Oleh Nurul Halawati Azhari
Sama
ada memang sikap kita atau ia hanya salah faham di Malaysia, apabila
seseorang penghidap diabetes telah sampai ke tahap perlu melakukan
suntikan insulin, mereka beranggapan seluruh kehidupannya juga
berakhir.
Semangat mula luntur dan kualiti hidup mula menurun serta sudah tiada masa untuk bersosial bersama keluarga.
"Leceh sebab nak kena bawa macam-macam ubat," kata Alia Muhammad, 42.
Alia penghidap diabetes miletus tahap 2 sudah lebih dua tahun mengguna
suntikan insulin yang perlu disuntik setiap hari. Beliau antara contoh
penghidap diabetes yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah
daripada keluar bercuti atau berjalan-jalan kerana berasa sukar dan
leceh dalam keadaan kesihatannya yang kurang menentu.
Sedar ia bukan penamat buat hidupnya tetapi kerana malas untuk berenyah-renyah, lebih baik duduk diam-diam sahaja di rumah.
Diabetes atau disebut kencing manis oleh kebanyakan orang di negara
ini adalah satu daripada 10 penyakit yang membawa kematian di Malaysia.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015,
terdapat peningkatan jumlah penghidap diabetes di Malaysia iaitu kepada
17.5 peratus pada tahun 2015 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2011.
Ia penyakit metabolik kompleks yang semakin lazim di negara ini. Dan
didefinisikan melalui peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah
(hyperglisemia) yang menyebabkan badan tidak berupaya menghasilkan serta
menggunakan insulin.
Menurut Konsultan Kanan Endoktrinologi,
Profesor Dr Chan Siew Pheng, jika keadaan itu berterusan, dijangkakan
kadar kes diabetes di Malaysia akan terus meningkat jika tiada strategi
berkesan diambil bagi membanterasnya.
"Wujud satu lompong
mengenai kesedaran diabetes serta kelazimannya di negara ini dalam
kalangan rakyat Malaysia. Hal ini sekaligus menghalang usaha proaktif
bagi memperkenalkan kehidupan lebih sihat yang boleh mengurangkan
risiko diabetes," jelas Prof Chan.
SEDIKIT MENGENAI KENCING MANIS
Diabetes adalah terma am kepada penyakit yang berkait dengan kencing
berlebihan. Diabetes Jenis 1 adalah jenis 'insulin-dependant' disebabkan
kegagalan insulin dihasilkan oleh badan. Ia juga disebut 'Juvenille
Diabetes' disebabkan hanya biasa terjadi kepada kanak-kanak.
Manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 pula disebabkan 'disorder
carbohydrate (sugar)' metabolism atau juga dipanggil 'non-insulin
dependant diabetes mellitus'. Penyakit ini dibahagikan kepada
'hyperglycemia' (gula dalam darah) dan 'glycouria' (gula dalam air
kencing). Keadaan ini berlaku disebabkan kekurangan pengeluaran insulin
dalam badan.
Satu jenis lagi ialah pregnancy diabetes. Ini
berlaku sewaktu seseorang hamil dan akan hilang selepas bersalin tetapi
boleh berterusan jika tidak dikawal.
Diabetes jenis 2
merangkumi 90 peratus hingga 95 peratus daripada jumlah pesakit
diabetes. Biasanya terjadi sejajar dengan peningkatan usia, penambahan
berat badan atau obesiti, keturunan atau genetik dan juga gaya hidup
yang kurang aktif. Biasanya diabetes jenis ini tidak memerlukan
suntikan insulin tetapi perlu dikawal dan pemakanan perlu dijaga.
Bagaimananpun jika tidak dikawal ia turut meningkatkan risiko kepada
komplikasi penyakit kardiovaskular atau jantung (mikro dan makro). Malah
penyakit ini turut berkait rapat dengan peningkatan kematian pramatang
serta kematian yang boleh dielakkan,penyakit hati, kegagalan buah
pinggang serta buta dan dipotong kaki (amputasi).
Walaupun
lebih lazim dalam kalangan orang dewasa, penyakit ini turut menyerang
kanak-kanak apabila kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak kian
meningkat.
INSULIN
Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas manusia.
Ia berfungsi dengan menukar glukos/gula yang terdapat di dalam aliran darah menjadi tenaga.
