Headlines News :
Home » » Ip Man 3: Pembantaian fizikal, kasih sayang

Ip Man 3: Pembantaian fizikal, kasih sayang

Written By zabidi on Monday, 11 January 2016 | 2:35 pm

Oleh Najmuddin Yusoff 

"Tiada yang lebih penting daripada kasih sayang orang di sekeliling kita."

Ip Man 3 diakhirnya dengan kata-kata di atas yang dilafazkan oleh protagonis filem tersebut, Ip Man. Ia seolah-olah mahu menyimpulkan bahawa filem berkenaan bukan sekadar tentang aksi pertarungan semata-mata, sebaliknya Ip Man adalah mengenai kasih sayang.

Malah melalui Ip Man 3, kasih sayang itu hadir sebagai salah satu bentuk pertarungan. Dan setiap orang ada perlawanan masing-masing.

Sebab itulah, ketika semua orang menjangkakan Ip Man akan berada di gelanggang untuk menghadapi pencabarnya - seorang ahli kung fu dari sekolah yang sama dengannya, Wing Chun - dia memilih untuk melayan isterinya di pentas tarian.

Bukan kerana Ip Man melarikan diri daripada perlawanan, tetapi dia memilih 'perlawanan' lain yang dirasakan lebih bermakna untuknya pada ketika itu.

Sekurang-kurangnya ada tiga pertarungan utama dihadapi Ip Man dalam edisi ketiga trilogi Ip Man lakonan utama Donnie Yen ini.

Pertama, pertarungan untuk memberikan kasih sayang kepada si isteri pada saat sangat kritikal untuk wanita itu yang menanti kematian; kedua, pertarungan membela rakyat dan orang miskin daripada dibuli samseng serta orang kaya; dan ketiga pertarungan mempertahankan maruah Ip Man dan sekolah kung funya.

Watak jahat dalam filem ini adalah orang asing - Frank - yang dilakonkan Mike Tyson.

Atas nama keuntungan dan pembangunan, Frank bercadang membeli (secara rela atau paksa) tanah yang terletaknya sekolah tempat anak Ip Man, Ip Ching, dan kawan-kawannya belajar.

Jika pertarungan pertama adalah mengenai kasih sayang untuk isteri, pertarungan kedua adalah kebangkitan golongan tertindas melawan yang penindas.

Melalui pertarungan ketiga, kita boleh saja mentafsirnya sebagai kemahuan yang didorong oleh agama atau pegangan politik.

Dan antara ketiga-tiga pertarungan itu, kita boleh melihat Ip Man pada awalnya memilih untuk melawan penindasan, kemudian ketika tibanya masa untuk memilih antara keluarga dan kung fu, dia memilih keluarga.

Ada yang boleh kita pelajari mengenai keutamaan dalam hidup seseorang di sini.

Serangan siku, lutut

Dari segi jalan cerita dan sudut emosi yang dibawakan, saya sangat berpuas hati dengan Ip Man 3 ini. Aksi pertarungannya hasil kerja koreografi yang baik juga sangat menarik .

Sekurang-kurangnya ada tiga aksi perlawanan yang boleh saja dikatakan epik. Pertama - dan yang paling digemari - ketika Ip Man melawan petinju Thai dengan aksi tomoinya.

Dalam lif yang ada tiga orang (Ip Man, isterinya serta musuh) berlangsung pertarungan menggunakan seni seni bela diri tahap tertinggi.

Dalam ruang yang sempit, Ip Man terpaksa menangkis serangan siku dan lutut bertubi-tubi si penyerang, pada masa yang sama mengelakkan isterinya tercedera.

Pertarungan epik kedua adalah ketika Ip Man berdepan dengan Frank.

"Aksi itu buruk," kata seorang teman.

Tetapi tidak bagi saya. Ia nampak buruk kerana tinju sememangnya seni perseteruan yang buruk.

Pertembungan itu 'buruk' tapi mendebarkan. Ia 'buruk' yang perlu dan memuaskan.

Aksi pertarungan epik ketiga pula adalah kemuncak filem ini. Ia membabitkan dua pelatih kung fu dari sekolah yang sama - Ip Man melawan Cheung Tin-chi.

Pertembungan itu berlaku apabila salah seorang daripada mereka lawannya telah menyimpang dari ajaran sebenar. Macam biasa kedengaran dalam dunia politik, bukan?
Emosi terasa dekat

Di sebalik aksi-aksi kung fu dan seni bela diri yang hebat itu, sebenarnya ada satu adegan lain yang melekat dalam ingatan saya. Ia adegan tanpa pertembungan kekerasan fizikal namun penuh bererti.
Tanpa diiringi muzik sebagai latar - malah seluruh panggung turut sunyi sepi - yang kedengaran hanya tutur kata isteri Ip Man, Wing Sing.

Tanpa perlu memahami bahasa Kantonis, penonton dapat merasakan emosi wanita itu secara dekat.

Wing Sing juga punya pertarungannya yang tersendiri. Pertembungan antara keinginan perhatian suami dan hakikat Ip Man juga menjadi milik masyarakat.

Satu lagi pertarungan Wing Sing tidak boleh dikongsi sesiapa kerana 'musuh' ada di dalam badannya sendiri.

Menyedari bahawa Wing Sing dan suaminya tak akan menang menghadapi pertarungannya yang satu itu, dia melepaskan Ip Man kerana lelaki itu ada pertarungan lain yang perlu dimenangi.

Sungguh, adegan ini sangat indah. Ia adalah gambaran cinta sesama manusia pada tahap paling tinggi.

Dalam hidup begitulah, pertarungan demi pertarungan akan datang pada seseorang.

Ada yang terelakkan, tapi banyak yang perlu dihadapi. Apa yang penting, kitalah menentukan sendiri untuk beraksi dalam pertarungan mana. Jangan biarkan orang lain memilih pertarungan kita.


NAJMUDDIN YUSOFF eksekutif komunikasi yang kadang-kadang memilih penulisan sebagai 'pentas pertarungan' menyampaikan apa yang terkandung dalam fikirannya.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER