Oleh Timmy Say
Ringgit
menutup 2016 pada kadar RM4.49 kepada AS$1.Felda pula menutup tirai
2016 dengan keputusan penuh kontroversi membeli 37% kepentingan saham
Eagle High Plantation pada harga AS$505.4 juta menggunakan FIC
Properties Sdn Bhd.
Saham Felda Global Venture pula
terus menjunam ke RM1.55, berbanding harga RM4.55 sesaham ketika ia
disenaraikan di Bursa Malaysia.
Bajet 2017 yang menyaksikan pelbagai peruntukan dipotong tidak menampakkan ia sebagai satu bajet pilihan raya.
Kerajaan
pula tidak sengaja memberi isyarat 2017 merupakan tahun penuh cabaran
dengan “hadiah” kenaikan 20 sen untuk harga diesel dan RON95.
Kebanyakan
barangan dan makanan mentah negara diimport. Kejatuhan nilai ringgit
menyebabkan inflasi terus kepada harga makanan dan kos sara hidup.
Lihatlah betapa ramainya ibu bapa yang merana minggu terakhir sebelum
sekolah bermula untuk menyediakan persediaan sekolah anak.
Nampaknya 2017 bukanlah tahun yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Terdapat 3 penentu bagi BN menentukan tarikh PRU14. Pertama ialah nilai ringgit.
Jika
nilai ringgit tidak pulih ke tahap menghampiri RM4 kepada AS$1, malah
terus jatuh menghampiri RM4.80 kepada AS$1, pilihan raya akan terus
ditunda sehingga Parlimen terbubar secara tersendirinya pada 2018.
Kedua,
ialah harga minyak sedunia. Sekiranya harga minyak terus naik, dividen
Petronas kepada kerajaan akan pulih, maka ketika itu kerajaan
berkemampuan untuk membuat bajet pilihan raya bagi 2018 tanpa perlu
menaikkan kadar GST.
Dengan adanya dana yang mencukupi, maka
penentu ketiga boleh dicipta iaitu “feel-good factor” atau mood positif
di kalangan rakyat terhadap kerajaan.
Kejayaan melancarkan MRT
bukanlah satu daripada “feel-good factor”. Kesan positif MRT pada
rakyat akan terbantut selagi rakyat Malaysia tidak dapat mengikis
kebergantungan dan tabiat mereka menggunakan kenderaan sendiri.
Perbalahan
antara parti pembangkang juga sukar dijadikan penentu untuk pilihan
raya diadakan. Ini kerana parti pembangkang berkemungkinan besar akan
berkompromi pada saat-saat akhir untuk bersama jika mereka terhidu mood
rakyat terhadap kerajaan adalah negatif.
BN pernah melalui
kempen “Asal bukan BN” yang menyaksikan rakyat sudi mengundi sesiapa
saja asalkan ia bukan calon BN-Umno sehinggakan calon pembangkang yang
tidak dikenali juga menang di tempat dirasakan selamat.
Tidak mustahil angin akan bertiup kembali apabila rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang sukar dihadapi.
Nilai
statistik dan peratusan ekonomi positif yang dikeluarkan pakar ekonomi
kerajaan tidak akan dapat meyakinkan rakyat sekiranya rakyat tidak
dapat merasai perkembangan ekonomi dalam kehidupan mereka.
Ekonomi akan menjadi faktor penentu terbesar kemenangan di PRU14.
Kerana
itulah, rakyat perlu berhati-hati agar tidak terseret dalam perbalahan
antara kaum, agama dan sentimen perbezaan budaya yang sengaja dicipta
untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang memberi
kesan kepada negara dan kehidupan mereka.
2017 rasanya bukan tahun PRU
Written By zabidi on Saturday, 7 January 2017 | 9:34 am
Labels:
Politik
Post a Comment