Kehadiran insulin sangat penting bagi mengawal kadar gula dalam darah
dan glukos akan ditukarkan ke dalam bentuk tenaga. Jika glukos tidak
ditukar ke dalam bentuk tenaga ia akan terus berada di dalam darah dan
menyebabkan pelbagai komplikasi.
Penghidap diabetes yang
mempunyai masalah insulin tidak mencukupi ataupun tidak boleh
dihasilkan, mereka terpaksa mendapatkan insulin yang dihasilkan
daripada haiwan atau insulin yang diperbuat secara sentetik yang
menyerupai insulin manusia.
Insulin tambahan ini akan disuntik
ke badan pesakit untuk meningkatkan insulin dalam darah. Bagaimanapun
tidak semua pesakit memerlukan insulin tambahan ini. Keperluan
bergantung kepada tahap dan jenis diabetes yang dihidapi.
KENAIKAN MENDADAK
Kajian terbaharu Diabcare 2013 pula mencatatkan walaupun dengan
kepelbagaian ubatan yang diambil, 76 peratus pesakit gagal mengawal
tahap glukos dalam darah mereka berbanding catatan sebanyak 72 peratus
pada tahun 2008.
Menurut Prof Chan, jumlah kenaikan penghidap diabetes yang mendadak di Malaysia adalah amat membimbangkan.
"Oleh kerana Diabetes Jenis 2 merupakan penyakit yang kompleks, perlu
ada pilihan rawatan efektif untuk membantu pesakit mengoptimumkan
kawalan glisemik mereka," jelas Prof Chan ketika ditemui pada majlis
pelancaran Once-Weekly Bydureon, sejenis rawatan baharu yang diluluskan
bagi diabetes jenis 2 di Malaysia.
Turut hadir pada majlis
itu ialah Ahli Endokrinologi serta Diabetologi dari Universiti
Tubingen, Jerman, Dr Stephan Jacob. Beliau turut menjelaskan bagaimana
rawatan yang telah 10 tahun berada di pasaran Jerman dan Eropah
membantu meningkatkan gaya hidup aktif pesakit diabetes yang tidak mahu
dibebani dengan jadual rawatan.
Terapi suntikan secara
mingguan berbentuk suntikan serbuk pelarut tersebut membantu menambah
baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa yang menghidap Diabetis
Mellitus Jenis 2.
"Jumlah pesakit diabetes seluruh dunia juga
semakin meningkat hingga ia membebankan. Hari ini kita mempunyai ramai
golongan muda menghidap diabetis."
Beliau berkata Once-Weekly Bydureon dipercayai rawatan berkesan kepada pesakit.
"Ia memberi kesan baik kepada pesakit Diabetes Jenis 2 dengan
pengurangan dua peratus HbA, turun 4.0 kg berat badan dan keseimbanganan
dalam HbA untuk selama enam tahun. Ini menjadikan ubat berkenaan
sebagai inovasi terbaru rawatan bagi Diabetes Jenis 2 dan sesuai untuk
pesakit yang gemar cara hidup yang bebas dan tidak terikat dengan jadual
rawatan", katanya.
PROGRAM SOKONGAN PESAKIT B+
Bersempena pelancaran itu, pihak AstraZeneca Sdn Bhd selaku pembekal
turut memperkenalkan Program Sokongan Pesakit B+. Ia khusus buat pesakit
yang menerima rawatan Diabetes Mellitus Jenis 2 yang menggunakan ubat
berkenaan.
Antara lain program sokongan itu menawarkan
Diabetic Nurse Educators yang dilatih secara khusus untuk mengajar
pesakit kaedah penggunaannya. Di samping turut memberikan kaunseling
dan mendidik pesakit mengenai amalan diet serta gaya hidup yang sihat.
Program berkenaan turut merangkumi peringatan rawatan mingguan,
risalah serta akses kepada pengamal perubatan profesional bagi sebarang
pertanyaan mengenai rawatan mereka.
Bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menyertai program itu.
BERNAMA
Suntik Insulin Bukan Penamat Buat Penghidap Diabetes
Written By zabidi on Monday, 28 March 2016 | 8:54 am
Related Posts :
Labels:
Kesihatan
Post a Comment