SEDARI atau
tidak, dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah dahulunya merupakan
sebuah kawasan padang pasir yang gersang dan tandus serta tidak
berpenghuni. Ini kerana lokasinya terletak di kawasan lembah padang
pasir dan dikelilingi gunung berbatu.
Namun, keagungan Allah SWT
membuktikan sebaliknya. Dua wilayah tanah kenabian itu kini subur dengan
tumbuh-tumbuhan menghijau dan pembangunan yang pesat membangun, malah
menjadi tumpuan seluruh dunia.
Ulama berpendapat keajaiban itu kerana
kedua-dua Tanah Suci itu adalah kawasan di mana diturunkan mukjizat
terbesar bagi seluruh umat manusia iaitu al-Quran.
Begitu juga, bulan Ramadan dimuliakan oleh
Allah berbanding bulan lain dengan menyediakan pelbagai kelebihan
sehingga terdapat padanya satu malam yang bersamaan 1,000 bulan.
Perkara itu juga berikutan al-Quran diturunkan oleh Allah dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah iaitu di langit dunia pada Ramadan.
Firman Allah maksudnya: “Bulan Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia…” (Baqarah: 185)
Menjelaskan perkaitan itu, Penasihat #QuranHour, Safiri Muhammad Zein berkata, setiap perkara yang bersangkutan dengan al-Quran akan dimuliakan oleh Allah dan seluruh makhluk di muka bumi.
Malah beliau berkata, walaupun merupakan
rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW dimuliakan oleh Allah dengan diangkat
sebagai penghulu segala nabi dan rasul.
Perkara itu tambahnya kerana Nabi Muhammad
SAW merupakan utusan Allah yang diturunkan kepadanya kitab al-Quran
sebagai panduan dan petunjuk umat manusia sehingga Hari Kiamat.
Oleh itu, menurutnya, tidak ketinggalan
setiap manusia khususnya umat Islam juga boleh memperoleh kemuliaan di
sisi Allah menerusi al-Quran.
“Jika tempat, masa dan individu yang
diutuskan semuanya dimuliakan Allah kerana mempunyai kaitan dengan
al-Quran, begitu juga bagi umat Islam yang mengalir di dalam darah tubuh
mereka dengan mukjizat agung tersebut.
“Mereka ini juga pasti akan dimuliakan oleh Allah dengan apa sahaja cara yang kita tidak sedari.
“Caranya bukan sahaja membaca al-Quran,
tetapi setiap umat Islam perlu mentadabbur dengan memahami dan
menghayati setiap kalimah tertera di dalam al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada
Program Breakfast Talk #QuranHour: Interaksi Surah Yasin dan
Kemerdekaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, baru-baru
ini.
Yang turut hadir, Penasihat Modul Rumah
Ngaji, Fazrul Ismail dan qari terkemuka negara, Ahmad Tarmizi Abdul
Rahman selaku Penasihat Merdeka #QuranHour.
Safiri berkata, bukan sahaja pada peringkat
individu, malah mencapai darjat kemuliaan Allah juga dapat dibentuk ke
tahap lebih meluas iaitu negara.
“Bersempena hari kemerdekaan yang bakal
disambut serentak dengan World #QuranHour pada 31 Ogos ini, kita perlu
memanfaatkan hari kebebasan tersebut dengan penghayatan roh al-Quran.
“Merdeka bermaksud dapat melakukan apa
sahaja dengan bebas untuk mencapai sesuatu matlamat yang baik atau
sampai destinasi tanpa halangan.
“Dalam konteks ini, Rasulullah diutuskan
dengan membawa al-Quran sebagai panduan menunjukkan jalan lurus kepada
kita bagi mencapai destinasi iaitu syurga Allah.
“Oleh itu, hari kemerdekaan yang diisi
dengan penghayatan al-Quran juga insya-Allah akan mengangkat negara
menjadi lebih mulia dan disegani,” ujarnya.
YASIN ‘PENAWAR’ HATI MATI
Tidak henti-henti dilaporkan, keruntuhan
akhlak, gejala sosial dan pelbagai masalah moral manusia termasuk dalam
kalangan umat Islam dilihat bagaikan tiada noktah akhir.
Safiri berkata, jelas dinyatakan dalam al-Quran, hal ini berlaku adalah disebabkan oleh hati manusia yang telah mati.
Memberi penyelesaian terhadap kemelut
tersebut, al-Quran juga, katanya, menyediakan pintu keluar sebagai
panduan kepada manusia memperbaiki diri dan membentuk hati.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam Surah Yasin
ayat 12 maksudnya: “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang yang mati dan
Kami tuliskan apa yang telah mereka kerjakan serta kesan-kesan yang
mereka tinggalkan. Dan ingatlah segala sesuatu Kami catatkan dalam kitab
yang nyata.”
“Dalam Surah Yasin merangkumi tiga cabang
ilmu utama iaitu akidah, fikah dan sejarah yang perlu dihayati oleh
setiap umat Islam. Malah, terkandung juga bagi setiap huruf, kalimah dan
ayat dalam surah ini mukjizat daripada Allah.
“Sebagai contoh, dengan membaca huruf awal
iaitu ‘Ya Sin’ sahaja dapat membuatkan hati orang yang mendengar atau
pembacanya akan berasa tenang dan damai jika benar-benar dihayati.
“Namun malangnya, penghayatan terhadap
ayat-ayat al-Quran semakin hilang, umat Islam sekadar membacanya pada
hari atau majlis tertentu tanpa memahami inti pati di dalamnya, justeru
tidak hairanlah pelbagai masalah akidah dan akhlak berlaku,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau menyarankan setiap
keluarga atau isi rumah umat Islam perlu berinteraksi dengan al-Quran
sekurang-kurangnya satu kali setiap hari dengan memahami panduan sebenar
diajarkan terutama menerusi Surah Yasin.
Post a Comment