Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mahukan cahaya
mata sebagai penyeri hidup. Namun, ada juga sesetengah wanita yang belum
bersedia untuk bergelar ibu disebabkan komitmen lain.
Misalnya yang belum menamatkan pengajian selain berdepan masalah
kewangan. Ia sering dijadikan ‘isu besar’ yang akhirnya mengambil jalan
pintas dengan menggugurkan bayi. Kehamilan yang tidak dirancang dan
tidak dikehendaki berlaku di seluruh dunia.
Peningkatan kehamilan luar nikah tidak saja membimbangkan ibu bapa
dan pemimpin masyarakat, juga menjadi perhatian pakar perubatan kerana
banyak kehamilan begini berakhir dengan pengguguran tidak selamat atau
pembuangan bayi.
Pada 2012, dianggarkan 40 peratus daripada 213 juta kandungan di
seluruh dunia adalah tidak dirancang berdasarkan kajian terkini manakala
85 juta berakhir dengan pengguguran.
Prof dan Pengerusi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Western
University Of Health Science Los Angeles (LA) Dr Anita Nelson berkata,
lambakan kaedah alat perancang kehamilan di pasaran berserta mekanisma
serta aturan pengambilan berbeza adalah penting kepada golongan wanita
untuk mengambil tahu mengenai risiko serta faedah setiap produk.
“Golongan wanita juga perlu tahu bahawa keberkesanan kaedah ini
adalah sangat bergantung kepada setiap gaya hidup individu dan latar
belakang sama ada perancang digunakan dengan betul serta konsisten.
“Antara kaedah pencegah hamil moden termasuk pemandulan, alat
intrauterin (IUD), kondom, pil perancang, kaedah kalendar atau
pengetahuan hal dan waktu kesuburan wanita.
“Wanita juga dilihat semakin beralih ke kaedah pencegahan kehamilan
seperti mengambil pil kecemasan yang biasanya diambil selepas hubungan
seks tanpa perlindungan,” katanya ketika ditemui pada bengkel World
Contraception Day 2016 di ibu negara baru-baru ini.
Perancangan keluarga secara langsung mengurangkan kadar kematian ibu
kerana peluang kehamilan terhad dan komplikasi yang berkaitan dengannya
seperti mengurangkan risiko mengalami keguguran yang tidak selamat
(mengurangkan tekanan), melewatkan kehamilan pertama dalam kalangan
wanita muda yang mungkin mengalami perkembangan pinggul yang pramatang
selain kehamilan semula dalam tempoh singkat.
Laporan International Medical School (IMS) yang dikeluarkan baru-baru
menunjukkan peningkatan 38 peratus dalam penggunaan pil kecemasan di
Malaysia pada April sehingga Jun 2016 berbanding tahun lalu.
Namun, ramai yang tidak sedar kaedah itu tidak sesuai untuk kegunaan
berulang disebabkan kesan sampingan dan boleh mengganggu kitaran haid
semula jadi.
Walaupun penggunaan alat pencegahan kehamilan meningkat, keperluan
yang tidak dipenuhi untuk kontraseptif kekal tinggi. Laporan Institut
Guttmacher menekankan bahawa 22 peratus daripada semua wanita dalam usia
reproduktif di Asia adalah sama iaitu tidak menggunakan kaedah atau
menggunakan kaedah tradisional yang kurang berkesan. Kira-kira 77
peratus daripada semua kehamilan adalah tidak dirancang di rantau ini.
Menurut Anita, satu daripada sebab utama mengapa wanita tidak
menggunakan alat pencegah kehamilan adalah disebabkan kebimbangan
mengenai kesan sampingan atau risiko kesihatan.
“Ini adalah hasil daripada mitos dan salah faham seks dan kehamilan.
Ramai wanita takut bahawa pil hormon kekal boleh menjejaskan kesuburan
semula jadi mereka tetapi ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Sementara itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Tang Boon Nee berkata, adalah terlalu biasa dengan salah faham sebegitu.
“Saya terkejut kerana kerap berdepan dengan wanita yang memberi
maklumat salah apabila mereka datang untuk merancang kelahiran. Penting
untuk wanita berbincang dengan doktor mengenai kaedah merancang
keluarga.
“Mereka perlu membuat keputusan yang bijak terhadap pilihan terbaik
dengan gaya hidup dan tidak boleh hanya bergantung kepada merancang
sendiri,” katanya.
Tahu risiko, faedah alat cegah hamil
Written By zabidi on Tuesday, 4 October 2016 | 8:45 am
Related Posts :
Labels:
Kesihatan
Post a Comment