Oleh Mona Ahmad
DIPUKUL sepanjang hari, dicabut kuku menggunakan
playar, dikenakan renjatan elektrik dan
dipaksa bekerja sepanjang hari
tanpa rehat, tidak dibenarkan mandi hanya disiram air tiga bulan sekali
dan diberikan nasi bubur cair bagi mengalas perut.
Itu adalah
sebahagian rutin harian tahanan Penjara Tuol Sleng, Phnom Penh, Kemboja
ketika zaman pemerintahan kejam rejim Pol Pot.
Dalam tempoh hampir empat
tahun dari 1975 hingga 1979 pemerintahan rejim itu, lebih dua juta
rakyat Kemboja mati kebuluran, diseksa dan dibunuh, manakala ramai lagi
yang terselamat mengalami kecacatan fizikal dan mental.
Biarpun
zaman itu sudah berlalu lebih 30 tahun, namun parutnya masih berbekas
dalam sanubari rakyat Kemboja yang melalui kehidupan di zaman Khmer
Rouge itu terutama bagi warga emas yang masih hidup.
Tentera
Khmer Rouge membunuh artis, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama
atau sesiapa saja yang dianggap sebagai 'intelek,' atau sesiapa saja
yang mempamerkan bangsa, agama atau kedudukan mereka.
Tanpa
sebarang alasan, penduduk ditangkap dan dibunuh atau dipaksa menjadi
buruh kasar. Ada kalanya, alasan yang tidak boleh diterima akal manusia
waras seperti memanjat pokok kelapa kerana haus atau hanya kerana
memakai cermin mata yang menampakkan seolah-olah bijak atau kaya turut
ditangkap atau dibunuh.
Penjara Tuol Sleng adalah bekas Sekolah
Tinggi Chao Ponhea Yat yang dijadikan penjara menempatkan hampir 20,000
tahanan yang kemudiannya dibunuh ketika di zaman pemerintahan kuku besi
itu.
Peluang mengunjungi Penjara Muzium Tuol Sleng bersama Persatuan
Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PKPU
JAKIM) yang kini dijadikan Muzium Tuol Sleng baru-baru ini, benar-benar
menginsafkan penulis.
Apakan tidak terutama apabila melihat
ribuan gambar wajah insan tidak bersalah dipamerkan, selain lukisan
gambaran penyeksaan yang dilakukan tentera rejim itu dan tengkorak
tahanan yang ditemui di perkuburan besar di banyak kawasan dikenali
sebagai Killing Fields.
Pertemuan dengan Chum Mey, 86,
satu-satunya bekas tahanan Penjara Tuol Sleng yang masih hidup, di mana
12,000 yang lain didera dan dibunuh dengan kejam serta dihantar ke
lapangan pembunuhan (Killing Field), benar-benar menyentuh jiwa.
Selain menceritakan pengalamannya kepada wartawan dunia dan pengunjung
penjara itu yang kini dijadikan muzium menempatkan maklumat, gambar
serta tengkorak mangsa kekejaman rejim Pol Pot, Chum turut menulis
pengalamannya melalui buku dalam bahasa Inggeris berjudul Survivor.
Saksi utama kes perbicaraan Beliau turut menjadi saksi utama dalam kes
perbicaraan Ketua Penjara itu, Kaing Guek Eav atau Duch yang diadakan
di tribunal jenayah antarabangsa.
"Saya tidak mahu zaman itu
berulang. Menjadi tanggungjawab saya untuk bercerita kepada dunia
mengenai kebenaran dan apa yang terjadi ketika itu. Saya bukan hanya
bercerita kepada orang Kemboja saja, tetapi seluruh dunia tidak kira
orang Cina, orang Champa (Muslim), sesiapa saja yang berjumpa dengan
saya.
Saya mahu dunia tahu apa sebenarnya terjadi dan tidak
mahu ia berulang," katanya. Chum bernasib baik tidak dibunuh kerana
mempunyai kemahiran membaiki peralatan seperti mesin, jana kuasa, trak
dan kenderaan.
