DALAM kehidupan manusia
diberi dua pilihan oleh Allah SWT, sama ada ke syurga atau neraka.
Al-Quran menggambarkan ahli syurga, orang beriman dan beramal soleh.
Ingat pesanan Rasulullah SAW, iman tidak diperoleh dengan
berangan-angan, tetapi iman adalah apa yang diikrarkan di dalam hati dan
dizahirkan dengan amal dan perbuatan, serta yakin bahawa pada suatu
hari nanti manusia akan kembali menghadap Allah apabila dimatikan dan
memasuki alam kubur.
Manusia juga perlu yakin akan melalui saat disoal di dalam kubur dan
dibangkitkan semula di Padang Mahsyar dan kemudian melalui titian sirat,
serta tetap yakin akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Tidak dapat dinafikan ciri utama penghuni syurga adalah dalam kalangan
manusia yang beriman.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan berilah khabar
gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka
beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap
kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga
itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"
dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan
hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu
pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang
mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya." (Surah al-Baqarah, ayat
5)
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm, berkata
manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan
berhijrah di jalan Allah SWT adalah antara ciri bagi penghuni syurga.
Semakin matang dan meningkatnya usia menjadikan mereka semakin soleh
sehingga ke penghujung hayatnya digelar wali Allah oleh malaikat.
Allah SWT menyebut: "(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad pada jalan Allah SWT dengan harta benda dan jiwa mereka
adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang
yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid
sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh
Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta
syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.
Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah,
menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar." (Surah al-Taubah, ayat 20
hingga 22).
Hijrah ke arah lebih baik
Setiap manusia yang ingin berhijrah kepada yang lebih baik dalam
hidupnya perlu ada kemahuan melakukan perubahan. Ciri ketiga bagi
penghuni syurga ialah orang yang sentiasa bertaubat dan menjauhkan
dirinya daripada kelalaian yang melampau.
Rasulullah SAW berpesan, sekiranya bertemu dengan orang yang kaya, lalu
kamu menghormatinya kerana kekayaannya, nescaya dua pertiga daripada
agamanya sudah dileburkan di sisi Allah. Dalam kehidupan ini tidak akan
ada seorang pun manusia yang layak memiliki kekayaan selain Allah SWT.
Selain itu orang yang beriman kepada Allah SWT dan ayat-Nya serta
sentiasa hidup dengan berserah kepada Allah SWT, adalah di antara ciri
manusia yang layak menghuni syurga.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf, ayat 68 hingga
70: "(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh
Allah Taala dengan firman-Nya): "Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu
tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik);
dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang yang
beriman akan ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang Islam yang
taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada
mereka): Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang
beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan."
Manusia yang sentiasa hidup di dalam keikhlasan walaupun dihalangi
kesukaran, melayakkan mereka menjadi penghuni syurga kelak. Sukarnya
melahirkan keikhlasan sehinggakan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang
dinilaikan seumpama satu pertiga al-Quran. Mereka yang mampu menjadikan
dirinya ikhlas di dalam beribadah kepada Allah, menunjukkan petanda
bahawa dirinya seperti yang digambarkan di dalam al-Quran, orang yang
sedang bergerak ke arah syurga.
Dalam Surah as-Saaffaat, ayat 40 hingga 43 pula bermaksud: "Kecuali
hamba Allah SWT yang dibersihkan daripada sebarang syirik, Mereka itu
beroleh limpah kurnia yang termaklum, Iaitu buah-buahan (yang lazat),
serta mereka mendapat penghormatan."
Ciri penghuni syurga
Ciri penghuni syurga, termasuk dalam kalangan manusia yang istiqamah
beribadah kepada Allah. Mereka ini digambarkan di dalam Surah Fussilat,
ayat 30 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan
keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka
tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada
mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu
bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan
janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu
akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."
Orang yang bertakwa kepada Allah SWT, diusir dari negerinya dan diseksa
kerana berada di jalan Allah SWT juga antara ciri penghuni syurga. Di
dalam firman Allah, Surah ali-Imran, ayat 195: "Maka Tuhan mereka
perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan
sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki
atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari
setengahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan
agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya dan juga yang
disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku,
dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh
(gugur syahid dalam perang sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan
kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam
Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari
sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi
mereka yang beramal soleh)."
Hidupkan malam beribadah
Di antara ciri lain bagi manusia yang layak menghuni syurga ialah mereka
yang sanggup merenggangkan dirinya dengan tempat tidurnya semata-mata
untuk menghidupkan malamnya untuk sujud kepada Allah.
Begitu juga para wali Allah yang sentiasa dekat-Nya, orang yang beriman
pada Hari Akhirat serta orang yang sabar di dalam mengharapkan
pertemuannya dengan Allah SWT. Selain itu, manusia yang menginfaqkan
sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT dan hidupnya begitu taat kepada
Allah SWT dan Rasul bakal memasuki syurga.
Ciri ahli syurga ini terkandung dalam Surah Ar-Ra'd, ayat 22 hingga 24:
"Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka
semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang
Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka;
dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu
semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari
akhirat; -Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya
bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa
mereka dan isteri mereka serta anak mereka; sedang malaikat pula akan
masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan
berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran
kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu."
Home »
Bicara Islam
» Al-Quran gambarkan ciri-ciri ahli syurga
Al-Quran gambarkan ciri-ciri ahli syurga
Written By zabidi on Monday, 27 March 2017 | 11:09 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment