Kedudukan yang strategik bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan
menjadikan A’Famosa Resort pusat percutian keluarga yang sangat mudah
untuk dikunjungi.
Pusat percutian seluas 520 hektar itu bukan sekadar resort biasa
kerana turut menyediakan pelbagai tarikan seperti taman tema,
penginapan, padang golf bertaraf antarabangsa dan pusat beli-belah
Freeport A’Famosa Outlet (FAO).
A’Famosa menyediakan tiga penginapan iaitu hotel, kondo dan vila
menawarkan bilik serta suite dilengkapi balkoni peribadi dengan
pemandangan padang golf serta pelbagai kemudahan lain seperti
televisyen, peti sejuk mini serta kemudahan membuat teh dan kopi.
Selain itu, vila empat bilik standard dan superior pasti memberikan
keselesaan kepada mereka yang bercuti bersama keluarga kerana dihiasi
dengan reka bentuk dalaman unik dan ruang tamu luas.
Menambahkan lagi keseronokan, mereka yang datang bersama ahli
keluarga boleh menghabiskan masa di Water Theme Park yang menawarkan
lebih 14 slaid air yang pastinya memberi kepuasan serta pengalaman
berbeza.
Pengunjung boleh mencuba permainan menyerupai kon aiskrim gergasi
atau ‘Big Ice Cream’ membuatkan mereka seolah-olah ditelan ke dalam kon
sebelum meluncur keluar melalui terowong.
Selain itu, permainan ‘Wahaha’ juga memberikan pengalaman
menyeronokkan kerana pengunjung berpeluang merasai debaran seolah-olah
ditelan ombak tsunami dan memberi kejutan adrenalin apabila pintu
empangan dibuka setiap dua minit menyebabkan pengunjung melambung serta
berpusar mengikut alunan ombak.
Permainan terbaharu, ‘Hula-hula’ yang direka khusus bagi yang
mahukan cabaran dijamin memberikan kepuasan berganda kepada mereka
mencubanya, manakala bagi kanak-kanak permainan sesuai untuk mereka
ialah Lazy River, Wave Pool, Family Raft, Arabian Village dan Kids
Adventure Pool.
Peminat haiwan boleh singgah ke Safari Wonderland untuk melihat
sendiri gelagat haiwan seperti burung, binturong, orang utan, harimau,
unta, zirafah dan pelbagai lagi haiwan.
Pengembaraan di Safari Wonderland bermula dengan Elephant Encounter
Show, Multi Animal Fun Play, Colour Of The Birds dan Wild Wild West
Show yang sesuai bagi kanak-kanak kerana mereka dapat mempelajari banyak
perkara sambil berseronok.
Bagi yang gemarkan cabaran, A’Famosa menyediakan dua aktiviti
menarik iaitu `Tiger Encounter’ di mana anda boleh memberi makan kepada
harimau secara dekat menerusi konsep safari terbuka dan ‘Crocodile
Alive’ iaitu menyuapkan makanan kepada buaya menggunakan pancing di
kolam Safari Wonderland.
‘Animal Ride’ pula menjadi aktiviti pilihan utama pengunjung
terutama kanak-kanak apabila berkesempatan menunggang gajah, unta dan
pony (kuda padi) yang jarang ditawarkan di pusat percutian lain.
Pengunjung juga berpeluang menyentuh pelbagai jenis monyet jinak di
‘Monkey Island’ dan pelbagai haiwan lain di Walk Thru Area termasuk
badak air yang menjadi tarikan terkini ke resort itu.
Percutian di A’Famosa tidak lengkap jika pengunjung tidak
meluangkan masa di taman tema Old West yang dikenali sebagai Cowboy Town
sebelum ini. Kemeriahan pesta di Old West lebih menarik dengan ‘4D
Cinema’ taman tema bagai pesta ria untuk kanak-kanak dan nikmati
perarakan `Carnival Musical Parade’, `Red Indian Show’ dan pertunjukan
bunga api mempesonakan yang menghiasi langit bagai mimpi indah.
Bagi yang mahu membeli-belah dan bersantai, FAO paling sesuai
kerana menyediakan pelbagai kedai menawarkan jenama seperti Puma,
Skechers, Hush Puppies, Brooks, Levi’s dan Nike.
Bukan sekadar pakaian biasa, FAO juga menyediakan kedai menujal
aneka makanan seperti KFC, Marrybrown dan Papparich, AuntieAnne’s.
Pengunjung juga boleh singgah ke gerai menjual makanan seperti Fahmy
Satay, Ali Mamu’s Kitchen, Claypot (asam pedas & cili pedas) dan
Topsizzler.
Pada tahun ini, A’Famosa akan menganjurkan pelbagai aktiviti
seperti ‘Superkid 2016’(September), Holloween Day dan Member Day
(Oktober) dan hari kanak-kanak (November).
Selain itu, Promosi Merdeka juga diadakan sepanjang Ogos dan
September melalui tempahan menerusi laman web A’Famosa Resort. Dengan
harga dari RM168, pengunjung boleh mendapat penginapan selama dua hari
satu malam, sarapan pagi dan tiket masuk ke Old West.
Post a Comment