Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
SEJAK akhir-akhir ini, banyak laporan
menerusi dada-dada akhbar arus perdana serta laporan media elektronik,
yang menceritakan mengenai salah laku dalam kes-kes sama ada berprofil
tinggi atau sebaliknya, apatah lagi melibatkan individu dalam kalangan
beragama Islam amat memalukan kita sebagai Muslim yang menerima Islam
sebagai agama yang lengkap dalam segenap serba-serbi ajarannya.
Kes-kes jenayah berat seperti membunuh ibu sendiri, sumbang mahram,
meragut yang berakhir dengan kematian, suami simbah asid ke atas tubuh
isteri atau sebaliknya hanya berlaku pada perkara yang remeh-temeh,
individu yang melontarkan fitnah tanpa membuktikan dengan hujah yang
mampu menyokong tuduhannya, dan pelbagai perkara lagi yang boleh
disifatkan sebagai tindakan yang tidak melambangkan tamadun seseorang,
malah menerima dan memberi rasuah bagaikan sudah sebati dalam diri
segelintir umat Islam, macam tidak berlaku apaapa.
Jika kita
kembali ke zaman sebelum kelahiran baginda Rasulullah s.a.w., gambaran
yang jelas tergambar dalam benak dan pemikiran kita, bagaimana cara
hidup, pemikiran, salah laku masyarakat jahiliyyah di Makkah boleh
dianggap terburuk, malah tidak boleh dikatakan sebagai masyarakat yang
berdaya saing, maju atau bertamadun.
Ini kerana, banyak berlaku
jenayah atau kes yang berat seperti membunuh anak-anak perempuan,
pelacuran berlaku di mana-mana, menyembah berhala, meminum minuman
keras, berjudi, yang kaya dianggap sebagai kasta yang mulia walaupun
banyak buat dosa, inilah antara kemuncak gambaran masyarakat jahiliyyah
yang sinonim dengan tidak bertamadun, sepatutnya gejala seumpama itu di
atas sudah berakhir dengan kemusnahan berhala-berhala dan kemunculan
Islam sebagai agama Rahmatan Lil ‘Alamin.
Apabila Allah SWT
memilih antara hamba-Nya yang terbaik, iaitu dengan kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w. yang dirancang khusus, maka baginda datang dengan
membawa petunjuk dan agama yang benar seperti yang tercatat dalam ayat 9
surah as-Soff yang bermaksud: “Dia (Allah) telah mengutus Rasul-Nya
(Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar ia dapat
mengatasi agamaagama yang ada di muka bumi ini, walaupun tindakan
baginda itu tidak disukai oleh golongan musyrikin.”
Sesungguhnya
petunjuk dan agama yang benar yang menjadi bahan yang dibawa oleh
baginda untuk tatapan umat manusia, boleh dianggap sebagai bahan tamadun
kerana menyamaratakan kedudukan manusia tanpa dipisahkan dengan
kastakasta, menyelamatkan golongan wanita daripada menjadi mangsa
kerakusan nafsu buas lelaki jahat, menyelamatkan anak-anak perempuan,
mengharamkan arak dan judi, mengharamkan penyembahan berhala yang
sedikit pun tidak memberi mudarat atau manfaat kepada penyembahnya, dan
segala macam tamadun yang berasaskan kepada petunjuk baginda Rasulullah
s.a.w.
Bahan-bahan petunjuk dan agama yang benar yang dibawa oleh
baginda itulah sebenarnya telah melonjakkan masyarakat Madinah sebagai
‘Masyarakat Madani’ atau masyarakat yang bertamadun, tetapi mengapa umat
hari ini terutama yang tinggal di bandar-bandar tidak menggarap sirah
baginda itu sebagai bahan penting untuk mentamadunkan diri mereka
masing-masing.
Mereka duduk/tinggal di taman-taman perumahan
serba moden, tetapi masih tidak mengenali jiran terdekat kerana hanya
terperuk di dalam rumah apabila bercuti di hujung minggu, ataupun
merancang membawa anak-anak keluar berjalan-jalan, kemudian sesampainya
di rumah terus menetap di dalamnya tanpa bergaul dengan ahli-ahli jemaah
surau/masjid begitulah seterusnya rutin aktiviti harian segelintir umat
Islam yang tinggal di bandar.
Sampai ke hari ini, penulis
merasakan masih wujud dalam kalangan ahli-ahli qaryah yang saling belum
dan tidak mahu kenal mengenal antara satu sama lain, maaf cakap,
semangat kenegerian masih menebal dalam diri seglintir daripada mereka,
bagaikan tidak boleh menerima jiran sebelah yang bukan dari negeri yang
sama, tidak tahu sampai bila fenomena ini akan berakhir.
Bagi
penulis individu-individu yang ikhlas memakmurkan masjid dan surau
adalah mereka yang suka kemas kinikan diri dengan informasi baharu yang
didapatinya dari kelas-kelas pengajian fardu ain, ceramah, program
motivasi dari mereka yang berpengalaman anjuran masjid dan surau-surau,
syabas diucapkan kepada AJK masjid dan surau yang tidak jemu-jemu
mencari ramuan dan kaedah bagi membantu ahli-ahli jemaah dan qaryah agar
terus bertamadun dalam segenap tindakan, cara berfikir dan cara hidup
yang selaras dengan ajaran Islam itu sendiri.
