UMUM sangat terkejut dengan peristiwa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang terbakar minggu lalu. Banyak reaksi spontan dikeluarkan pelbagai pihak seolah-olah mereka adalah pakar agama, pendidikan, keselamatan dan sosial. Tidak kurang juga yang terus membuat kesimpulan agar institusi sebegini ditutup.
Memang lazim apabila sesuatu
perkara kurang enak melibatkan institusi agama Islam pantas komentar
berbaur negatif dilontarkan tanpa melihat isu sebenarnya. Sebagai
contoh, dalam isu maahad tahfiz ini, elemen jenayah telah didapati oleh
pihak berkuasa menjadi punca terbakarnya pusat ini. Kebakaran tersebut
bukan akibat kelalaian atau kecuaian pengendali maahad tahfiz tersebut
walaupun mereka ditohmah dan dilabelkan dengan pelbagai gelaran.
Dalam masa yang sama bukanlah saya katakan
sekolah agama ini begitu sempurna sehingga tidak boleh dikritik. Memang
terdapat banyak kelemahan yang perlu dibaiki sama ada dari segi
kurikulum, kokurikulum, premis, keselamatan, tenaga pengajar dan
lain-lain lagi.
Sebagai antara seorang daripada produk
sekolah agama saya dapat menjiwai kekurangan dan kekangan ini. Dahulu
kami serba kekurangan. Tenaga pengajar yang kebanyakannya hanya dilantik
kontrak, tiada makmal sains yang lengkap (bagi yang menawarkan
pelajaran akademik), kemudahan dan pelbagai perkara yang serba
kekurangan. Namun kami sedar itu bukan tiket untuk kami tidak cemerlang
dalam segala lapangan diceburi.
BUKAN HERDIK TAPI KENA BANTU
Kekurangan yang ada di sekolah agama
bukanlah memerlukan herdikan. Bantulah institusi pendidikan agama agar
ia setanding dengan institusi pendidikan lain. Kita lihat sekolah Cina
yang begitu terkehadapan dari sudut kurikulum, kokurikulum dan premisnya
mendapat sokongan serta derma daripada bangsa Tionghua. Sikap ini perlu
ditiru oleh orang Islam bagi membangunkan sekolah agama.
Walaupun tidak dinafikan terdapat banyak
sekolah agama kerajaan yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan dan
negeri-negeri namun permintaan untuk memasuki sekolah agama ini begitu
meningkat kerana ibu bapa Islam sedar kejayaan dunia sahaja tidak
mencukupi bagi orang Islam.
Ini adalah disebabkan tusukan ilmu
kerohanian amat penting untuk membangunkan generasi kita pada masa akan
datang. Usaha kerajaan ini harus diberikan pujian kerana prihatin
keperluan pendidikan Islam dalam negara.
Bagaimanapun pihak kerajaan perlu terus
memainkan peranan ke atas sekolah agama persendirian dengan memantau
kurikulum, kokurikulum dan tahap keselamatan sekolah-sekolah berkenaan.
Institusi tersebut perlu diwajibkan pendaftaran dengan pihak berkuasa
agama supaya mudah diselia oleh pihak kerajaan.
Menutup sekolah agama yang sedang
beroperasi serta merta adalah tindakan bersifat simplistik yang akan
mendatangkan pelbagai kesan kepada pengendali sekolah, pelajar dan ibu
bapa. Mereka perlu dibantu bukan dihukum.
INISIATIF PROAKTIF
Sudah sampai waktunya pendaftaran dan
kawalan terhadap sekolah agama ini diperketat supaya keupayaan menjaga
keselamatan bagi sekolah agama dipertingkatkan.
Apa yang terjadi sudah pun terjadi. Menoleh
ke belakang hanya menangisi kejadian tersebut tanpa melakukan
penambahbaikan hanya akan memberi peluang kepada pengulangan peristiwa
hitam tersebut. Walaupun saya faham keluarga mangsa berhak meratapi
kematian orang tersayang namun sebagai masyarakat awam kita perlu
pastikan tiada lagi keluarga yang akan mengalami kedukaan sama pada masa
hadapan.
Oleh demikian saya merayu:
- Pihak berkuasa dapat mengambil peranan aktif agar suatu undang-undang khusus mengawal pendaftaran dan operasi sekolah agama ini digubal secepat mungkin bagi menangani isu ini.
- Bagi orang awam pula marilah bersama-sama membantu institusi pendidikan Islam yang kekurangan dana agar dapat meningkatkan tahap keselamatan di sekolah mereka.
- Bagi kalangan profesional mereka juga boleh memberi khidmat bakti dalam bidang kepakaran masing-masing bagi meningkatkan keselamatan ini.
* Inilah mujahadah kita, perjuangan kita, sumbangan bakti kita demi generasi akan datang.
PEMANGKIN PERUBAHAN
Mudah-mudahan peristiwa sedih ini menjadi
pemangkin kepada perubahan institusi pendidikan Islam sama ada dikawal
selia pihak kerajaan atau swasta. Juga diharapkan ia mampu menganjak
paradigma masyarakat dalam melihat sekolah agama Islam. Lihatlah mereka
daripada lensa pembangunan bukan menyekat dengan parameter yang tidak
masuk akal atau menghapuskannya.
Sekolah agama sudah wujud sejak sebelum
negara merdeka lagi. Sekolah agama sudah menabur bakti kepada negara
sekian lama. Ramai tokoh besar dilahirkan dari sekolah agama. Perkasakan
sekolah agama pasti suatu hari nanti kita akan mempunyai pemimpin agung
yang seimbang dunia akhirat muncul di Malaysia.
Kita sebenarnya kehilangan dua kumpulan anak-anak pada masa hadapan:
1. Anak-anak pelajar tahfiz tersebut yang
telah meninggalkan kita selama-lamanya walaupun mereka merupakan aset
besar kepada agama.
2. Anak-anak di bawah umur yang sedang
direman dalam siasatan polis. Mereka dilaporkan sebagai anak-anak tidak
bersekolah yang dikatakan merancang pembakaran maahad tahfiz tersebut.
- Anak-anak ini jika dididik dengan betul mungkin tidak akan menjadi sebegitu malah mungkin juga dapat menjadi kebanggaan negara sekiranya mendapat didikan sempurna.
Rata-ratanya kita tidak menyangka anak-anak
di bawah umur ini boleh melakukan kesalahan yang sangat besar ini
sebagaimana didedahkan pihak polis. Walau apapun alasannya, merosakkan
harta awam dan mengambil nyawa tanpa cara yang sah di sisi undang-undang
bukanlah suatu pilihan.
Post a Comment