AIR merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Kita
perlukan air untuk menjalani
kehidupan seharian kerana ia sumber penting
dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian,
perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik dan sebagainya.
Seperti yang kita sedia maklum, hampir 3/4 daripada permukaan bumi
adalah kawasan berair. Begitu juga dengan tubuh manusia di mana 70%
daripada komposisi tubuh manusia adalah air.
Kajian
menunjukkan bahawa manusia boleh hidup lebih seminggu tanpa makanan
tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Ini menggambarkan betapa
pentingnya air dalam kehidupan kita.
Negara kita juga telah
mengalami beberapa krisis bekalan air yang serius. Antaranya krisis air
pada tahun 1998 di Lembah Kelang di mana kira-kira 600,000 penduduk
Selangor dan Kuala Lumpur telah terjejas.
Sebagai pengguna
kita haruslah mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa ini
dengan menyediakan satu pelan tindakan agar krisis seperti ini dapat
dielakkan daripada berulang atau setidak-tidaknya mengurangkan impaknya.
Antara tugas dan tanggungjawab pengguna yang paling utama
ialah menjimatkan air. Kita sememangnya berhak untuk mendapatkan bekalan
air yang terjamin keselamatannya serta menggunakan sebanyak mana yang
kita ingini berdasarkan harga yang telah dibayar.
Tetapi,
sedarkah bahawa kita sebenarnya berurusniaga dengan alam. Setiap liter
air yang digunakan akan melalui proses kitaran semulajadi.
Hari demi hari kita harus menyaksikan betapa pencemaran terhadap sumber
alam ini masih berlaku. Adakah suatu hari nanti kita sanggup membayar
harga yang begitu tinggi untuk mendapatkan bekalan air yang selamat dan
bersih?
Jawapannya pada diri kita sendiri. Oleh itu, langkah
yang paling mudah boleh diambil oleh setiap pengguna ialah dengan
menjimatkan penggunaan air.
Apabila kita menyentuh isu
penjimatan air, ia tidak akan lengkap tanpa kita melihat dan
membincangkan tentang cabaran dan kesan jika terdapat masalah kepada
bekalan air bersih kerana tiada sesiapa pun yang menjimatkannya.
Sehingga kini, pencemaran air terutamanya sumber utama air bagi
kehidupan harian dan kegunaan industri iaitu sungai sudah terlalu
kritikal kecederaannya. Di manakah punca dan siapa pula yang harus
dipersalahkan.
Pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan
tetapi hasilnya masih mendukacitakan. Dalam setiap persidangan sedunia
atau di peringkat kebangsaan dan serantau mengenai alam sekitar mahupun
bekalan air, pencemaran pastinya akan menjadi isu pokok.
Namun
sedemikian, biar sekerap atau seserius mana pun perbincangan dan
persidangan itu diadakan, tetapi tanpa tindakan dan susulan yang
sewajarnya, pencemaran sungai-sungai ini akan bertambah parah.
Peranan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Air
usaha memelihara dan memulihara sungai-sungai dan sumber air yang lain
sewajarnya diberi pujian.
Tetapi tanpa kesedaran pengguna,
sebagai pengguna utama alam sekitar yang mendagangkan air ini, semua
usaha akan sia-sia umpama mencurahkan air ke daun keladi.
Kesedaran pengguna sebenarnya merupakan aset terpenting untuk terus
memastikan bahawa sumber ini akan terus wujud, bersih dan selamat serta
dapat meneruskan khidmatnya kepada kehidupan sejagat.
Yang
pasti, ibu bapa harus memainkan peranan untuk mendidik anak-anak yang
bakal menjadi pengguna alam ini agar sedar akan tanggungjawab mereka dan
bersama-sama menjaga khazanah ini.
Kesedaran pengguna di
peringkat awal akan menjadi pemangkin kepada jaminan bahawa sumber alam
ini akan terus selamat dan berdekatan.
Ibu bapa pastinya akan
tersenyum lega kerana warisan anak cucu mereka akan terus menikmati
kehebatan sumber air ini dan meneruskan kemandiran tamadun dan
kehidupan.
Seterusnya, pengguna harus sedar bahawa mereka juga
mempunyai hak mengenai kualiti pembekalan air agar kita sentiasa
mendapat perkhidmatan air yang benar-benar berkualiti, bersih dan
selamat.
Saban tahun, pelbagai isu mengenai kualiti pembekalan air yang
semakin menurun dilaporkan.
Pengguna seringkali menghadapi
pelbagai masalah seperti mendapat bekalan air yang kotor, gangguan
perkhidmatan yang terlalu kerap dan kadar bayaran perkhidmatan yang
kadangkala terlalu tinggi dan tidak masuk akal.
Malah ramai
pengguna terpaksa berbelanja lebih dengan memasang sendiri penapis air
berteknologi tinggi di premis masingmasing lantaran kualiti air yang
begitu teruk.
Selain itu, beberapa tempat di Semenanjung
Malaysia pula turut mengalami masalah catuan bekalan air kerana hujan
yang tidak menentu dan mempengaruhi kadar takungan air serta masalah
penyaluran bekalan.
Satu perkara lagi yang perlu diberikan
perhatian mendalam oleh semua pihak terutamanya pengguna ialah
keselamatan dan keupayaan kawasan tadahan hujan serta alam sekitar yang
bersih untuk memastikan sumber ini akan terus kekal dan berupaya
menampung penambahan bilangan penduduk. Perkara ini perlu diberikan
perhatian serius kerana sumber ini adalah asas utama kemandirian tamadun
dan kehidupan.
Tanpa usaha yang berterusan dan berkesan,
suatu hari nanti pasti tiada lagi sumber air yang benar-benar bersih
untuk kehidupan sejagat.
Mungkin suatu hari nanti air untuk
kegunaan harian terpaksa melalui satu proses kompleks untuk dijadikan
air yang benar-benar bersih dan selamat. Justeru itu, pengguna haruslah
memainkan peranan utama dengan memupuk kesedaran agar kawasan tadahan
hujan dan alam sekitar kita akan terus sesuai untuk kehidupan sejagat.
Oleh itu, semua pihak harus sedar tentang tanggungjawab dan tugas mereka mengenai penggunaan air.
Pengguna terutamanya sebagai pengguna utama alam sekitar harus
mempunyai kesedaran yang tinggi untuk terus memastikan bahawa generasi
masa depan akan terus menikmati alam sekitar yang bersih seterusnya
bekalan air yang selamat.
Semoga air bersih akan terus 'hidup' di muka bumi ini bagi memastikan kemandirian tamadun kehidupan yang gemilang.
- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com kehidupan dengan kerjasama KPDNKK
Air sebagai sumber kehidupan
Written By zabidi on Tuesday, 19 January 2016 | 12:32 pm
Labels:
Rencana
Post a Comment