Oleh Mohd. Shah Che Ahmad
BERCAKAP mengenai
hijab, pastinya terbayang dalam fikiran kebanyakan kita menggambarkan
sesuatu pakaian atau objek yang digunakan oleh wanita Muslim untuk
menutup rambut atau dengan kata mudah bertudung.
Namun, menurut pendakwah
antarabangsa, Rahmatullah Nowruz, bukan sahaja kepada wanita tetapi
kewajipan berhijab dengan sempurna turut terikat bagi lelaki beragama
Islam.
Beliau berkata, ini kerana definisi hijab
sebenarnya bukan bermaksud seperti difahami oleh kebanyakan umat Islam,
sebaliknya bermakna menutup anggota tubuh daripada perkara yang
diharamkan mengikut pengertian bahasa Arab.
Menerusi
ceramah ringkas dalam talian, pendakwah kelahiran Afghanistan itu
menjelaskan, beliau terpanggil ingin berkongsi peringatan itu selepas
melihat situasi sebenar ketika berdakwah di Malaysia.
“Selama
lebih tiga tahun menjalankan dakwah di Malaysia, apa yang saya
perhatikan adalah kebanyakan wanita Muslim berpakaian sempurna dan
lengkap berhijab, malangnya lelaki yang berada di samping wanita itu
berpakaian sebaliknya dengan berseluar pendek sehingga nampak lutut.
“Perlu
kita tekankan bahawa, kewajipan hijab ini bukan sahaja kepada wanita,
tetapi lelaki juga perlu mematuhi aturan yang diperintahkan syariat
Islam.
“Oleh itu, dalam apa keadaan
sekalipun, sama ada kamu lelaki atau wanita, menyempurnakan hijab adalah
tuntutan yang diwajibkan kepada kita semua,” katanya.
Selama berdakwah di Malaysia, Nowruz berjaya menarik lebih 25 orang yang majoritinya masyarakat Cina memeluk Islam.
Tidak
dinafikan tambahnya, keadaan semasa dilihat menyukarkan segelintir umat
Islam untuk menutup aurat dengan sempurna. Bagaimanapun, katanya,
kekangan itu bukan alasan untuk melanggar perintah agama.
“Saya
pernah berjumpa dan bertanya kepada seorang wanita Muslimah yang
bertudung tetapi memakai seluar jeans ketat, “Mengapa kamu berhijab? Dia
menjawab, “kerana ini ajaran Islam.”
Lalu
saya menasihatkannya, “kamu hanya mentaati 50 peratus sahaja syariat,
sebaliknya sebahagian lagi kerana terikut-ikut budaya masyarakat umum.
Perkara ini menyalahi agama dan kamu seharusnya mentaati perintah ini
100 peratus dengan berusaha mematuhinya,” ujarnya.
Berkongsi
panduan mudah bagi mematuhi batasan hijab, Nowruz berkata, terdapat
enam langkah perlu diberi perhatian oleh umat Islam agar tidak melanggar
kewajipan tersebut, iaitu:
1- Bagi lelaki, wajib menutup anggota tubuh dari pusat hingga ke lutut. Cara mudah adalah memakai seluar panjang melebihi lutut.
2-
Bagi wanita, wajib menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan pergelangan
tangan, bergantung kepada persekitaran dan bersama siapa mereka berada.
3- Bagi lelaki dan wanita, tidak boleh memakai seluar atau jeans ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.
4- Pakaian tidak terlalu nipis sehingga menampakkan anggota tubuh.
5-
Tidak boleh memperagakan pakaian yang menjadi simbol agama lain.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu
kaum, maka dia dalam kalangan mereka.” - Riwayat Ahmad
6- Lelaki tidak boleh memakai pakaian wanita, begitu juga sebaliknya
“Apa
yang saya perhatikan di Malaysia, kita akan menemukan hampir semua
wanita memakai tudung, tetapi malangnya ramai yang memakai seluar atau
jeans ketat sehingga kelihatan bentuk tubuh.
“Sama
ada lelaki atau wanita, ini jelas bertentangan dengan syariat dan
diharamkan dalam Islam. Saya tidak tahu mengapa mereka masih menyebutnya
sebagai hijab?
“Di mana sahaja kamu
membeli pakaian dan memakainya, ingatlah enam panduan ini. Jika kamu
merasakan sesuai dengan diri kita, alhamdulillah, jika sebaliknya kamu
perlu menilai kembali prinsip dan pegangan agama kamu,” jelasnya
Post a Comment