Headlines News :
Home » » Refleksi kemodenan animasi BoBoiBoy

Refleksi kemodenan animasi BoBoiBoy

Written By zabidi on Friday, 7 September 2018 | 6:26 pm

Oleh NURUL FADILA AWALUDIN

WARNA-WARNI dunia fantasi animasi kerap dipandang terarah kepada golongan kanak-kanak berbanding dewasa. Berbeza dengan karakter adiwira terbitan Marvel Comics mahupun DC Comics, karya antarabangsa itu sering mempamerkan watak adiwira yang tampak hidup di alam realiti.

Meskipun naskhah berbentuk nyata (live action) lebih menjadi tarikan penonton terutama dalam penghasilan tayangan layar perak, namun karya animasi juga mempunyai magis tersendiri untuk menarik khalayak ke pawagam.

Ini dibuktikan apabila filem animasi antarabangsa terbitan Walt Disney Animation Studios dan Walt Disney Pictures, Frozen pada tahun 2013 berjaya mencatat sejarah apabila menjadi naskhah kartun kanak-kanak yang meraih kutipan pecah panggung hasil tayangan seluruh dunia sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion).

Selain itu, filem Minions (2015) juga mendapatkan kutipan sebanyak AS$1.15 bilion (RM4.7 bilion) manakala filem Incredibles 2 (2018) mencatat AS$1.14 bilion (RM4.6 bilion).
Kejayaan tersebut lantas membuktikan skop penonton naskhah animasi tidak hanya tertumpu kepada golongan kanak-kanak sahaja.

Terdorong dengan impak positif itu, Ketua Pegawai Kandungan Animonsta, Anas Abdul Aziz berazam untuk mengangkat martabat karya animasi tempatan setaraf antarabangsa.
Bermula dengan kecenderungan terhadap buku komik adiwira antarabangsa seperti Superman, Batman dan Spiderman, Anas kemudian menyimpan hasrat untuk menghasilkan karya sebegitu mengikut cara tersendiri.

Namun, melihat kepada naskhah animasi tempatan yang sebelum ini lebih memberi fokus kepada watak hero dewasa seperti Kluang Man dan Cicak Man, Anas mengambil inisiatif mengubah corak adiwira tersebut kepada kanak-kanak lingkungan usia 12 tahun.

Maka, dengan itu terhasilnya karya animasi BoBoiBoy yang kini mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan. Bukan sahaja meraih sambutan hangat, bahkan kutipan filem sulung BoBoiBoy: The Movie pada tahun 2016 turut mencatat kutipan sebanyak RM15.77 juta.

Langkah awal

Selain Malaysia, BoBoiBoy juga telah dipasarkan kepada lebih 60 buah negara dan dialih suara kepada beberapa bahasa antaranya Arab, Tamil, Urdu, Vietnam dan Mandarin.
Di sebalik kejayaan siri animasi BoBoiBoy yang tampak seronok ditonton di kaca televisyen, pelbagai proses perlu diambil kira terutama melibatkan kesan khas dan plot penceritaan bagi memperoleh kesetiaan penonton.

Asimilasi antara cita rasa dewasa dan kanak-kanak menjadi tunjang utama penceritaan termasuk mendapat suntikan jenaka. Sisi humor terutama melibatkan watak Papa Zola dan Gopal menjadikan naskhah BoBoiBoy lebih santai.

Kedua-dua karakter tersebut merupakan antara pelakon utama dalam naskhah animasi BoBoiBoy selain Yaya, Tok Aba, Abu Du, Fang, Ying, Koko Ci, dan Ochobot.

Disebabkan itu, penulisan skrip menjadi komponen penting dalam tujuh langkah asas dalam pembikinan siri animasi popular berkenaan sebelum sedia ditayangkan.

“Penceritaan adalah elemen penting kerana ia bukan sahaja dapat menghiburkan kanak-kanak tetapi golongan dewasa juga dapat menonton naskhah ini. Dalam pada memberi penekanan terhadap babak aksi yang menjadi intipati utama, tetapi nilai pengajaran dan komedi turut diterapkan agar kelihatan seimbang dan sesuai untuk tontonan oleh pelbagai peringkat usia,” jelas Anas.

Kemudian skrip yang ditentukan akan menjalani proses konsep. Pada bahagian tersebut, lakaran karakter animasi, kostum dan latar dilakukan secara dua dimensi (2D). Daripada itu, lakaran 2D berkenaan kemudian akan dipindahkan ke bahagian modeling untuk dihasilkan dalam bentuk 3D.
Bagi memudahkan proses lakaran dilakukan, rata-rata pelukis memilih menggunakan tablet lukisan grafik digital bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Pada bahagian modeling, lakaran 2D tersebut akan ditukar menjadi 3D agar tampak lebih realistik termasuk menggerakkan karakter animasi dengan menggunakan aplikasi dipanggil perisian maya.

“Selesai di bahagian modeling, lakaran yang telah disiapkan kemudian dipindahkan kepada unit animation bagi membolehkan karakter tersebut bergerak mahupun melakukan sebarang pergerakan mengikut plot penceritaan.

“Unit animation juga perlu membuat perincian terhadap pergerakan mulut dan ekspresi karakter untuk dipadankan dengan audio pelakon suara,” terang Anas mengenai proses pembikinan BoBoiBoy.

Memerlukan tahap kesabaran dan kemahiran tinggi, unit animation memerlukan tempoh sekitar tiga hingga empat minggu untuk menyiapkan satu episod dengan menyasarkan visual gerakan animasi selama enam saat yang dapat disiapkan dalam masa satu hari.

Berakhir di bahagian animation, unit rendering kemudian menjalankan tugas mereka dengan menambahkan pencahayaan kepada visual yang dihasilkan.

Setelah itu, bagi memberi sentuhan lebih dramatik, unit compositing yang bertindak memasukkan elemen kesan khas seperti visual letupan. Penekanan diberikan terutama saat pembikinan babak pertarungan BoBoiBoy dan melakukan pecahan kuasa.

Menjadikan compositing sebagai proses terakhir penghasilan BoBoiBoy secara visual, rakaman audio pelakon suara turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan animasi selepas penulisan skrip. Pelakon suara

Pemilihan suara yang berpadanan dengan karakter perlu dilakukan secara terperinci agar ia bersesuaian mengikut watak dan plot cerita.

Kedengaran seperti satu tugas mudah memandangkan pelakon suara lebih banyak dilihat dalam penyumbangan vokal berbanding tenaga.

Namun, bagi pelakon suara watak Gopal, Dzubir Zakaria yang menggalas tanggungjawab tersebut sejak BoBoiBoy memulakan tayangan pada tahun 2011, mengakui ia bukan satu tugas senang.
Pelakon suara perlu menjiwai emosi karakter yang perlu ditonjolkan berdasarkan suara termasuk memastikan penjagaan kesihatan rapi agar kualiti suara tidak terjejas.

“Sekiranya melibatkan babak aksi mahupun berlari, saya juga perlu melakukan perkara sama seperti berlari dan melompat demi menjiwai watak.

“Penjagaan kesihatan juga penting kerana sekiranya saya mengalami batuk atau selsema ia akan menjejaskan tahap vokal. Disebabkan suntingan dilakukan secara digital, saya perlu memastikan tahap suara berada dalam keadaan baik untuk mendapatkan hasil yang sama.

“Sekiranya vokal asas berubah, sistem suntingan suara digital turut berubah dan ia akan kedengaran berbeza sekali gus menjejaskan mood penonton,” kata Dzubir. Minat
Ini membolehkan rakaman suara dilakukan lebih awal bagi memudahkan unit animation melakukan suntingan gerakkan kepada watak.

Pemilihan pelakon suara turut memainkan peranan penting dalam menambat hati penonton. Bagi watak utama, BoBoiBoy, pemilik suara karakter tersebut dilakonkan oleh Nur Fathiah Diaz, 19.
Bukan sekadar menarik minat golongan kanak-kanak, tetapi individu dewasa turut mempunyai kecenderungan terhadap kartun animasi popular berkenaan.

Minatnya berputik selepas menonton animasi di kaca televisyen, empat pelukis grafik Animonsta iaitu Nurul Aliyah Faaiqah Shamsor Nizam, 21, Nurfatin Zulkefli, 24, Siti Nurelyana Maurad, 23, dan Mohd. Ariff Abd. Rahman. 24, memilih organisasi berkenaan sebagai tempat membina kerjaya.

Mereka tertarik dengan watak dan plot penceritaan adiwira kanak-kanak yang ditonjolkan dalam BoBoiBoy sekali gus mengakui gemar menonton kartun animasi tempatan dan antarabangsa.
Biarpun kadangkala hasil lakaran mereka ditolak, namun disebabkan minat, tekanan untuk menghasilkan kreativiti tidak menjadi halangan untuk mereka terus berkarya.

“Minat terhadap kerjaya animasi bermula sewaktu saya masih di usia kanak-kanak kerana disebabkan gemar membaca komik. Tidak dinafikan kerjaya dalam industri kreatif ini mempunyai pelbagai cabaran tetapi disebabkan minat, segalanya bukan halangan,” ujar bekas penuntut KRU Academy dalam jurusan Diploma Animasi 2D, Nurul Aliyah.

Penerimaan positif khalayak terhadap kerjaya pembikinan animasi dan perkembangan teknologi semasa secara tidak langsung sektor tersebut menawarkan banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan belia






































Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER