Oleh Siti Zarinah Sahib
Ramai
yang bimbang mendapat serangan penyakit jantung tetapi ramai juga yang
tidak berusaha mencegahnya. Umum mengetahui penyakit jantung salah
satu penyebab kematian utama bukan saja di Malaysia bahkan di dunia.
Antara
faktor risiko penyakit jantung termasuk paras kolesterol yang tinggi,
darah tinggi, diabetes, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak aktif
dan tabiat merokok.
Mengubah corak pemakanan antara perkara mampu
menyelamatkan jantung anda. Ini boleh dilakukan dengan memilih makanan
tertentu mengikut piramid makanan, mengurangkan pengambilan minyak,
lemak, garam dan gula dalam hidangan.
Namun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung anda, antaranya:
Ikan
Antara
pilihan ikan paling baik ialah salmon. Ikan ialah sumber asid lemak
omega-3 yang baik. Ia melindungi jantung dengan mengurangkan radang dan
risiko pembekuan darah.
Lemak dalam ikan juga membantu
mengekalkan paras kolesterol pada kadar yang sihat. Selain salmon,
pilihan lain termasuk ikan laut yang berminyak seperti tuna atau sardin
dengan pengambilan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Untuk lebih
sihat, ambil salmon panggang bersama salad.
Oat
Bijirin
oat mengandungi serat larut dipanggil beta glucan yang membantu
mengurangkan paras keseluruhan kolesterol termasuk kolesterol LDL.
Serat
boleh larut ini juga membantu sistem penghadaman kekal sihat. Jika
sukar menikmati bijirin oat begitu saja, campuran oat bersama susu
rendah lemak atau susu soya itu boleh ditambah hirisan buah-buahan
segar seperti pisang, strawberi atau oren.
Epal
Epal
mengandungi sejenis bahan iaitu quercetin yang bertindak sebagai
antiradang dan membantu mencegah pembekuan darah. Ia juga mengandungi
vitamin dan serat, malah enak dijadikan snek ringan atau menambah
hirisan epal dalam masakan.
Epal membantu untuk mengurangkan
sehingga 50 peratus risiko penyakit jantung jika pengambilannya
dilakukan secara berterusan misalnya, dua biji epal atau segelas jus
epal sehari.
Sayuran berdaun hijau
Sayuran
berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan sawi bukan saja mengandungi
vitamin E, malah ia turut dikaitkan dengan keupayaan daya ingatan
apabila berusia. Sayuran hijau kaya mineral yang mampu melindungi
jantung daripada masalah kesihatan.
Pastikan dalam setiap
hidangan tengah hari, masukkan sayuran hijau sebagai menu harian anda.
Untuk mendapatkan mineral dan zat terkandung dalam sayuran hijau, elak
daripada memasaknya terlalu lama. Sayur hijau juga boleh dimakan mentah
seperti salad atau dijadikan ulam-ulaman.
Tomato
Tomato
baik untuk kesihatan jantung kerana kaya dengan vitamin dan lycopene
yang terbukti membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Hanya
tambahkan hirisan tomato pada sandwic atau banyakkan sos tomato dalam
makanan. Sos tomato yang dimasak dan sos tomato di dalam tin yang mudah
didapati di kedai mengandungi lebih banyak lycopene berbanding tomato
mentah.
Soya
Protein soya ialah sumber
yang baik untuk menggantikan daging merah apatah lagi ia membantu untuk
mencegah penyakit jantung. Terdapat pelbagai makanan berasaskan soya
seperti tauhu dan tempe. Anda juga boleh mengambil susu soya setiap
hari untuk kekal cergas.
Minyak zaitun
Minyak
zaitun mengandungi kandungan lemak tidak tepu sehingga 77 peratus
sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan
menurunkan paras kolesterol. Anda boleh mengambil minyak zaitun satu
sudu sehari sebagai makanan tambahan atau dijadikan bahan dalam
masakan. Jika mampu gunakan minyak zaitun bagi menggantikan minyak lain
dalam masakan.
Bijirin penuh
Bijirin
penuh menyediakan vitamin dan serat bagi menguatkan jantung. Jika anda
penggemar roti, pilihlah roti yang dihasilkan daripada bijirin penuh
seperti roti perang dan bukannya roti putih.
Badam
Badam
ialah jenis kacang yang mengandungi minyak menyihatkan seperti vitamin
E bagi membantu mengekalkan paras kolesterol. Ia juga sumber yang baik
untuk protein dan serat.
Avokado
Avokado
kaya lemak tidak tepu dan berfungsi menurunkan kadar kolesterol jahat
LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik HDL dalam tubuh. Buah ini
juga memungkinkan penyerapan karotenoid, khususnya betakaroten dan
lycopene, yang sangat penting untuk kesihatan jantung. Amalkan makan
avokado setiap hari bagi mendapatkan jantung yang sihat.
Beri
Semua
jenis buah berasaskan beri seperti blueberi, raspberi dan strawberi
kaya antioksidan dan berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung dan
kanser. Amalan pengambilan setiap hari menguatkan jantung sekali gus
mengelak daripada serangan jantung.
Corak pemakanan bantu selamat jantung
Written By zabidi on Tuesday, 28 February 2017 | 11:22 am
Labels:
Kesihatan
Post a Comment