Oleh Dr Saraswathy Chinnasamy
PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal datang bukan setakat
menguji soal survival parti UMNO, MIC, MCA dan GERAKAN serta komponen
lain, tetapi melihat strategi mereka yang bakal meraih mandat yang
besar. Soal mempertahankan legasi Barisan Nasional (BN) itu penting di
PRU-14, malah perlu memberi lebih keyakinan berbanding PRU sebelum ini.
Persoalan
penting perlu dititikberat ialah pembinaan persepsi orang muda terhadap
UMNO dan parti komponen yang lain seperti MCA, MIC serta GERAKAN. BN
wajar menyelami bagaimana orang muda melihat kedudukan BN dan parti
komponen lain kerana mereka masih kurang pemahaman berhubung kedudukan
UMNO dan parti komponen lain, walhal ia sejarah pembentukan negara.
Orang
muda lebih cenderung melihat isu berbangkit sebelum PRU-14 berbanding
manfaat dihulurkan oleh pihak kerajaan terhadap pembangunan sosioekonomi
rakyat. Pemahaman berhubung kedudukan UMNO sebagai parti tunggak kepada
parti komponen BN yang lain di dalam menjaga kepentingan semua kaum
lain, termasuk Melayu dan bukan Melayu perlu difahami oleh golongan ini.
Kedudukan
UMNO perlu dijelaskan kepada generasi muda bagaimana ia berdiri teguh
dan utuh sebagai parti Melayu yang besar selama 71 tahun serta masih
memerintah dan mengepalai parti komponen lain. Sekiranya struktur UMNO
ini gelabah pada peringkat akar umbi, maka keseluruhan rangka strategi
pembangunan parti komponen lain juga akan terjejas.
Hari ini,
generasi muda atau pengundi muda merangkumi lebih 4.5 juta daripada
lebih 12 juta pengundi di negara ini. Kedudukan mereka agak sukar
dikenal pasti, sama ada sokongan golongan ini berpihak kepada parti
kerajaan mahupun pembangkang. Mereka lebih cenderung berada di atas
pagar dan selalunya akan membuat keputusan berhubung status serta
keadaan isu semasa.
Pendekatan kini yang digunakan oleh kerajaan
BN bagi menarik sokongan generasi muda ialah penggunaan media sosial dan
strategi ini sama seperti dipraktikkan hampir semua parti komponen BN
dan juga ahli politik sejak PRU-13.
Namun, rasionalnya ia perlu
lebih daripada itu. Calon politik perlu memastikan mereka mempunyai
hampir keseluruhan platform media sosial sehingga ke satu tahap, mungkin
mereka beranggapan akan ketinggalan sekiranya tidak menggunakan
aplikasi berkenaan.
Persoalannya, sejauh mana calon PRU-14 mampu
bersedia mengguna pakai semua aplikasi ini bagi meraih sokongan. Rekod
World Internet Stats menunjukkan, 24.5 juta penduduk kita adalah
pengguna internet dan 19 juta adalah pengguna Facebook (FB). Maka,
penyaluran maklumat akan lebih kepada platform media sosial, iaitu dari
segi aspek penonjolan calon dan juga aktiviti kempen PRU-14.
'Facebook election'
Justeru,
tidak hairan PRU-14 akan lebih berbentuk facebook election memandangkan
populariti FB amat tinggi berbanding media sosial lain seperti Twitter
dan Instagram.
Isu semasa yang memerlukan penjelasan umum oleh
pengundi perlu diselesaikan segera dan juga perlu diuar-uarkan di media
sosial supaya tidak wujud persepsi negatif berpanjangan. Ahli politik
perlu menjawab fitnah atau berita palsu yang berleluasa bagi membetulkan
keadaan dan jangan membiarkan ia menjadi persepsi yang buruk.
Malah,
media sosial pada hari ini, turut berperanan penting dalam menjana
persepsi imej sesuatu parti dan ahli politiknya. Ia lebih menjurus
menjana persepsi yang tidak baik apabila medium berkenaan dikongsi
banyak kali oleh netizen. Kerajaan BN harus mengguna pakai medium sedia
ada, iaitu media tradisional (cetak dan penyiaran) yang kini pada satu
tahap sudah pun mampu menggunakan teknologi interaktif dalam
menyampaikan berita semasa. Kebanyakan media arus perdana pada hari ini,
menggunakan aplikasi interaktif dalam menyalurkan berita dan ia lebih
digemari pengundi muda.
Walaupun dijangkakan PRU-14 mungkin
menyaksikan jumlah undi berpecah mengikut beberapa kelompok parti, ada
perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar
bandar. Pengundi muda luar bandar lebih fokus kepada isu tempatan
seperti bantuan kepada nelayan dan petani, manakala pengundi muda bandar
pula fokus isu nasional atau semasa, membuat pemerhatian pentadbiran
negara, isu ekonomi serta dasar luar negara.
Jelas, generasi muda
ini mempunyai sokongan berbeza antara satu sama lain dan mereka akan
tentukan detik mengundi nanti. Mereka tidak mempunyai sokongan yang
satu, tetapi pelbagai sokongan. Maka usaha pembinaan persepsi yang baik
tidak harus fokus kepada generasi muda Melayu sahaja, tetapi juga pada
orang muda Cina dan India. Bagaimana mereka melihat parti yang mewakili
kaum masing-masing. BN perlu terus mendekati dan memahami pengundi muda
kaum lain jika hendak menang semula di kawasan pernah kalah.
BN
perlu terus adakan pelbagai program mendekati orang muda walaupun di
kawasan majoritinya pengundi berbilang bangsa. Mereka harus didekati
kerana kategori umur mereka lebih banyak bersandarkan emosi dalam
membuat pilihan dan perlu dibimbing ke arah demokrasi yang sihat dalam
membentuk kerajaan berwibawa.
Calon muda
Datuk
Seri Najib Razak mengambil kira faktor barisan calon muda yang mampu
melahirkan pemimpin yang boleh menyahut cabaran akan datang. Legasi BN
perlu diteruskan di mana konsensus antara semua kaum perlu dikekalkan.
Tindakan bijak sekiranya pendekatan kombinasi calon muda dan calon
berpengalaman diletakkan di satu barisan untuk hadapi PRU-14.
Muka
baharu mampu menonjolkan wujudnya perubahan dalam parti atau kata lain,
rebuilt the image yang boleh mengurangkan impak negatif. Isu berhubung
pembangunan rakyat memang patut dibangkitkan dan tidak perlu bermain
politik seperti konvensyen pembangkang kerana rakyat sudah muak
mendengar agenda permainan politik.
Sebaliknya, mereka mahu
melihat kerajaan yang mempunyai agenda jelas untuk mengukuhkan
sosioekonomi rakyat dan negara, sekali gus memantapkan persediaan
PRU-14.
Penulis adalah Penganalisis Politik/Media Sosial Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Shah Alam
Manfaat media sosial jana persepsi baik pengundi muda
Written By zabidi on Sunday 7 January 2018 | 12:16 pm
Labels:
Rencana
Post a Comment