Jangkitan virus hepatitis yang tersebar dengan meluas menjejaskan
kira-kira 400 juta penduduk di seluruh dunia dan jumlah ini 10 kali
ganda daripada bilangan mereka yang dijangkiti HIV.
Dianggarkan 1.4 juta orang maut setiap tahun akibat hepatitis di
seluruh dunia dan cuma kira-kira lima peratus pesakit yang mendapat
hepatitis kronik tahu penyakit yang menjangkiti mereka, manakala satu
peratus saja mempunyai akses untuk rawatan.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hepatitis
adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat sepenuhnya berikutan
terdapat vaksin dan rawatan untuk hepatitis B, manakala lebih 90 peratus
pesakit hepatitis C boleh dipulihkan menerusi rawatan.
Wawasan untuk menyingkirkan hepatitis sebagai ancaman kesihatan awam
mampu dicapai pada 2030 sekiranya penduduk dan negara yang terjejas
dengan penyakit ini dilengkapi kemudahan kesihatan lebih baik dan
mempunyai pengetahuan mengenai hepatitis serta bertindak segera.
Sesiapa saja boleh mendapat risiko dijangkiti hepatitis jika dilihat
pada saiz wabak di seluruh dunia. Jangkitan hepatitis B dan C
dipindahkan menerusi darah yang tercemar sama seperti jarum suntikan dan
picagari yang tercemar.
Malah, virus penyakit ini juga boleh dipindahkan menerusi hubungan
seks tidak selamat dan daripada ibu yang dijangkiti kepada anak dalam
kandungannya.
Orang ramai boleh mencegah diri mereka daripada mendapat jangkitan
atau memindahkan jangkitan kepada orang lain dengan maklumat dan
pengetahuan yang cukup mengenai risiko hepatitis. Oleh itu, sesiapa yang
terbabit boleh menjalani ujian dan seterusnya rawatan.
Meningkatkan akses kepada ujian hepatitis adalah kunci kepada skala
rawatan dan penjagaan hepatitis. Dianggarkan 95 peratus pesakit
hepatitis tidak menyedari jangkitan terbabit berikutan kurang kesedaran
dan tidak tahu mengenai perkhidmatan ujian penyakit terbabit di negara
mereka.
Oleh itu, WHO akan mengeluarkan panduan ujian hepatitis yang pertama
tidak lama lagi dan panduan itu akan membekalkan bimbingan siapa yang
patut menjalani ujian dan akan mengesyorkan strategi ujian bagi membantu
usaha negara terbabit untuk meningkatkan ujian hepatitis, rawatan dan
penjagaan.
Kebanyakan individu yang memerlukan rawatan tidak mendapat kemudahan
sewajarnya berkemungkinan besar disebabkan kurang kesedaran dan tidak
tahu mengenai perkhidmatan ujian penyakit terbabit.
Sempena Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai lalu, WHO menggesa
negara-negara terbabit supaya mengambil tindakan segera untuk
mempertingkatkan pengetahuan mengenai penyakit ini, di samping menambah
akses untuk perkhidmatan ujian dan rawatan.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Margaret Chan, hari ini hanya seorang
daripada 20 pesakit yang dijangkiti hepatitis menyedari mereka mendapat
penyakit terbabit, namun hanya seorang daripada 100 pesakit yang
menerima rawatam.
“Dunia seakan mengabaikan hepatitis dan bahaya penyakit ini. Sekarang
adalah masanya untuk menggerakkan tindakan terhadap hepatitis secara
global sama seperti kita menentang penyakit berjangkit lain seperti
HIV/AIDS dan tuberkulosis.
“Kira-kira 400 juta penduduk dunia dijangkiti hepatitis B dan C iaitu
lebih 10 kali ganda daripada bilangan mereka yang hidup dengan HIV.
Dianggarkan 1.45 juta pesakit hepatitis meninggal dunia akibat penyakit
ini pada 2013 dan jumlah kematian ini meningkat kurang sejuta pada
1990,” katanya.
Rawat hepatitis hingga pulih
Written By zabidi on Tuesday 23 August 2016 | 1:19 pm
Labels:
Kesihatan
Post a Comment