Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof
Kelahiran seorang anak itu adalah anugerah daripada Allah SWT.
Anugerah yang begitu tinggi nilainya kepada hamba-Nya. Setiap anak
yang lahir telah dijanjikan pemberian rezeki masing-masing daripada
Allah SWT.
Firman Allah dalam al-Quran: "Dan janganlah kamu
membunuh anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada
mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu sungguh suatu dosa yang
besar." (Surah Al-Israa', ayat 31).
Imam al-Ghazali dalam kitab
Ihya' Ulumuddin menjelaskan bahawa anak adalah amanah Allah kepada
orang tua. Hatinya masih suci bagaikan acuan asli yang masih bersih
daripada segala corak dan warna.
Jika dibiasakan dan dibina
untuk menjadi baik, maka ia akan menjadi baik. Kedua-dua orang tua,
guru dan pendidiknya pun akan menuai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sebaliknya, bila dibiasakan terhadap keburukan, maka buruklah jadinya.
menjadi ibu bapa bukan sekadar bertindak sebagai penjaga. Ramai orang
mengambil mudah mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Ada
yang menganggap asal sahaja menyediakan makan minum, pakaian dan tempat
tidur, itu sudah cukup. Renungkanlah, Allah SWT hendak melihat anak
itu bukan setakat dibesarkan, bahkan diasuh sehingga menjadi hamba dan
khalifah-Nya yang soleh.
Dunia hari ini memerlukan kepada
penguasaan sains dan teknologi, pengurusan dan pentadbiran, ekonomi dan
kewangan, dan sebagainya. Inilah yang menuntut ibu bapa untuk
menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada anak supaya mereka tidak
ketinggalan, bahkan terkehadapan berbanding orang lain.
Imbangi duniawi, akhirat
Namun demikian, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi
mestilah wujud. Atas kesedaran itu, ibu bapa hendaklah berusaha sedaya
mungkin menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya
bercita-cita tinggi memburu kejayaan di dunia dan akhirat.
Anak
pasti memiliki kelemahan, namun ibu bapa disaran memberi tumpuan
kelebihan mereka. Amat menyedihkan apabila ada antara ibu bapa menilai
keunggulan seseorang anak berdasarkan pencapaian akademiknya.
Setiap anak misalnya harus mendapat sebanyak 'A' dalam setiap
peperiksaan. Realitinya ramai anak yang kurang cerdik dalam akademik,
tetapi bijak dalam ilmu pengetahuan atau menyelesaikan masalah teknikal.
Jika mempunyai anak yang lemah dalam akademik, elak memandang
rendah kepada mereka dengan meluahkan kata-kata berunsur negatif.
Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan setiap anak sia-sia, pasti ada tujuan dan hikmah di sebaliknya.
Cuba kita renung-renungkan sebab Allah SWT mengurniakan anak itu kepada
kita. Allah telah menciptakan manusia berbeza-beza. Janganlah
membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain.
Mendoakan anak
Sebagai ibu bapa juga, perlulah sentiasa berdoa supaya kelebihan yang
ada pada diri anak dapat dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Ilahi.
Kata-kata perangsang akan mempengaruhi minda dan jiwa anak untuk maju
ke hadapan. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa mendorong anak supaya
sentiasa yakin dan selesa dengan diri sendiri.
Sesiapa yang
memperkecilkan anak, seolah-olah dia memperkecilkan Allah SWT yang
menganugerahkan anak itu. Oleh itu, alangkah baiknya jika memahami diri
anak.
Begitu juga juga anak yang dilahirkan kurang upaya.
Membesarkan anak kurang upaya bukanlah sesuatu yang mudah.
Segala-galanya perlu dihadapi dengan tabah dan sabar.
Ibu bapa
perlu ingat bahawa walaupun anak itu kurang dari satu aspek, ia tentu
mempunyai kelebihan dalam aspek yang lain. Umpamanya, seorang anak yang
cacat penglihatan, mungkin dilahirkan sebagai seorang yang berbakat
untuk menjadi hafiz yang terkenal.
Anak sebagai amanah Allah
perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna
kepada agama, bangsa serta negara.
Home »
Bicara Islam
» Manfaat kelebihan, kelemahan anak
Manfaat kelebihan, kelemahan anak
Written By zabidi on Friday, 17 March 2017 | 9:30 pm
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment