerana cinta...

Di saat, sahabat yang lain sibuk menyambung pelajaran, Angah sudah mencari pekerjaan. Pada saat gaji sahabat berijazah sudah memasuki lima angka,Angah bersyukur dengan gaji pada tahap pendidikan diploma.Angah sedar dia mempunyai tanggungjawab pada isteri tercinta.Semua dilakukan kerana cinta...
Ramadan,2013.

“Kenapa tak balik rumah mama?,” soal Angah ketika teksi yang dinaikiku berhenti di hadapan rumah teresnya.

“Saja, tak sudi ke adik duduk sini?,” soalku semula.

“Bukanlah, nanti mama bising, bukannya awak yang jawab.Angah yang kena jawab,kena leter,” balas Angah.

Aku mencemik. Lagi seminggu akan tibanya Syawal.Ramadan yang tersisa, aku ingin luangkan di rumah Angah yang tinggal bersama isterinya. Begitu ceria Kak Leen menyambut kedatanganku. Keadaannya mencambahkan simpati.Sejak setahun yang lalu,Kak Leen lumpuh separuh badan. Sel kanser sudah menyerang saraf tunjangnya membuatkan hari ini dia menyambut kedatanganku di atas kerusi roda.
Kak Leen wanita yang ceria,cekal dan penyayang.Mungkin kerana itu jodohnya adalah dengan Angah.Bukankah Allah sudah berjanji,wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya.Dan aku masih tidak mengerti kenapa masih ada orang yang masih mempertikaikan kebahagiaan pasangan ini.

“Adik cuti lama?,” soal Kak Leen. Aku lebih rapat dengan kakak iparku ini daripada isteri Along. Isteri Along, Kak Mas adalah ‘seangkatan’ dengan mama. Kaki membeli-belah dan mengumpul barang- barang berjenama. Dan kalau berbual dengan Kak Mas, topiknya ialah, bumi Eropah mana sudah dijejaki, berapa ekar tanah sudah dimiliki, atau tahu tak apa keluaran Louis Vuitton terkini.

“Lama tak lama juga. Dua minggu,” aku menjawab. Kak Leen menganggukkan kepala.Tangannya sedang membasuh sayur untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa.

“Kenapa tiba-tiba adik balik sini?, mama tahu tak?,” Kak Leen menyoal siasat. Aku tahu, dia cukup tidak suka aku melawan mama.

“Soalan lebih kurang Angah je. Nampak sangat tak suka adik kat sini. Nak berdua dengan Angah je lah tu,” aku mengusik Kak Leen.Dia ketawa.

“Sudi, 1,000 kali Kak Leen sudi. Cuma, kasihanlah kat mama kalau adik tak beritahu mama adik balik sini.Nanti dia tertunggu-tunggu”.

Aku mendiamkan diri.Memang mama tidak tahu aku pulang ke rumah Angah. Kalau mama tahu, dia sanggup datang mengambilku di universiti.Angah masuk ke dapur, terus menegah Kak Leen daripada membuat kerja. Tergelak aku melihat pergaduhan kecil mereka.

Satu perkara yang aku suka tentang pasangan ini ialah, langsung tidak menunjukkan apa yang mereka tanggung.Masih mampu bergelak tawa, bergaduh manja di hadapanku. Kak Leen masih mampu membahagiakan Angah walaupun dalam kondisi yang begitu. Dan Angah,tetap menerimanya seadanya.
Malam itu, usai sahaja Kak Leen tidur, Angah keluar dari bilik tidur mereka.Angah duduk di sebelahku yang sedang menonton televisyen.

“Mama telefon adik tak?,” soal Angah. Aku mengangguk sahaja.Bukanlah aku ingin bersikap biadap tetapi aku menjadi rimas pula dengan soalan tentang mama sahaja.

“Adik cakap apa kat mama? Dia telefon Angah, suruh awak tu balik rumah sana,” sambung Angah lagi.Bicaranya lembut, tidak kedengaran nada dia menghalau.Dia cuma mahu aku dan mama berhubungan baik, dia tidak mahu hubungan itu rosak sebagaimana dia.

“Adik cakap, adik nak raya dengan Angah. Sebab dah tiga kali Angah tak raya sekali dengan kami,” jawapan aku membuatkan Angah tergamam.Tiga kali raya, Angah beraya dengan keluarga Kak Leen. Aku tidak berjauh hati tetapi mama mula menganggap Angah anak derhaka, anak tidak kenang budi. Sudahlah kahwin tanpa restunya, tiga tahun raya di sebelah menantunya.

“Angah kasihan kat Kak Leen.Biarlah ada masa-masa ni dia beraya dengan keluarga dia. Keluarga kita bukan berkenan sangat kat dia,” perlahan jawapan Angah.

