Headlines News :
Home » » Puasa enam elok diawal

Puasa enam elok diawal

Written By zabidi on Monday, 18 July 2016 | 4:03 pm

Oleh Subky Latif

TELAH disunahkan puasa enam hari dalam bulan Syawal mengiringi puasa sebulan Ramadhan bagi menyamakan ibadat puasa orang Islam seperti puasa sepanjang tahun.

 Tiga hari puasa dalam bulan Ramadhan ganjarannya seperti puasa sebulan. Maka sebulan Ramadhan puasa seperti puasa sepuluh bulan. Bagi menggenapkan setahun, maka disunatkan puasa enam hari bulan Syawal yang ganjaran seperti dua bulan. Jadi puasa itu seperti puasa setahun.
  
Bila puasa enam itu dilaksanakan? Islam tidak menetapkan. Boleh dilaksanakan dari dua Syawal hingga hari terakhir Syawal.
  
Fekah mazhab berbeza pendapat. Ada yang memulakan seawal dua Syawal berturut hari. Ada yang puasa berselang hari tetapi cukup enam hari sebelum berakhir Syawal. Mulai popular sekarang ia tidak semesti diawalkan. Mazhab Maliki dikatakan memadai puasa sehari dalam bulan Syawal, bakinya boleh ditunaikan sepanjang tahun.
   
Bapa saya tidak pernah terlepas mula puasa dua Syawal. Mana yang tidak berhari raya di rumah pada hari raya pertama, datang malam atau selepas tujuh Syawal.
  
TG Nik Aziz mula puasa hari raya kedua. 30 tahun lalu saya dan Ustaz Hassan Shukri singgah rumah Ustaz Hadi Awang di Rusila 4 Syawal. Beliau masuk hari ketiga puasa. Hari itu beliau berbuka kerana meraikan kami. Saya percaya sejak lebih 30 tahun lalu beliau sehari saja raya dan lepas itu puasa.
   
Terengganu sebelum generasi sekarang antara negeri mengawalkan puasa enam. Mereka puasa dari dua Syawal. Raya puasa enam lebih meriah dari 1 Syawal.
  
Justeru hari terbuka kadang-kadang melewati bulan Syawal, maka orang melambatkan puasa enam, bahkan ada yang tak cukup enam hari.
  
Apapun ia sekadar sunat. Sunat tidaklah seberat wajib. Tetapi sunat puasa enam itu digalakkan sangat. Antara fadilat puasa bulan Ramadhan adalah kaedah mendapatkan takwa. Orang dapat takwa itu tentulah mengutamakan puasa enam. Dan yang tinggi takwanya mengawalkan puasanya. Yang tidak sempat menunainya tidaklah boleh dikata tidak takwa. Sekadar tidak dapat pahala puasa itu saja.
   
Amalan sunat tidak berdosa jika ditinggalkan. Tetapi pahalanya boleh melebih amalan wajib. Justeru amalan sunat bagi mendapatkan mardhatillah.
   
Cabaran puasa enam lebih berat daripada puasa Ramadhan. Bulan Ramadhan semuanya puasa, tetapi puasa enam berpuasa semasa orang kebanyakannya makan. Zaman hari-hari ada hari terbuka, maka mengawal nafsu itu lebih payah. Tetapi apabila nafsu dapat dikawal pada masa orang sekeliling semua makan, maka ia mengatasi cabaran yang besar.
   
Sekalipun ia sunat yang boleh tidak disegerakan, tetapi menyegerakannya adalah lebih baik. Seperti waktu solat. Ia sah ditunaikan pada akhir waktu. Tetapi menyegerakannya dituntut. Jika ditunggu di akhir waktu, tiba-tiba mati sebelum solat ditunaikan. Sekurang-kurangnya ia rugi pahala satu waktu.
   
Jika puasa enam ditunaikan seawal mungkin, di samping pahalanya tinggi, jika dia mati selepas menunaikan puasa itu, maka dia mati bersama pahala puasa enam. Jika dia mati dalam bulan Syawal tetapi tidak sempat puasa enam, maka ia terlepas pahalanya.
  
Maka pilihan terbaik, sekalipun masa puasa itu ada tempoh sebulan, kalau disegerakan adalah lebih baik. Kita sudah beroleh puasa setahun.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER