NEW
YORK, — Ahli sains masih menggaru-garu kepala, tidak pasti sama
ada mengambil pemanis
tiruan seperti dalam minuman diet boleh
menguruskan badan atau menggemukkan?
Pemanis tiruan, yang tidak mempunyai khasiat pemakanan, memang tidak
mempunyai kalori dan sering dimasukkan dalam makanan untuk membantu
mengurangkan berat badan.
Beberapa ujian menunjukkan mereka yang mengambil pemanis tiruan tidak
menambah berat seperti mereka yang mengambil minuman bergula, lapor New York Times seminggu lalu.
Namun, lapor akhbar berpengaruh itu, kajian di kalangan ramai responden
menunjukkan keputusan sebaliknya. Mereka yang sering mengambil pemanis
tiruan boleh mengalami mudarat kesihatan, termasuk menambah berat badan.
Kajian melibatkan 6,814 warga Amerika Syarikat berumur 45 hingga 84
tahun mendapati mereka yang meminum soda diet sekurang-kurangnya sekali
sehari lebih berisiko 67 peratus menghidap diabetes jenis 2 berbanding
mereka yang tidak mengambil minuman diet, sama ada berat badan mereka
bertambah atau tidak.
Kajian itu, yang dijalankan sekurang-kurangnya selama lima tahun, juga
mendapati mereka bakal mengalami sindrom metabolisme 36 peratus lebih
tinggi, yang boleh mendatangkan penyakit jantung, serangan angin ahmar
dan diabetes kemudiannya.
Satu lagi kajian yang dijalankan terhadap penduduk San Antonio selama
10 tahun mendapati mereka yang mengambil lebih 21 hidangan minuman diet
setiap minggu berisiko dua kali ganda menjadi gemuk. Lebih banyak
minuman soda diet yang diambil, lebih tinggi risikonya.
Ujian berskala besar itu bagaimanapun tidak mencari sebab dan akibat;
dan mungkin membayangkan mereka yang bertambah berat badan minum terlalu
banyak soda diet.
Dr John Fernstrom, profesor di Universiti Pittsburgh dan juga perunding
syarikat perisa makanan terkenal Ajinomoto, mengkaji semula bukti
terhadap pemanis tiruan. Beliau menyimpulkan bukti yang mengaitkan
pemanis tiruan dengan masalah metabolisme sebagai "tidak begitu
meyakinkan".
Tetapi ahli-ahli sains lain lebih berhati-hati, mereka menuntut lebih banyak kajian.
Mereka berhujah, ujian-ujian pada haiwan menunjukkan pemanis tiruan
mengubah tindak balas terhadap gula dalam darah tikus dengan mengganggu
hidupan mikrob pada sistem penghadaman.
Ada juga ahli-ahli sains mengandaikan pemanis tiruan boleh mengganggu
keupayaan badan mengawal gula dalam darah dengan merangsang reseptor
rasa manis ke seluruh sistem pencernaan atau mengganggu hormon dan
laluan saraf otak yang mengawal kelaparan dan kekenyangan.
"Sehingga kita mengetahui lebih lanjut, kita wajar menggunakan pemanis tidak berkhasiat ini secara berpada-pada.
“Anggap saja ia satu hidangan khas sekali-sekala, bukannya sesuatu yang
perlu diminum sepanjang hari," kata M Yanina Pepino, pembantu profesor
di Pusat Pemakanan Manusia di Fakulti Perubatan Universiti Washington.
Bagus atau tidak pemanis tiruan dalam minuman anda?
Written By zabidi on Monday, 29 February 2016 | 2:15 pm
Related Posts :
Labels:
Global
Post a Comment