"Saya bernasib baik tidak dibunuh kerana mereka
mahukan kepakaran dan kemahiran saya dalam membaiki peralatan. Mesin
taip adalah peralatan pertama yang perlu dibaiki, ini kerana semua
pengakuan direkodkan.
Saya kemudian diarah melakukan kerja
pembaikan mesin termasuk mesin jahit. "Saya bekerja bersebelahan dapur,
kadangkala saya diarahkan mengangkut kayu api, apabila bernasib baik
saya diberikan kerak nasi yang disorokkan dalam laci mesin jahit,"
katanya.
Chum berkata, dua anak perempuannya hilang pada zaman pemerintahan Pol Pot.
Hanya selepas tahun 1979, beliau diberitahu kedua-dua anak perempuannya dibawa menaiki kereta api ke Pursat atau Battambang.
"Saya dengar kereta api itu meletup dan kemungkinan besar kedua-dua
mereka meninggal dunia. Saya cuba mencari mereka, tetapi tidak menemui
atau mendengar berita mengenai mereka.
Jika mereka dibawa keluar negara
untuk proses anak angkat dan masih hidup, tentu mereka pernah mendengar
nama saya kerana saya banyak ke Asia, Eropah dan Amerika.
Namun,
sehingga kini tiada berita mengenai mereka," katanya yang turut
kehilangan isteri dan dua anak lelaki pada zaman itu akibat sakit.
Tarikh 28 Oktober 1978 menjadi kenangan pahit dalam hidupnya apabila
ditangkap pihak rejim Pol Pot atas alasan mahu meminta tolong membaiki
trak berhampiran Vietnam, namun beliau terus dibawa ke Penjara Tuol
Sleng.
Mengikut prosedur, semua tahanan dirakam gambar dan
ditanggalkan pakaian sebelum dimasukkan dalam sel kecil.
Dipukul, kuku dicabut Berhari-hari didera dengan dipukul tanpa henti
dan kuku kaki dicabut dengan playar atas dakwaan menyertai Agensi
Perisikan Amerika (CIA). Mendengar nama CIA pun kali pertama, inikan
pula menjadi perisiknya.
Selama 10 hari didera, dipukul dan
telinga kiri dipasang wayar elektrik, akhirnya beliau tidak tahan dan
terpaksa mengaku atas pertuduhan walaupun tidak tahu menahu butiran
pangkalnya.
"Mereka bukan manusia tetapi lebih teruk daripada
haiwan. Kami diberikan kotak plastik untuk membuang air, jika terjatuh
di lantai kami diarahkan menjilatnya. Jika kedengaran kaki yang diikat
dengan besi bergerak, mereka datang dan menyebat kami sebanyak 200
sebatan.
"Bagi mengalas perut, kami diberi makan bubur nasi dua
kali sehari, jika meminta tambah akan dipukul, kadang kala cicak dan
tikus turut menjadi santapan penghuni penjara," katanya. Selepas
berdekad kejadian itu, walaupun menderita akibat kekejaman rejim Pol
Pot, Chum tidak
menyalahkan tentera yang menderanya kerana mereka hanya
melaksanakan arahan pegawai atasan.
"Saya menganggap mereka
juga mangsa seperti saya kerana terpaksa mengikut perintah ketua mereka.
Jika saya di tempat mereka, sanggupkah saya berdepan dengan hukuman
bunuh jika gagal melaksanakan arahan supaya mendera tahanan," katanya
yang turut mengenal pasti tentera yang menderanya.
Kini, Chum
menghabiskan masa tuanya dengan menjual buku tulisannya di pekarangan
Muzium Tuol Sleng dan bercerita dengan pengunjung mengenai kekejaman dan
pengalamannya menghuni tirai besi itu.
Umat Islam dibunuh,
hidup dalam ketakutan Kemboja terus berdepan perang dengan Vietnam di
sempadan Kemboja-Thailand selepas bebas daripada pemerintahan kuku besi
Pol Pot. Bukan itu saja, perang saudara turut tercetus antara saki-baki
penyokong Pol Pot dan pihak berkuasa sekitar 1990-an yang menyukarkan
kerajaan untuk mewujudkan kestabilan dan keamanan.
Pilihan raya pertama
Kemboja diadakan pada tahun 1993 dan pilihan raya kedua pada tahun 1998
menjadi titik-tolak keamanan kepada negara itu menerusi kepemimpinan
kerajaan campuran yang berusaha mengekalkan kestabilan Kemboja.
Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Hun Sen, negara itu banyak
berubah dan rakyat diberi kebebasan beragama dan mencari rezeki termasuk
umat Islam di negara itu.
Bagi Pengerusi Cambodia Muslim Intellectual
Alliance (CMIA), Farid Hosen, walaupun tidak merasai secara langsung
keperitan kekejaman rejim Pol Pot tetapi ia meninggal parut yang masih
berbekas apabila bapanya, Hosen Abu Bakar turut ditangkap dan meninggal
dunia ketika dalam tahanan.
"Seperti yang diceritakan ibu, saya
ketika itu hanya berusia 15 hari semasa bapa ditangkap rejim Pol Pot.
Ketika itu, regim itu memburu dan menahan guru agama. Bapa saya seorang
imam dan guru agama.
Kami difahamkan beliau meninggal dunia
ketika dalam tahanan akibat kebuluran," katanya ketika ditemui di Phnom
Penh, Kemboja, baru-baru ini. Hanya tiga tahun, lapan bulan dan 10 hari
saja, pemerintahan kuku besi itu menyaksikan kira-kira setengah juta
umat Islam Kemboja berketurunan Melayu Champa meninggal dunia dan yang
tinggal hanyalah sejumlah 100,000 saja ketika zaman itu.
Guru
agama Kampung Suay Bakau, wilayah Kampong Chnang, Ishak Irham, 72, yang
kehilangan kebanyakan ahli keluarganya ketika di zaman Pol Pot
menyifatkan keamanan yang dikecapi sekarang perlu dipertahankan kerana
penderitaan hidup ketika itu tidak boleh gambarkan oleh akal waras
manusia. BILIK seksaan. Hidup dalam ketakutan
"Di zaman Pol
Pot, hidup memang susah. Kami hidup dalam ketakutan kerana bimbang
ditangkap dan dibunuh. Kebanyakan yang dibunuh adalah guru agama dan
imam kerana komunis tidak percaya kepada agama. Adik beradik saya ada
juga yang ditangkap dan dibunuh," katanya.
Bagi generasi muda, Nasief
Mohamad, 25, walaupun tidak sempat merasai penderitaan di zaman Pol Pot
tetapi ibu bapanya serta saudara yang lebih tua di rumah serta
kampungnya pernah bercerita mengenai kekejaman yang dialami ketika itu.
"Alhamdulillah, kami tidak merasai keperitan yang pernah dialami
generasi sebelum ini. Kami berharap sejarah tidak berulang dan negara
ini terus aman di mana umat Islam boleh mengamalkan ajaran dan menjalani
hidup harmoni dengan penduduk yang beragama dan berbangsa lain,"
katanya.
Berasal dari wilayah Kampong Cham, Nasief yang kini
menuntut di Universiti SEGI, Kota Damansara, Kuala Lumpur, turut
menyuarakan rasa kesyukuran kerana berpeluang melanjutkan pengajian di
Malaysia dengan tajaan Yayasan al Bukhary dan berharap dapat kembali
menabur bakti di negaranya selepas tamat pengajian.
Kekejaman rejim Pol Pot masih berbekas
Written By zabidi on Tuesday, 19 January 2016 | 12:25 pm
Labels:
Global
Post a Comment