Oleh
Kebanyakan
mereka di bawah umur selalunya terlibat dalam jenayah kerana pengaruh
negatif rakan sebaya, kurang bimbingan ibu bapa, pengaruh buruk internet
dan unsur-unsur gengsterisme.
Namun apa yang lebih membimbangkan saya masalah
buli dan keganasan kini melibatkan semua peringkat dalam masyarakat
kerana pelaku juga termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, remaja
dan orang dewasa yang bekerja serta mereka yang berada dalam institusi
ketenteraan.
Kita mesti memastikan Malaysia
tidak menjadi ‘negara pembuli’ kerana apa yang berlaku sejak
kebelakangan ini seolah-olah menunjukkan negara mempunyai lebih ramai
individu sadis yang suka bertindak ganas seperti menyeksa orang lain dan
menyaksikan penderitaan mereka.
Buli dan
keganasan harus dipantau kerana perlakuan itu kini semakin meningkat
dalam masyarakat.
Pada umumnya, hampir tidak ada hari berlalu tanpa kes
keganasan yang sama ada di rumah, sekolah atau di tempat lain.
Dalam
insiden terbaharu pada Jumaat 29 September lalu, dua anggota Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia di bilik tahanan di Sungai
Wangi dekat Sitiawan, Perak selepas mereka dipercayai diseksa. Polis
mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan berdasarkan laporan bedah
siasat mangsa - Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal
Tuiman Mohd. Sukri, 26.
Dua lagi kakitangan
TLDM turut membuat laporan polis dan mendakwa mereka diseksa di unit
tahanan yang sama dan sehingga kini polis menangkap lima anggota TLDM
berhubung dua kes tersebut.
Pada 9 Jun lalu,
negara dikejutkan dengan kes T. Nhaveen, 18, yang dikatakan diserang,
dibakar dan diliwat oleh sekumpulan remaja sekitar tengah malam di
sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Kejadian
itu berlaku kurang dari dua minggu selepas pelajar Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21,
meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun, selepas diserang oleh
sekumpulan pelajar universiti di Serdang.
Pada
24 Ogos, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun juga meninggal dunia,
dua hari selepas dia didakwa diserang oleh seniornya yang berusia 12
tahun di sebuah asrama sekolah rendah di Kapit, Sarawak.
Kes-kes
melibatkan buli dan keganasan di sekolah, institusi pendidikan dan
ketenteraan mesti dikaji dengan serius oleh pihak berkuasa dan
masyarakat secara menyeluruh untuk mencari penyelesaian. Apa yang
berlaku ini bertentangan dengan matlamat negara untuk membentuk
masyarakat penyayang dengan menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan
masyarakat.
Masanya telah tiba bagi kerajaan
untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas peringkat tertinggi khusus
membincangkan punca, cadangan dan strategi untuk menangani keganasan
yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat terutamanya golongan remaja
dan belia
Di bawah inisiatif ini, kerajaan
juga boleh menggerakkan sumbernya untuk menghentikan keganasan yang
memberi kesan di semua peringkat masyarakat. Ini penting ekoran kes
keganasan yang mengakibatkan kematian semakin menjadi-jadi.
Statistik
Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat 14,000 kes buli yang
dilaporkan antara 2012 dan 2015 tetapi terdapat banyak kes lagi yang
mungkin tidak dilaporkan. Saya percaya kita juga harus melihat dengan
serius isu kesihatan mental yang kian merosot dan bagaimana ia membawa
kepada kejadian buli dan ganas ini.
Kajian
Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menunjukkan bahawa
kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, atau 29.2
peratus daripada penduduk, mengalami pelbagai masalah mental. Jumlah ini
membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus
berbanding tahun 2006.
Lebih membimbangkan,
masalah itu turut melibatkan pelajar kerana nisbah mereka yang
menghadapi masalah mental meningkat dari satu dalam 10 orang pada 2011
kepada satu daripada lima orang pada 2016. Pakar-pakar menegaskan bahawa
tekanan dan kemurungan sebagai penyebab utama masalah kesihatan mental
dalam kalangan pelajar.
Faktor penyumbang
lain kepada isu kesihatan mental termasuk masalah keluarga, buli secara
fizikal dan siber serta tekanan belajar yang diberikan oleh ibu bapa dan
guru. Persoalan yang menarik adalah sama ada negara kita sudah
melakukan secukupnya untuk mempromosikan pembangunan kesihatan mental
yang baik di negara ini? Jawapan saya jelas - Tidak.
Saya
percaya budaya keganasan perlu ditangani menggunakan pendekatan
holistik, dengan sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa, ahli
psikologi dan pertubuhan bukan kerajaan.
Marilah
kita menggerakkan seluruh negara melalui program mampan untuk
mempromosikan kebaikan dan belas ihsan di semua institusi pendidikan
kita dan menolak semua bentuk keganasan.
Kita tidak boleh menjadi
‘negara pembuli’ tetapi harus membina negara yang berasaskan kasih
sayang, kebaikan dan sikap saling menghormati.
Jika
ingin melaksanakan hukuman terhadap sesiapa, ia mestilah berdasarkan
proses undang-undang dan mengikut prosedur operasi standard yang tidak
akan mengundang penyalahgunaan kuasa.
Amat
malang jika kita gagal menangani isu ini kerana ia akan berlarutan dan
menggugat keamanan apabila negara dipenuhi dengan mereka yang tidak
mempunyai perasaan belas ihsan, hormat menghormati dan mengasihi di
antara satu sama lain.
Saya percaya sikap
tidak sabar dalam melakukan sesuatu, terutamanya apabila berhadapan
dengan situasi yang kurang menyenangkan seperti berada di dalam
kesesakan jalan raya, antara petunjuk bahawa sifat-sifat positif sudah
mulai terhakis dalam masyarakat.
Komen-komen
negatif yang dilemparkan di alam maya termasuk penghinaan,
cabar-mencabar serta berbaur perkauman juga petunjuk jelas terdapat
kepincangan dalam masyarakat kita.
Walaupun
ada yang berpendapat perlakuan sebegini biasa dan isu remeh, saya amat
khuatir ia akan merebak menjadi lebih kronik apabila nilai-nilai negatif
ini semakin sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.
Tidak
dapat saya bayangkan apa yang akan terjadi kepada negara apabila rakyat
tidak lagi berfikir panjang setiap kali ingin melepaskan kemarahan atau
mengambil tindakan dengan membelakangi undang-undang.
Kita
tidak perlu tunggu sehingga kepincangan ini bertukar menjadi sebahagian
imej masyarakat Malaysia kerana tidak ada gunanya lagi untuk kita
bertindak apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Post a Comment