Selepas solat Isya' tadi di Masjidil Haram, ingatan kepada Tuan Guru
Dato' Dr. Haron Din begitu kuat bermain dalam ufuk minda kami.
Sementelahan pula pada sebelah petang, kami dikejutkan dengan berita
beliau dalam rawatan jantungnya. Hati kami sedikit hiba dengan berita
itu.
Pada akhir Ogos yang lalu, kami sempat berbual panjang
dengan beliau dalam banyak topik seumpama hukum hakam agama, isu politik
antarabangsa, coup détat di Turki, termasuklah isu RUU355 dalam satu
pertemuan ziarah di rumah beliau. Alhamdulillah, pada masa itu sempat
juga kami bertanyakan kesihatannya. Ketika itu, beliau nampak sangat
bersemangat bila berbicara walaupun zahirnya nampak agak keletihan.
Sedar tak sedar, hampir 3 jam diskusi kami.
Sebelum mengetahui
berita pemergiannya, kami sempat mengambil kesempatan dengan keberadaan
kami di Kota Suci Mekah dan pada malam Jumaat 14 Zulhijjah dengan penuh
kesayuan berdoa kepada-Nya supaya diberi kesembuhan kepada beliau. Pun
begitu, Allah lebih menyayangi hamba-Nya.
Kami lafazkan
innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Sesungguhnya kita semua adalah milik
Allah dan kita semua pasti akan kembali kepada-Nya. Dengan perasaan
redha dengan taqdir-Nya dan sabar kami ucapkan kalimah yang telah
diajarkan kepada kita.
Kami tidak katakan berkenaan almarhum
kecuali hal yang baik sahaja. Sesungguhnya almarhum merupakan tokoh yang
mempunyai pendirian yang jelas dalam ilmu, tegas, cintakan Islam serta
mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman yg tinggi ketika mana ramai orang
kabur dan keliru dalam tindakan. Cintakan perpaduan dan mempunyai impian
untuk melihat Islam dijunjung tinggi di tanah air.
Semoga rohnya
dicucuri rahmat dan keampuman serta ditempatkam bersama orang-orang
yang beriman. Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri -
Post a Comment