Masa akan terus
berlalu, rugilah bagi mereka yang telah hidup di bandar-bandar yang
kurang dan mungkin tidak menyertai aktiviti-aktiviti masjid dan surau
serta anjuran badanbadan bukan kerajaan yang bersifat Islamik
menganjurkan program-program kebajikan, ilmiah yang boleh menambah ilmu
ke arah meningkatkan kualiti cara berfikir dalam kalangan individu
Muslim.
Ini kerana, Islam yang didatangkan Allah melalui Rasul
terakhirnya iaitu Muhammad s.a.w. membawa segenap bahan bertamadun yang
termuat dalam al-Quran yang tidak mampu dinafikan oleh mana-mana pihak
termasuklah masyarakat Barat yang sudah mula akur dan menerima bahawa
Islam adalah agama yang membawa kepada segenap kemajuan, ini termasuklah
pengakuan sarjana Barat bahawa Sains itu adalah bersumberkan al-Quran
bukannya kitab lain.
Kalau begitu apa yang dimaksudkan dengan
tamadun? Tamadun Islamialah satu pendekatan untuk mengubah arah
kegelapan tamadun Barat menjadi sebuah tamadun yang hebat hingga ke hari
ini. Kajian demi kajian dibuat terhadap tamadun Islam telah melahirkan
banyak ahli fikir Eropah seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu Khaldun dan
lain-lain.
Secara dasar, tamadun Islam lebih mementingkan akhlak
keperibadian mulia setiap insan tanpa membezakan setiap bangsa. Namun
tamadun Barat lebih mementingkan kepada keuntungan atau lebih tepat
materialistik (kebendaan) walaupun soal ahklak insan terbiar dalam
masyarakat umat Islam pada hari ini.
Jelas, bahawa akhlak adalah
salah satu ciri tamadun yang membawa masyarakat kepada satu cara hidup
yang beretika tanpa melebihkan aspek kebendaan hingga meninggalkan
tanggungjawab asasi iaitu untuk beribadat kepada Allah SWT. Inilah yang
pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah menerusi satu hadisnya yang
bermaksud: “Sesungguhnya aku telah diutus untuk menyempurnakan akhlak
yang terpuji.”
Sayidatina Aishah r.a. satu hari pernah ditanya
oleh sahabat baginda Rasulullah tentang akhlak baginda, dengan tegas dan
jelas beliau menyatakan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w. itu adalah
al-Quran (selurunya).
Maka boleh disimpulkan bahawa, bahagian
akhlak yang boleh dikategorikan sebagai aspek tamadun kepada masyarakat
bandar hari ini ialah akhlak kepada Allah, akhlak kepada Rasulullah,
akhlak kepada al- Quran, akhlak kepada hadis atau sunna baginda
Rasulullah s.a.w., akhlak kepada kedua ibu bapa, akhlak kepada sesama
manusia, ini termasuk jiran tetangga, rakan
taulan, kaum kerabat
dan lainlain. Apa yang penting untuk diberi tumpuan khusus oleh muslim/
muslimah yang komited kepada agamanya untuk mencapai tamadun sebenar
ialah akhlak kepada Allah SWT, kelemahan masyarakat jahiliyyah yang
begitu ketara sekali ialah apabila mereka tidak menyembah Allah dalam
erti kata sebenarnya.
Menyembah Allah juga membawa maksud
melaksanakan segenap titah perintah-Nya yang terkandung dalam
undangundang, peraturan serta hukumhakam- Nya seperti hudud, qisas,
ta’zir dan lain-lain, kerana undang-undang tersebut dengan jelas telah
berjaya mengubah persepsi masyarakat jahiliyyah walaupun mereka masih
tidak mahu menerimanya.
Begitu juga aspek tamadun yang dijelmakan
melalui akhlak kepada Rasulullah, iaitu menerima pakai segenap petunjuk
yang dibawanya, kerana apa yang terkandung dalam ungkapan baginda yang
dikenali sebagai hadis, mengandungi aspek motivasi, nasihat, bimbingan,
petunjuk jalan kebenaran, mengarah melakukan yang makruf, meninggalkan
yang keji dan mungkar, kesemua itu adalah aspek tamadun yang dilupakan
oleh kebanyakan umat termasuklah yang tinggal di bandar-bandar.
Justeru, apabila masyarakat bandar meninggalkan pengajian di
masjid-masjid atau surau-surau dengan tidak campur langsung dengan para
jemaah, maka apa yang lahir dan terbit daripada diri mereka itu bukanlah
satu etika, contoh orang-orang yang bertamadun, kerana semakin kuat
pegangan seseorang muslim itu dengan al-Quran, hadis, melaksanakan
sunnah baginda dalam kehidupan, maka merekalah orang-orang yang
bertamadun walaupun tinggal di pedalaman atau desa.
Home »
Bicara Islam
» Apabila masyarakat bandar tidak bertamadun?
Apabila masyarakat bandar tidak bertamadun?
Written By zabidi on Thursday, 2 March 2017 | 1:30 pm
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment