AKU sedang melangkah ke atas permaidani merah, menuju ke ruang dewan
yang dihias indah
sewaktu percikan lampu kamera membuatkan mataku
berpinar-pinar. Di hadapan kelihatan seorang aktor baru yang berjalan
dengan gaya mendada, bagaikan lagak orang yang berasakan dirinya
terkenal. Menurut hematku, dia bukanlah terkenal dengan kehebatan
lakonan, tetapi hebat oleh kontroversi skandal dengan seorang aktres.
Di belakangku pula seorang aktres baru, memakai baju yang dilaporkan
akhbar bernilai hampir RM10,000. Jika di kampungku, baju sebegitu
layaknya untuk para ibu berkemban di tepi sungai, cuma jenis kainnya
daripada kain batik. Tidak perlu berpuluh ribu ringgit. Kalau dikira,
makcik di kampungku lebih mendahului zaman dalam fenomena fesyen
berkemban ini.
Sungguh hairan, walaupun terdedah luas di dada, kain yang dipakai
aktres tersebut meleret di atas permaidani merah. Sungguh ironi, di
bahagian bawah terlebih tutup, sebaliknya di bahagian atas pula ibarat
semua kedai kain hangus terbakar.
Pada awalnya aku memutuskan untuk tidak hadir ke majlis festival
filem ini. Muak dengan dunia gemerlapan yang pura-pura, yang semakin
ingin kujauhi. Ditambah pula aku tidak pernah percaya dengan keperluan
diadakan festival filem begini. Bagiku ia tidak mencapai tahap festival
filem, sebaliknya hanyalah acara memperagakan kemewahan sebagai cermin
kehidupan golongan bintang yang tersasar haluan.
Paradoks. Sangat paradoks. Filem-filem yang hendak diraikan pada festival ini tidak sepadan dengan kemilau yang ditunjukkan.
Walaupun sering mengelak, lewat petang tadi aku dipujuk supaya hadir.
Kononnya filem busukku ada harapan untuk menang pada festival tahun
ini. Aku tahulah filemku bertaraf busuk, buruk dan macam-macam lagi yang
tak layak dipanggil filem. Aku hairan dengan juri yang mereka lantik,
bagaimana mereka menilai filem sebusuk karyaku itu sebagai lambang
kehebatan filem Melayu.
Kau jangan tak datang, malam ini kita naik pentas. Ada orang dalam
dah bagi signal," demikian SMS daripada penerbit yang kemaruk menjulang
trofi Festival Filem Malaysia. Aku rasa penerbit yang selalunya terlebih
perasan ini sudah bersiap berhari-hari untuk naik ke pentas malam ini.
Kalaulah filem aku tidak menang, boleh pengsan agaknya dia.
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku menjadi begitu bosan dengan
kerjaku. Rasa meluat teramat sangat walaupun kerja ini menghamparkan
kekayaan dan hidup yang mewah. Kerja ini yang membuatkan namaku menjadi
sebutan di seluruh pelosok negara, dihimpit sekian banyak wanita cantik
yang mahu menumpang nama. Siapa sahaja yang mengaitkan namanya denganku,
kononnya orang akan memandang tinggi, nilai juga menjadi tinggi dan
peluang untuk mereka hidup mewah juga tinggi.
Mereka hanya kemaruk mahu jadi pelakon, mudah-mudahan dengan
mengaitkan nama mereka denganku, saham mereka akan tinggi bila aku ambil
mereka berlakon. Tepatnya berjalan ke hulu ke hilir melintas kamera.
Ramai sudah yang bergelar pelakon dan menerima bayaran tinggi untuk
filem kedua kerana nama yang sudah meletup dan filem pula pecah
panggung.
Jangan terkejut kalau mereka yang sekadar berjalan ke hulu dan ke
hilir melintas kamera ini menganggap diri sebagai anak seni". Kata
mereka kepada surat khabar, seni sudah menjadi darah daging, tidak boleh
dipisahkan lagi. Bercakap macam burung kakak tua,
Saya tak mahu mempersia-siakan bakat yang dikurniakan Tuhan." Itu
kenyataan burung kakak tua yang diwarisi daripada pelakon senior, yang
kemudiannya berpindah daripada seorang pelakon kepada pelakon yang lain
setiap kali diminta bercakap tentang matlamat seni.
Dengan kebodohan merekalah aku terus hidup sebagai sutradara. Pelakon
akan tunduk hormat setiap kali aku melintasi mereka. Aku tahu mereka
bukan hormat padaku tetapi kerana keupayaanku yang membuatkan mereka
kaya dengan filemku, dan memiliki pelakon wanita sebagai perempuan
simpanan. Jauh sekali kerana hormatkan filem kerana bagi mereka lagi
bodoh sebuah filem itu lagi bagus untuk mereka. Mereka hanya hormat
siapa yang boleh buat filem buruk tetapi boleh jadi kaya.
Hasratku untuk menjadi pengarah filem yang berkualiti sewaktu
menyiapkan tesis ijazah pertama dalam bidang sains sosial di Bristol
University, UK suatu ketika dulu terbengkalai di sini. Akulah ikan yang
tinggal di kolam yang salah. Di sini, banyak filem dibuat menggunakan
kepala lutut.
Fenomena di sini sangat berbeza dengan teori yang kupelajari dalam
subjek minor dalam penulisan skrip filem di mana aku belajar sejarah dan
falsafah filem-filem agung bertaraf dunia. Berpuluh kali menonton filem
Orson Welles yang sangat masyhur, Citizen Kane kerana menurut
pensyarahku, tak sah belajar filem tetapi tanpa menonton Citizen Kane,
filem terhebat sepanjang zaman yang mendapat tempat pertama saban tahun
dalam senarai 100 filem terbaik dunia.
Malangnya segala cita-citaku melayang sebaik-baik sahaja menamatkan
pengajian. Dunia sini melarutkan aku menjadi seperti mereka yang membuat
filem dengan kepala lutut. Lama kelamaan aku menyerap dalam keadaan
yang menjadikan aku kaya sehinggalah pada suatu hari.
Aku diserang rasa kosong yang sangat mencengkam. Saban hari bila
terpampang berita tentang filemku mencatat kutipan jutaan ringgit, aku
berasa bersalah. Rasa malu kepada diri sendiri kerana filem yang menjadi
racun yang merencatkan akal anak-anak muda itu menghasilkan pulangan
yang tinggi untukku. Filem yang kononnya dihasilkan dengan jiwa dan raga
adalah pemusnah bangsa semata-mata. Dan sebilangan besar wartawan
hiburan yang tidak berfikir kritis itu menelan bulat-bulat kataku untuk
menjadi bahan tulisan mereka.
Mereka yang tidak mempunyai rasa seni ini menulis apa sahaja yang
diucap olehku tanpa bantahan. Bagiku mereka sekadar menyambung rentak
wartawan veteran zaman hitam putih. Tak ada rasa penghayatan seni, kalau
pun bukan bercitra tinggi. Wartawan tidak berkualiti beginilah yang
menyumbang biak pengarah tolol atau pengarah cerdik macam aku tetapi
terus membuat filem tolol.
Ajaibnya selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 dua minggu
lepas, kebanggaan sebagai sutradara unggul hilang entah ke mana. Rasa
benci apabila surat khabar terus mengaitkan aku dengan filem-filem pecah
panggung. Semuanya selepas seorang wanita menghantar pesanan dalam
kotak mel berbunyi, Syukur menjengah usia 40, semoga tuan terus
manfaatkan bakat untuk membina insan demi kesejahteraan umat."
Ucapan itu tajam macam sembilu. Pedihnya menghiris ulu hati. Aku
terima sebagai sindiran kerana aku sebenarnya tidak pernah pun berkerja
untuk membina insan. Aku tahu filem-filem pecah panggung lebih
meruntuhkan daripada membina insan. Dulu aku akan kata, jangan salahkan
aku, kalau aku tidak buat orang lain akan buat. Daripada orang lain buat
lebih baik aku buat dan merebut kekayaan yang ada di depan mata.
Sebenarnya aku sendiri tidak tahu macam mana aku boleh menjadi
pengarah filem. Cuma yang aku ingat mula-mula sekali aku terpaksa jadi
pengarah bidan terjun bila pengarah asal bergaduh dengan penerbit.
Kutipan tiga hari pertama filem pertama arahanku sudah pecah
panggung. Rekod yang belum pernah tercapai dalam sejarah filem Melayu
sejak zaman kapitalis Shaw Brothers lagi. Saban hari surat khabar
menyiarkan angka kutipan yang sentiasa bertambah, bukan sahaja sudah
balik modal tetapi untung yang berlipat ganda.
Penerbit pula macam terhutang nyawa kepada aku. Kerana filem sulung
itu dia menjadi jutawan filem yang boleh berjalan megah di hadapan
penerbit yang jauh lebih senior. Dan bertambah banyaklah artis jelita
yang boleh dikepitnya. Walaupun jiwa aku sedikit memberontak dalam dunia
yang pura-pura dan busuk itu, tarikan duit membuatkan aku menjadi
manusia yang paling toleran di dunia ini.
Dengan hasil filem pertama itu juga penerbit menghadiahkan aku sebuah
Mercedes mata belalang. Sebenarnya berapa sangat harga kereta itu kalau
dibandingkan dengan kutipan filemnya. Aku pun sudah lupa tujuan awalnya
nak membuat filem cerdik untuk mencerdikkan penonton. Duit menjadikan
aku gelap mata dengan janji kepada diri sendiri. Aku mulai belajar
resipi filem Melayu lain yang berjaya untuk mengekalkan prestasi sebagai
pengarah pecah panggung.
Hari demi hari aku makin tersasar. Aku mewajibkan adegan separa seks
di atas katil, dalam kolam mandi atau dalam hutan sebagai pelaris. Oleh
sebab kebanyakan pelakon wanita sanggup berbuat apa sahaja demi mengejar
populariti, aku muncul sebagai pengarah yang dilabelkan paling berani
oleh wartawan hiburan tempatan.
Mulanya aku teragak-agak dan malu-malu kucing juga untuk meyakinkan
pelakon wanita melakonkan adegan separa seks. Sukacitanya jangkaanku
meleset, mereka jauh lebih moden rupanya dalam hal ini. Malah
mengalahkan keberanian pelakon Hollywood. Dan dengan bangganya menjawab;
Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melakonkan babak itu dengan baik,"
setiap kali diajukan soalan wartawan.
babak hitam
Jangkaan awalku tentang penapis filem juga meleset.Aku sering
membayangkan adegan tersebut akan dipotong, namun sebaliknya apabila aku
menulis surat panjang lebar menerangkan peri pentingnya babak itu.
Sebenarnya aku sengaja adakan babak itu untuk memancing penonton tetapi
kepada penapis aku kata kalau babak itu ditiadakan hancurlah jalan
cerita. Logiknya, kalau tiada babak hitam, mana datangnya babak putih?
Dan mereka akur dengan kepetahanku berhujah.
Kepada wartawan hiburan yang selalu bertanya tentang kecenderunganku
mengadakan adegan seks, aku menyogok jawapan: Saya ikut skrip, kalau
skrip kata kena buat saya kena patuh, lagi pun filem ini membawa mesej
baik. Kalau nak bagi benda baik kena tunjuk yang buruk dulu."
Esoknya jawapan bodoh aku itu terpampang di akhbar. Beberapa pengarah
lain turut membela aku seolah-olah kalau dilarang adegan itu industri
filem Melayu akan bungkus. Kata mereka, industri filem banyak menyumbang
kepada Kutipan Dalam Negara Kasar (KDNK). Kalau dilarang, tidak ada
kebebasan berkarya dan menjurus kepada pemikiran jumud yang tidak sesuai
dengan kriteria negara maju.
Apabila muncul demam filem adaptasi, penerbit memberi aku sebuah
novel, katanya best seller di negara ini. Ulang cetak entah berapa kali.
Khabarnya penulisnya sudah mengaut royalti beratus ribu ringgit, beli
banglo secara tunai. Bab pertama sahaja cukup memualkan.Betapa seksa
membaca novel seperti ini bagi pengagum Joseph Conrad dan Jane Austen
seperti aku.
Bagaimanapun suatu hari aku terjumpa sebuah novel Melayu yang sangat
memagut pemikiran. Dijual di sebuah kedai buku bertaraf lima bintang di
ibu kota. Disusun sebaris dengan novel-novel lain dari luar negara.
Karya penulis wanita, cara berfikirnya luar biasa. Watak Melayu di
tangan penulis ini penuh kehebatan yang tidak pernah dicungkil. Aku
tidak tahu apa latar belakangnya tetapi daripada pemikiran yang
dihamparkan dalam novel itu dia seorang wanita Melayu Islam yang berani
mendepani cabaran zaman.
Aku membeli, terus membaca semalaman kemudian catat perkara-perkara
luar biasa dalamnya. Tiba-tiba aku terdetik untuk memfilemkan novel ini.
Memanglah pada perkiraan matematik filem tidak akan mendapat sambutan
pecah panggung.
Sudah beberapa kali aku menghubungi dia, tak berjawab. Suatu hari dia
menjawab dan aku gembira bukan kepalang. Aku ajak dia berbincang untuk
memilemkan novelnya. Dia ketawa. Sangkaku dia tentu setuju menerima
tawaran daripada pengarah pecah panggung sepertiku.
Tapi tuan, dalam novel saya tak ada babak di atas katil. Lagi pun
watak-wataknya semua sudah berusia, mana nak letak pelakon-pelakon genit
tuan itu?" Darahku menyirap tatkala jawapan itu singgah ke telinga.
Aku terus memujuknya, dengan alasan aku sudah insaf dan tidak mahu
lagi membuat filem seperti itu. Aku juga beritahu aku belajar membuat
filem dari luar negara supaya dia yakin dengan kebolehanku. Namun dia
tetap dengan keputusannya tidak mahu membenarkan novelnya difilemkan.
Dia tidak yakin aku memelihara kemurnian karyanya apabila dijadikan
filem. Aku katakan kepadanya, filem adaptasi adalah karya baru yang
semestinya ada sudut pandangan baru.
Balasnya,Tuan, saya bukan bercakap tentang sudut pandangan. Saya bercakap tentang kebimbangan saya terhadap kejujuran tuan."
Aku tersedar apabila namaku dipanggil untuk naik ke pentas bersama
penerbit. Tepukan bergema segenap ruang dewan. Aku dihulurkan trofi, di
tepinya ditulis Sutradara Terbaik". Apabila mereka meminta aku
memberikan sepatah dua kata, aku menjadi terlalu asing. Aku malu kepada
diri sendiri kerana aku tahu filem itu sangat buruk.
Saya memulangkan trofi ini kerana saya belum layak menjadi sutradara
terbaik," kata aku terketar-ketar dan terus ke belakang pentas. Dewan
terus gemuruh dengan tepukan dan sorakan mendengar ucapan penerbit
sambil mendakap trofi Filem Terbaik.
Telefon berdering dan masuk pesanan ringkas daripada penulis novel
yang keras hati itu, Tuan membuat kerja gila tetapi saya suka."


Post a Comment