Oleh
Atas sebab itu, kita mengalu-alukan
inisiatif seorang imam muda di Britain yang memuat naik jemputan
mengajak orang ramai berbuka puasa di masjid menerusi Twitter beliau,
baru-baru ini. Menurut Metro UK, Sabah Ahmedi yang juga imam termuda
Britain, menghantar jemputan kepada pengamal media serta orang ramai
daripada pelbagai latar belakang bertujuan menjalin silaturahim antara
komuniti.
“Seperti
kamu sedia maklum, kita sekarang berada di bulan Ramadan. Setiap hari,
umat Islam yang mampu berpuasa, kami akan menunggu sehingga waktu senja
dan berbuka puasa. Saya tertanya-tanya sekiranya anda sudi sertai
berbuka puasa di salah satu masjid, sama ada di Southfields atau
Morden,” tulis jemputan itu.
Malangnya, ada
dalam kalangan pengguna Twitter yang menerima jemputan berkenaan
berkata, laman sosial itu memberi amaran ciapan tersebut mengandungi
‘kandungan mencurigakan’. Walhal jemputan itu adalah ikhlas dan tidak
patut timbul prasangka. Islam adalah agama sejahtera dan perdamaian.
Dalam
menjalin hubungan sesama insan (hablum minannas), kita tidak dihalang
berbuat baik dengan orang bukan Islam selagi mereka tidak memusuhi
kita. Atas dasar itu, Islam mengharuskan kita menjemput orang bukan
Islam berbuka bersama. Dari sudut dakwah, ini disebut dakwah bil hal
iaitu pelaksanaan dakwah bil qudwah (keteladanan) dan dakwah bil amal
(perbuatan). Dengan kata lain, dakwah bil hal adalah dakwah dilakukan
melalui penampilan kualiti peribadi dan aktiviti yang secara langsung
menyentuh keperluan masyarakat.
Berbuka puasa
bersama orang bukan Islam secara tidak langsung dapat memecah benteng
Islamophobia. Ia juga menjadi titik permulaan orang bukan Islam
mendekati dan memahami Islam.
Adakalanya kita berjiran berpuluh tahun
lamanya dengan kaum Cina dan India tetapi tidak pernah sekalipun jemput
berbuka puasa.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku
adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu),
dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil...(rujuk al-Mumtahanah: 8
dan 9)
Jemputan itu bukan helah untuk ajak
mereka peluk Islam. Sebaliknya, ia tanda hormat sesama insan. Majlis
berbuka pula bukan makan dan minum semata-mata. Sebaliknya, ia dimulakan
dengan doa, iftar dan solat maghrib berjemaah. Semuanya berlangsung
dalam suasana ukhuwah dan penuh kegembiraan. Ia sebagaimana hadis Nabi
SAW yang bermaksud: “Bagi orang berpuasa ada dua kebahagiaan;
kebahagiaan ketika berbuka dan kebahagiaan ketika bertemu dengan
Rabbnya.” (Muttafaq alaih)
Dakwah
bil hal dengan akhlak ini diharap dapat menarik minat bukan Islam untuk
lebih mempelajari dan mendekati Islam. Akhirnya membawa mereka kepada
agama yang benar di sisi Allah iaitu Islam.
Post a Comment