Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Dianggarkan dua peratus populasi penduduk dunia menghidap psoriasis.
Di Malaysia, seramai 14,486 orang dilaporkan menghidap penyakit ini
(data Registri Psoriasis Malaysia 2007-2015). Psoriasis adalah sejenis
penyakit kulit yang berpanjangan dan berulang.
Ia terjadi berikutan gangguan sistem imun badan yang menyebabkan
pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari
berbanding 21 hingga 28 hari dalam keadaan biasa.
Proses ini menyebabkan sel-sel bergerak ke atas kulit dengan cepat
seterusnya menjadikan kulit muncul sebagai tompok-tompok merah dengan
sisik yang tebal dipermukaan kulit.
Selain kulit tubuh dan anggota badan, penyakit ini juga membabitkan
kulit kepala, kuku dan sendi. Saluran darah di bawah kulit juga menjadi
lebih lebar lalu meningkatkan aliran darah. Peningkatan bekalan darah
menyebabkan tompok merah jelas kelihatan.
Pakar Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azura Mohd Affandi
berkata, psoriasis adalah penyakit keradangan kulit kronik yang
menyebabkan kulit menebal lebih cepat.
“Psoriasis adalah penyakit yang setakat ini tiada penyembuh, namun
rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Ia berlaku
disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu atau bapa menghidap
penyakit ini, kebarangkalian anak mendapat penyakit berkenaan adalah
lebih tinggi.
“Bagaimanapun, anda juga boleh menghidap penyakit psoriasis walaupun
tiada sesiapa dalam keluarga yang menghidap penyakit itu. Kawasan yang
biasa dihidapi adalah kulit kepala, lutut, siku, lengan dan kaki.
Sehingga kini, punca psoriasis masih tidak diketahui,” katanya ketika
ditemui pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Psoriasis Malaysia di HKL
baru-baru ini.
Menurutnya, psoriasis tidak berjangkit. Namun, sejarah keluarga yang
positif psoriasis meningkatkan risiko seseorang mendapat psoriasis.
Kira-kira 40 peratus daripada pesakit psoriasis mempunyai ahli
keluarga yang menghidap penyakit berkenaan meskipun data daripada
Registri Psoriasis Malaysia 2007 hingga 2015 menunjukkan jumlah
penghidap yang disebabkan sejarah keluarga lebih rendah iaitu sebanyak
23 peratus.
Mengulas mengenai bahaya psoriasis, Dr Azura memberitahu, penyakit
itu membawa kesan negatif kepada psikologi pesakit. Faktor lain menjadi
penyebab psoriasis bertambah buruk termasuk tekanan perasaan,
pengambilan alkohol berlebihan, jangkitan kuman, kecederaan kulit dan
tindak balas ubat-ubatan tertentu seperti ubat darah tinggi, ubat tahan
sakit dan antibiotik.
“Tahap keterukan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu
bahagian hinggalah ke keseluruhan permukaan badan. Psoriasis menyebabkan
tompok tebal dan bersisik dikenali sebagai plak psoriasis.
“Seterusnya kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang serta
mengakibatkan sisik di permukaan kulit. Ia sering terjadi di bahagian
siku, lutut, tetapi juga boleh terjadi di mana-mana bahagian badan,
termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan,” katanya.
Post a Comment