Headlines News :
Home » » Pekak kisah tentang yang tidak mahu mendengar

Pekak kisah tentang yang tidak mahu mendengar

Written By zabidi on Monday 5 September 2016 | 1:41 pm

Belum pun menemui penonton di Malaysia, filem Pekak telah pun mendapat pengiktirafan di International Motivational Film Bridge of Arts di Rusia.
 
Zahiril Adzim selaku pelakon utama dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan penulis skrip Alfie Palermo turut diiktiraf penulis skrip terbaik.
 
Terdahulu filem ini turut ditayangkan di Cannes sempena Marche du Film 2016.
 
Begitu jauh filem terbitan Lightbulb Pictures dan Grand Brilliance pergi. Namun untuk pasaran Malaysia, Pekak mula berada di pawagam 1 September lalu.
 
Pekak mengisahkan Uda (lakonan Zahiril) yang pekak bercita-cita mengumpul duit untuk menjalani pembedahan implan koklea bagi memulihkan pendengarannya.
 
Perjalanan Uda menemukan dirinya bersama Dara (Sharifah Amani).
 
Dara digambarkan sebagai pelajar sekolah bermasalah. Melur (Sharifah Sakinah) adalah orang yang berpengaruh dalam hidup Dara. Dia telah membawa Dara ke dunia dadah dan maksiat.
 
Pekak berlegar pada kisah anak muda yang sesat dalam pencarian mereka.
 
Alfie sebagai penulis skrip memilih sisi gelap muda mudi zaman sekarang.
 
Menarik mengenai naskah ini, Alfie tidak kedekut menceritakan golongan ini.
 
Kebiasaannya apabila menulis cerita tentang dadah atau maksiat, kebanyakkan penulis gemar mengambil sisi liar dan kekeliruan anak muda.
 
Malahan Alfie juga tidak klise dalam mengambarkan watak si pekak.
 
Tiada unsur-unsur simpati atau sedih ditonjolkan sebaliknya, Uda tampil sebagai manusia biasa yang juga membuat pilihan yang salah.
 
Menerusi Pekak, watak Uda dan Dara digambarkan terjerumus dalam dunia ini bukan kerana kemahuan mereka.
 
Uda terlibat kerana terdesak mencari duit, manakala Dara sekadar mahu lari daripada bapanya dan memuaskan hati Melur yang berterusan mendesaknya untuk menemaninya berjumpa dengan kekasihnya Azman (Amirul Affendi).
 
Secara keseluruhan Pekak menceritakan tentang kesunyian Dara kerana tiada siapa yang mahu mendengar kisahnya.
 
Bapanya berterusan mengongkong Dara kerana pengalaman pahit bersama ibu Dara.
 
Manakala Melur rakan baiknya hanya menggunakan dia sebagai batu loncatan untuk bersama kekasihnya.
 
Kehadiran Uda yang pekak telah membuatkan hati Dara berbunga. Walaupun Uda pekak namun hanya dia sahaja yang mahu mendengar cerita dari Dara.
 
Dalam filem ini, lagu Rintihan Hati nyanyian Othman Hamzah menjadi pilihan Uda tatkala di rumah dan Dara dalam pemain mp3.
 
Secara logiknya lagu itu terlalu jauh dengan golongan Gen Y ini, namun sebenarnya lagu ini menceritakan rintihan yang berlegar dalam hidup Dara.
 
Pujian boleh diberi kepada pengarahnya Khairul Azri kerana memampatkan Pekak menjadi filem yang menarik. Pemilihan lokasi dan penataan seni juga menyokong filem ini menjadi filem yang baik.
 
Selain itu, aksi para pelakon juga harus diberi pujian. Tak usah dipertikai nama-nama seperti Sharifah Amani, Zahiril Adzim, Amirul Affendi serta Eidil Putra kerana mereka adalah pemain lakon yang hebat. Sharifah Sakinah juga harus dikalungkan pujian kerana lakonannya yang bersahaja. - MalaysiaGazette
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER