Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid
Permulaan tahun baru menyaksikan ibu bapa dan pelajar memberi sepenuh perhatian ke atas pengurusan sekolah.
Pembukaan sesi persekolahan ini memberi peluang baru kepada pelajar
untuk mencari iltizam kejayaan dalam kecermerlangan akademik.
Sekolah kekal sebagai nadi dan jaminan masa depan untuk anak-anak
Malaysia. Tetapi, adakah keselamatan dan persekitaran sekolah di
Malaysia masih selamat untuk 2018?
Sistem pendidikan Malaysia mengalami pelbagai peristiwa yang mengecewakan orang ramai pada tahun 2017.
Isu sepeti jenayah buli, gangsterisme dan penyalahgunaan dadah dalam
kalangan pelajar sekolah menjadi topik utama akhbar dan media massa yang
terus membimbangkan ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri apabila
berbicara mengenai keselamatan sekolah.
Perkara ini sering dilupakan oleh pihak sekolah dan kerajaan.
Kita perlu memahami kajian yang dilaporkan oleh Dana Kanak-kanak
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2017 menunjukkan
tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia merasa takut dan bimbang akan
jenayah buli.
Fakta ini dapat memberi gambaran jelas bahawa kanak-kanak Malaysia
masih merasa tidak selamat akan persekitaran mereka, khususnya di
sekolah.
Persekitaran sekolah yang tidak kondusif boleh mendorong kepada gangguan pembangunan pelajar dari segi emosi.
Lihat sahaja bagaimana situasi pelajar di 402 buah sekolah ‘hotspot’
dalam penyalahgunaan dadah, adakah mereka selesa untuk meneruskan
pembelajaran mereka dengan persekitaran yang negatif?
Malah apa yang menggusarkan lagi apabila sekolah yang disenaraikan ini
turut merekodkan masalah disiplin yang tinggi dan kehadiran murid ke
sekolah yang tercorot.
Begitu juga dengan aspek keselamatan di sekolah yang seharusnya diambil
sebagai satu kesedaran betapa penting untuk pendidikan pelajar.
Kebakaran di Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan sebuah maahad
tahfiz di Kampung Baru pada penghujung 2017 merupakan peristiwa yang
membuka mata pelbagai pihak akan pentingnya keselamatan infrastruktur di
sekolah.
Kelemahan pihak pengurusan sekolah untuk memantau keselamatan sekolah
harus dikritik dan pihak kerajaan tidak boleh hanya bertindak jika
insiden tersebut bertambah serius.
Hakikatnya, isu mengenai persekitaran pembelajaran dan keselamatan sekolah masih dipandang mudah oleh pelbagai pihak.
Dasar pendidikan kerajaan hanya memberi tumpuan kepada pelaksanaan
undang-undang dan hukuman dalam membenteras kes disiplin, jenayah buli,
dadah dan ponteng sekolah, menyaksikan beberapa sasaran untuk
mengekalkan persekitaran sekolah yang positif dan selamat tidak
tercapai.
Malah, terdapat sesetengah pihak hanya melihat kejayaan sesebuah
sekolah berdasarkan prestasi akademik, tetapi gagal memberi tumpuan
kepada murid-murid yang memerlukan sokongan emosi dan moral.
Bukankah sepatutnya sekolah yang mempunyai kekurangan dan masalah diberi tumpuan utama
Perubahan dalam memupuk persekitaran posiitif dan selamat di sekolah harus bermula daripada pendidikan rendah dan pra sekolah.
Budaya mendidik dan toleransi antara semua warga sekolah seperti
kemahiran komunikasi yang baik dan sikap hormat-menghormati harus diberi
tumpuan penting bagi memupuk pelajar yang berhemah dan positif.
Pendekatan ini lebih berkesan berbanding pendekatan menghukum dan pemantauan yang ketat daripada pihak sekolah.
Keadaan fizikal sekolah juga harus diberikan tumpuan dari segi ruang dan keselesaan buat pelajar.
Keselesaan bilik darjah harus dipandang serius oleh pihak sekolah
supaya pembelajaran dan budaya positif dapat diterapkan dalam
pembangunan pelajar.
Mana mungkin kelas yang padat padat dan aturan kelas yang tidak kemas mampu meningkatkan fokus dan disiplin murid di sekolah.
Pihak pengurusan sekolah tampil dengan kesedaran yang lebih tinggi
dengan perancangan dan pemeriksaan keselamatan berkala di bangunan
sekolah. Status keselamatan sekolah harus dimaklumkan kepada pelajar dan
ibu bapa supaya ia dapat memberi panduan yang jelas apabila berlaku
sebarang kecemasan.
Sudah tiba masanya tahun 2018 perlu menjanjikan peluang pendidikan dan
persekitaran sekolah yang lebih positif dan selamat untuk anak-anak
Malaysia.
Kesungguhan dalam membentuk persekitaran sekolah yang kondusif dan
positif mampu melakarkan kegembiraan anak-anak apabila membawa ilmu
pulang ke rumah, berbanding duka lara kepenatan akibat persekitaran
sekolah yang negatif dan tidak menggembirakan.
Adakah sekolah masih selamat untuk 2018?
Written By zabidi on Sunday, 7 January 2018 | 12:14 pm
Related Posts :
Labels:
Artikel
Post a Comment