MAKANAN berfungsi
("functional foods") diiktiraf sebagai makanan yang mengandungi
fitonutrien dan menawarkan pelbagai faedah kesihatan melebihi pemakanan
asas. Ia juga dikenali sebagai "superfoods".
Di Malaysia, "superfoods" popular seperti buah-buahan organik, salmon
dan blueberries biasanya diimport dan dijual pada harga yang tinggi. Ini
menjadi penghalang kepada mereka yang berhasrat mengamalkan gaya hidup
pemakanan sihat kerana kos perbelanjaan yang tinggi.
Apa yang ramai tidak sedari, Malaysia yang kaya dengan khazanah
kesihatan berharga, memiliki banyak "superfoods" yang murah lagi baik.
Malah, kebanyakannya boleh didapati di halaman kita sendiri. Tidak
menghairankan jika dapur kita sudahpun mempunyai "superfoods" antaranya
seperti yang disenaraikan di bawah!
#1 Halia
Halia, sejenis akar yang digunakan secara meluas dalam masakan tempatan.
Selain untuk menambah rasa masakan, halia mempunyai banyak ciri-ciri
farmakologikal. Lama sebelum halia dikategorikan sebagai "superfood", ia
telah digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu bagi manfaat
kesihatannya.
Kajian telah membuktikan keberkesanan akar itu sebagai
antioksidan dan agen antiradang. Ia juga
terbukti berkesan melegakan
rasa loya dan melindungi tubuh daripada penyakit tertentu.
#2 Kunyit
Kunyit yang juga dikenali sebagai "Safron India", adalah satu lagi
rempah yang cukup terkenal sebelum zaman perubatan moden. Penyelidikan
makmal ke atas kunyit sejak beberapa dekad mendapati ia mengandungi
banyak bahan dan elemen yang memberi kesan-kesan positif. Selain
reputasinya sebagai agen antioksida yang kuat, ia juga mampu menghalang
pertumbuhan patogen tertentu dan bakteria tidak baik dalam badan.
#3 Manggis
Buah eksotik yang berwarna ungu ini, mempunyai reputasi sebagai buah
mujarab kerana ia mempunyai kandungan antioksidan dan nutrien yang
sangat tinggi. Berdasarkan hasil beberapa kaji selidik, pengambilan
manggis mampu memantapkan lagi sistem imun dan sangat bermanfaat untuk
kesihatan tubuh kita secara keseluruhannya.
Ekoran populariti buah ajaib ini, terdapat banyak pati jus manggis dalam
botol yang dijual pada harga yang amat tinggi di pasaran hari ini.
Bagaimanapun, berhati-hatilah dengan dakwaan keberkesanan produk ini
kerana kebanyakannya tidak disokong secara saintifik.
#4 Betik
Siapakah yang tidak suka menikmati sepotong betik sejuk pada hari yang
panas? Betik atau dikenali sebagai "pawpaw" di beberapa negara lain,
mengandungi beberapa jenis karotenoid yang banyak memberi manfaat kepada
kesihatan. Dua daripadanya adalah zeaxanthin dan beta-karotena yang
berperanan melindungi kesihatan mata.
Likopena adalah antioksidan karotenoid yang berpotensi menjadi pelindung
bagi penyakit jantung. Tambahan pula, kandungan vitamin C dalam betik
sangat tinggi. Satu buah betik bersaiz sederhana mengandungi lebih
daripada 2 kali ganda jumlah vitamin C yang diperlukan dalam sehari!
Betik juga padat dengan gentian serat dan kandungan air yang tinggi yang
membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman.
#5 Bok Choy
Bok choy yang juga dikenali sebagai "kubis cina" adalah hero dalam
kategori sayur cruciferous. Satu cawan sayur yang berbentuk bunga ini,
membekalkan di antara 50-60% keperluan harian vitamin A dan C. Ia juga
kaya dengan pelbagai nutrien yang lain seperti fosforus, zink, sodium,
mangan, kalium, kalsium dan vitamin B dan K.
#6 Tempe
Tempe digemari ramai pengamal diet vegetarian, tetapi bagi sesetengah
orang pula, ia adalah cita rasa yang diperoleh. Tempe selalunya dimakan
sebagai pengganti kepada daging kerana ia mempunyai tekstur yang hampir
sama. Satu hidangan biasa 85 gram mengandungi lebih daripada separuh
protein dalam satu stik! Kacang soya yang difermentasi ini padat dengan
serat, kalsium, besi, lemak asid omega 3 dan vitamin B.
#7 Tofu
Tofu amat popular dalam masakan Malaysia, terutamanya dalam masakan
Cina. Kaya dengan kedua-dua protein dan isoflavon, pemakanan tofu sering
dihubungkaitkan dengan pengurangan risiko penyakit berkaitan umur dan
gaya hidup seperti penyakit kardiovaskular dan osteoporosis. Tambahan
pula, tofu sangat rendah dalam kalori dan tidak mengandungi kolesterol!
#8 Kimchi
Berikutan populariti makanan tradisional Korea ini, banyak penyelidikan
telah dijalankan ke atas kimchi dan manfaatnya kepada kesihatan kita.
Kimchi adalah makanan probiotik sayur yang menawarkan manfaat kesihatan
yang hampir sama dengan yogurt, selain kelebihannya sebagai makanan
berfungsi. Kajian menunjukkan, pemakanan kimchi mengurangkan kolesterol,
meningkatkan kesihatan otak dan kulit, di samping mengukuhkan sistem
imun.
#9 Jambu Batu
Jambu batu mungkin kurang popular sedikit berbanding "superfoods" yang
lain, tetapi ia padat dengan kelebihan kesihatan. Jambu batu mengandungi
lebih banyak vitamin C berbanding buah oren. Ini membantu memantapkan
sistem imun dan mencegah penyakit. Jambu batu juga padat dengan serat
dan bertindak sebagai pelawas semula jadi.
#10 Minuman Susu Kultur
Amalan meminum susu kultur setiap hari membantu menghalang pertumbuhan
bakteria berbahaya dalam usus besar. Minuman yang mudah diperolehi ini
mengandungi mikroorganisma hidup dan aktif yang diperlukan untuk sistem
penghadaman dan imun yang lebih kuat. Ia turut mengurangkan risiko
gangguan usus, seperti sembelit, cirit-birit, ulser, kembung perut,
sendawa, nafas berbau, pedih hulu hati dan loya.
"Superfoods" atau "functional foods" ini bukanlah kuasa ajaib yang mampu
mencegah atau menyembuh semua penyakit. Sebaliknya, ia patut digunakan
sebagai pelengkap kepada diet harian yang seimbang agar bermanfaat
kepada pemakanan dan kesihatan.
Kurangkan makanan tidak sihat (yang tinggi kandungan garam, gula dan
lemak/minyak) dan amalkan aktiviti fizikal dalam rutin harian anda.
Pastikan juga anda memperuntukkan masa untuk memasak makanan berkhasiat
di rumah menggunakan "superfoods".
Amalkan semua ini dan sudah pasti anda sekeluarga akan menikmati gaya
hidup yang lebih sihat. Perlu diingatkan, kesihatan baik bukanlah hanya
satu destinasi, ia satu pengembaraan seumur hidup yang penuh dengan
kelebihan fizikal dan psikologi. Ambillah pen dan kertas dan mulalah
merancang senarai beli-belah yang lebih sihat!
Sepuluh 'superfood' di bawah 10 ringgit
Written By zabidi on Sunday, 27 November 2016 | 11:14 am
Related Posts :
Labels:
Kesihatan
Post a Comment