Aku sedar saat itu, Angah mementingkan kebahagiaan Kak Leen. Nilai kesanggupan Angah berkorban buat isterinya begitu tinggi. Mama cuma tidak suka kepada Kak Leen kerana dia merasakan Kak Leen menyusahkan hidup anak bujangnya. Mama tidak akan dapat menimang cucu daripada keturunan Angah. Mama juga geram kerana Angah sanggup tidak sambung belajar kerana mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kecilnya.

Hidup dengan Angah dan Kak Leen di sisa-sisa Ramadan ini juga mengajarku. Mengajarku untuk jadi tabah, setabah Kak Leen menghadapi penyakitnya.Mengajar aku menjadi sabar, sesabar Angah menjaga Kak Leen dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mengajar aku untuk reda, reda bagaimana redanya pasangan ini dengan kehidupan mereka.

Dan mengajar aku, kita hanya merancang, Allah yang menentukan...

“Angah, kenapa ni?,”ketika aku keluar bilik, untuk bersahur yang terakhir Ramadan itu, Angah kelam kabut. Mukanya juga serabut.

“Kak Leen sakit. Angah nak hantar ke hospital,” kata Angah sambil membuka pintu. Aku membuka pintu bilik Angah, dan kelibat Kak Leen terbaring di atas katil. Nafasnya turun naik dengan cepat dan matanya tertutup.Dahinya berkerut, menahan kesakitan. Angah masuk ke bilik dan mencempung tubuh Kak Leen.
Aku terus mencapai kardigan.Kepala menyarung instant shawl sahaja. Masuk kereta, aku memangku Kak Leen di tempat duduk belakang. Jantung aku berdebar kuat. Tuhan, kuatkan Kak Leen...

Namun, Allah telah mentakdirkan, Ramadanku yang terakhir tahun itu adalah bersama dengan Angah, menemani isteri terlantar di hospital. Malam raya yang kebiasaannya diisi dengan kesibukan menyambut lebaran, tahun itu aku dan Angah sama-sama suram di hospital. Wajah Angah muram dan serabut, tidak tenang seperti selalu.

Subuh, pagi raya. Aku tersedar ketika sayup-sayup bunyi azan kedengaran. Badan diregangkan dan saat mata jelas terbuka, Angah sedang memegang tangan Kak Leen. Genggaman tangan yang membuatkan aku menyedari sesuatu.

“Kak Leen dah tiada,” begitu tenang Angah bersuara. Mataku berair dan air mata berjuraian turun. Baru beberapa jam aku terlelap, Kak Leen pergi ketika itu. Dahi sejuk Kak Leen aku cium. Angah tersenyum pahit melihat perlakuanku.

Angah membuat segala kerja menguruskan jenazah. Dari memandikan sehingga saatnya jasad Kak Leen diturunkan ke liang lahad, Angah ada bersama.Setitik pun air mata Angah tidak tumpah. Atau mungkin belum tumpah. Aku lihat begitu berat Angah ingin meninggalkan persemadian isterinya. Tangannya aku genggam erat, setabah dan sekuat mana pun Angah, aku tahu, perasaan sedih tetap ada.
Ramadan, 2015

“Jauh termenung,” aku menegur Angah yang duduk di beranda rumah. Dia tersenyum sahaja.
“Esok raya,” katanya. Aku mengangguk mengiakan. Sayup-sayup terdengar suara mama dan Kak Mas berbual sambil membuat kuih raya.

“Maknanya dah dua tahun Kak Leen pergi,”.

Kenyataan itu membuat aku tersentak. Selama dua tahun itulah, Angah hidup sendiri.Hidup sunyi yang semestinya aku tidak akan mengerti. Aku tidak membalas,membiarkan Angah hanyut dalam kerinduan.Membiarkan Angah mengenang isteri yang pernah hadir dalam hidupnya. Aku mendongak memandang bulan.

“Buat apa ni. Lepak tak ajak,” Along pula menyapa kami berdua. Dia duduk di sebelah Angah.
“Tak tolong Kak Mas buat kuih Long?,” soal Angah. Along menggeleng.

“Tak nak.Nanti aku jadi tukang rasa. Takut termakan cincin mama atau Kak Mas. Ngeri!,”

Kami bergabung tawa. Sempat lagi Along membuat lawak. Sejak Kak Leen pergi, Along banyak meluangkan masa dengan Angah. Lagi-lagi pada tahun pertama Angah menduda. Dan mama juga mula menghampiri anak yang selama ini dia rasakan menjauh diri.

Mungkin itulah hikmah Allah mengambil Kak Leen. Semua mula merapati Angah. Semua mula menghulur bahu untuk berkongsi beban kesedihan Angah. Dan Angah kuat dengan sokongan yang diterimanya. Satu lagi aku belajar waktu Ramadan ini, Allah meletakkan kita di dalam situasi yang Dia tahu kita boleh hadapi dan apa yang terbaik untuk kita. Kerana apa?
Kerana cinta...
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER