SYDNEY, ― Lebih banyak kopi yang diminum, lebih kurang risiko seseorang
mengalami masalah kesihatan, termasuk penyakit rosak hati cirrhosis, kata satu kajian terkini.
Kajian Universiti Southampton di Britain mendapati mengambil satu atau
dua cawan kopi setiap hari boleh mengurangkan risiko kerosakan hati
antara 22 hingga 43 peratus, lapor News.com.au hari ini.
Kajian terhadap 430,000 orang juga menunjukkan mereka yang minum tiga
atau empat cawan kopi boleh merendahkan risiko kerosakan hati antara 57
hingga 65 peratus.
Ketua penyelidikan itu Oliver Kennedy memberitahu akhbar The Washington Post bahawa cirrhosis boleh membawa maut dan tiada ubat dapat merawatnya.
“Jadi, penting bagi kita mengurangkan risiko berlakunya kerosakan hati
dengan mengambil kopi, sejenis minuman yang murah dan mudah diperolehi,”
katanya.
Penyebab-penyebab utama kerosakan hati termasuklah pengambilan alkohol
yang banyak, serangan hepatitis B, jangkitan hepatitis C dan juga
pengumpulan lemak di hati.
Menurut data, lapor portal Australia itu lagi, 1,772 orang mati di
negara itu akibat kerosakan hati pada 2013 dan lebih satu juta maut
setiap tahun angkara masalah ini di seluruh dunia.
Manfaat-manfaat lain kopi ditunjukkan dalam beberapa kajian lain:
1. Panjangkan usia
Kajian di Universiti Harvard mendapati minum kopi antara tiga hingga
lima cawan kopi sehari boleh melanjutkan usia seseorang. Mereka yang
mengamalkan minuman ini boleh mengurangkan risiko terkena penyakit
jantung, bunuh diri, kencing manis atau penyakit Parkinson.
2. Tidak tingkatkan degupan jantung
Mitos yang popular, kopi akan menyebabkan degupan jantung anda lebih
kencang atau tidak teratur. Namun kajian mutakhir menunjukkan mengambil
kafein dengan kerap bukan penyebab gejala tersebut. Malah, peminum kopi
lebih rendah risiko mendapat penyakit jantung koronari.
3. Bantu kekalkan ketahanan seks
Kajian Pusat Sains Kesihatan di Universiti Texas mendapati lelaki yang
minum dua cawan kopi sehari lebih sukar terkena masalah organ seks susah
tegang, atau ED, sebanyak 42 peratus.
4. Cegah kencing manis
Kajian menunjukkan peminum kopi lebih rendah peluang terkena diabetes
jenis 2, sama ada mengambil kopi biasa atau kopi tanpa kafein.
Jom kopi! Panjang umur, kurang penyakit, seks baik
Written By zabidi on Monday, 29 February 2016 | 2:17 pm
Related Posts :
Labels:
Global
Post a Comment