Headlines News :
Home » » Jadikanlah 2017 untuk mengerti indahnya redha Allah

Jadikanlah 2017 untuk mengerti indahnya redha Allah

Written By zabidi on Saturday, 7 January 2017 | 9:15 am

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 

SEKALI lagi menjelang tahun baru 2017, saya berada di Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia kerana memenuhi pelbagai program bersama masyarakat. Berpeluanglah saya merasai riuh rendah sambutan tahun baru dengan dentuman bunga api di angkasa raya.

Selesai program di Bandar Baru Utama Batang Kali malam itu, saya dan sahabat amal berkereta untuk pulang ke ibu kota. “Nanti kita bermotor sahaja ya di Kuala Lumpur?” tanya beliau kepada saya bimbangkan kesesakan di tengah bandar raya.
Sebagaimana dijangka, kesesakan di mana-mana sahaja biarpun menjelang tengah malam di tengah-tengah ibu kota. “Ramai orang, sambut tahun baru!” laung beliau ketika di atas motor kepada saya sebaik kami berada di dalam kesesakan.

Itu sekadar gambaran ringkas bagaimana rakyat jelata dilalikan dengan suasana sambutan tahun baru. Terlintas di fikiran, apakah ini suatu ubat pelali buat sementara waktu bagi menyembuhkan buat seketika penyakit resah rakyat oleh pemerintah?

Kelekaan di sana sini menyambut tahun baru menjadikan rakyat lupa sejenak pada cabaran yang telah dimaklumi pada 2017. Mereka lupa sebentar harga-harga minyak mentah di Malaysia naik antara 15 sen dan 20 sen. Mereka lupa seketika kemungkinan kesan rantaian dari kenaikan harga minyak yang telah biasa ditempuh selama ini setiap kali harga minyak berubah.

Benarlah firman Allah S.W.T dalam Surah “Sad” ayat 24 yang menerangkan bagaimana kezaliman yang berleluasa antara manusia akan menjadikan mereka saling menindas antara satu sama yang lain. Sang penguasa yang bertakhta hanya fikir bagaimana kuasa di genggaman tidak terlucut dari tangan. Pelbagai kecaknaan palsu diberikan kepada rakyat agar mereka bahagia dengan mereka biarpun sekadar satu malam sewaktu menyambut tahun baru.

Para peniaga juga tahu datangnya tahun baru bermakna rakyat wajib berbelanja untuk persiapan pelbagai barang baru. Anak-anak yang melangkah ke alam persekolahan misalnya wajib disiapkan peralatan serba baru. Tahun baru samalah musim perayaan. Ia peluang untuk meraih keuntungan berganda saban waktu.

Demikianlah Allah SWT memperingatkan penindasan ini akan terus berlaku hinggalah bangkitnya rakyat dengan semangat keimanan dan terus melakukan amalan soleh. Apakah rakyat Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam telah sedia kembali kepada keimanan dan melazimi amalan soleh dalam kehidupan?

Di sekeliling kita diperlihatkan pertelingkahan sesame sendiri bagai tiada penghujung. Masjid-masjid terus sepi dari diimarahkan. Solat berjemaah menjadi luar biasa bila pimpinan atasan berusaha mengamalkan untuk diikuti sekalian rakyat.

Apakah suasana tahun baru ini sebenarnya memberi satu tanda sebagai muhasabah betapa kita sebenarnya masih malu-malu untuk kembali kepada Islam? Memadailah pelbagai kesempitan dan kesesakan hidup yang kita lalui selama ini.

Allah SWT dan RasulNya telah sejak dari awal merangsang kita untuk kembali kepada keimanan dan ketaqwaan. Janji Allah betapa kita akan bahagia dengan iman dan taqwa di dunia sudah cukup untuk kita bersungguh-sungguh tanpa menantikan janji-janji palsu manusia yang hanya dilafazkan untuk dimungkiri.

Jadikanlah 2017 sebagai kelangsungan usaha untuk kita lebih mengerti indahnya redha Allah dan bukan sekadar difahami sebagai umpanan yang tiada nilai.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER