Tidak berputus asa menghasilkan karya terbaik, Pekin Ibrahim berharap
filem kedua arahannya, KL Wangan mampu berdiri setanding filem
antarabangsa.
Malah dia yang turut beraksi dalam filem itu mahu taruhan terbarunya
berjaya menembusi pasaran luar negara dan meraih penghargaan seperti
karya terdahulu, Mat Moto.
Bertemu di lokasi penggambaran KL Wangan baru-baru ini, Pekin
berkata, dia bersyukur filem itu mendapat sokongan dan tajaan penuh
Volkswagen Malaysia.
Baginya satu penghargaan yang tidak ternilai apabila syarikat
pengeluaran kereta antarabangsa memandang karya seni anak tempatan.
Malah bajet filem yang kini melebihi RM5 juta tidak menjadi masalah buat penaja untuk terus menyalurkan dana.
“Syukur, mereka percayakan saya. Justeru, saya kena bekerja lebih keras bagi memastikan penggambaran filem ini berjalan lancar.
“Insya-Allah penggambaran akan berakhir sekitar dua bulan. Soal kos
saya tidak mahu lokek dan apa sahaja diperlukan kru produksi saya cuba
penuhi kerana mahu setiap babak yang dihasilkan nampak lebih realistik.
“Jika di Hollywood ada Fast and Furious, saya di Malaysia pula ada KL
Wangan. Wangan saya ambil sempena nama perlumbaan kereta yang sudah
lama menjadi kegilaan masyarakat Jepun.
“Banyak kajian saya lakukan untuk menghasilkan filem ini. Malah saya
sedang menyenarai pendek pelakon undangan dari Hollywood untuk tampil
sebagai cameo.
“Andai perlu ke Los Angeles untuk merakamkan babak membabitkan
pelakon itu, tidak mustahil saya dan kru akan ke sana,” katanya yang
berpuas hati dengan pembikinan filem itu.
Meskipun berdepan banyak dugaan, Pekin gembira dikelilingi tenaga
kerja profesional. Malah masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan
sehingga memudahkan segala urusan.
“Saya tahu bukan mudah menguruskan ramai kru. Filem ini menggunakan
kepakaran 40 kru, 10 pelakon lagak ngeri dan 20 pelakon aksi gaduh.
“Satu cabaran besar apabila saya perlu memastikan ia berjalan lancar.
Namun saya bersyukur setiap mereka tahu kerja masing-masing. Malah kami
akan sama-sama berbincang bagi memastikan setiap babak dapat dihasilkan
sebaik mungkin.
“Menariknya, menerusi filem ini saya menggunakan kamera jenis
Phantom. Saya bawa jurukamera dari Singapura untuk menguruskan kamera
ini. Setiap hari tiga kamera kami gunakan bagi mendapatkan sudut yang
menarik dan realistik.
“Babak berlumba di jalan utama yang banyak kereta juga tidak mudah
untuk kami. Saya perlu memastikan tiada aksi kemalangan yang boleh
membahayakan pengguna jalan raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar
meskipun babak berkejar di sekitar jalan di Pavilion dan KLCC hampir
berlaku kemalangan,” katanya.
Sambung Pekin, dia tidak salah memilih barisan pelakon kerana semuanya profesional.
Malah, Faizal Hussein sendiri banyak melakukan aksi lagak ngeri tanpa menggunakan khidmat orang lain.
“Saya kagum dengan semangat setiap pelakon dalam menjayakan filem ini. Masing-masing komited dan bersungguh.
“Abang Faizal misalnya, saya tidak menyangka dia mahu lakukan sendiri
babak aksi. Pada mulanya bimbang juga tetapi saya akur apabila dia
cakap mahu cabar diri,” katanya.
Pekin berkata, boleh dikatakan semua jenis kereta ada dalam filem
ini. Justeru, dia berharap semua pelumba atau penggemar kereta akan
berpuas hati menonton filem itu nanti.
Sinopsis
Mengisahkan Hong dan Yudi yang ada sejarah yang panjang dalam
perlumbaan drag. Mereka bermula dari bawah hinggalah mendapat
kepercayaan memandu kereta berkuasa besar.
Selepas sekian lama tidak menyertai sebarang perlumbaan berikutan
sibuk dengan perniagaan masing-masing, mereka bertemu di jalan raya.
Ketika berlumba, Hong kemalangan.
Hong cuba mencari pemilik kereta yang menyebabkan dia kemalangan tanpa menyedari kereta itu sebenarnya milik Yudi.
Bermulalah pelbagai agenda dan pergelutan yang akhirnya menemukan
mereka dengan Ejay. Siapakah Ejay? Apakah kaitan Ejay dengan Hong dan
Yudi?
Aksi mendebarkan di jalan raya
Written By zabidi on Thursday 6 October 2016 | 12:33 pm
Labels:
Hiburan
Post a Comment