Oleh Dr Rani Ann Balaraman
PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media
6 Julai lalu, bahawa akan ada satu jawatankuasa untuk mengkaji
pendidikan di Malaysia, daripada peringkat prasekolah sehingga
universiti amat dialu-alukan.
Penulis memuji usaha
Kementerian Pendidikan yang ingin melihat semula sistem pendidikan di
negara ini daripada peringkat akar umbi, prasekolah atau dirujuk juga
sebagai TADIKA atau TABIKA.
Zaman prasekolah adalah suatu tempoh amat penting untuk mendidik anak menjadi manusia yang berguna pada masa hadapan.
Apa
yang ingin penulis bincang dan cadangkan selain mengkaji kurikulum,
modul dan silibus prasekolah atau TADIKA, Kementerian Pendidikan juga
harus memberi perhatian kepada sistem pengurusan prasekolah swasta di
negara ini.
Prasekolah swasta juga dijadikan satu bentuk perniagaan yang menguntungkan kepada pihak tertentu.
Caj tambahan
Bagi
ibu bapa yang bekerjaya, menguruskan anak adalah satu cabaran besar dan
untuk memudahkan kerja, anak dihantar ke TADIKA yang turut memberikan
perkhidmatan day care.
Bayaran yang dikenakan sekitar RM550
hingga mencecah RM1,500 setiap bulan, namun ibu bapa sanggup membayar
kerana anak mereka dijaga dari segala segi, termasuk pelajaran dan makan
minum.
Lagi pun, menghantar anak ke mana-mana pusat
asuhan, prasekolah atau TADIKA adalah pilihan ibu bapa sendiri. Jadi,
anda pilih anda bayar.
Namun, apa yang menyebabkan penulis
kecewa adalah sikap pengurusan sesetengah TADIKA swasta yang menangguk
di air keruh. Mereka membebankan ibu bapa dengan pelbagai caj tambahan,
termasuk harga buku yang keterlaluan.
Percayakah jika
penulis menyatakan ada TADIKA di negara ini mengenakan bayaran RM980
untuk buku kanak-kanak yang hanya mahu digunakan bagi tempoh satu
penggal atau enam bulan?
Untuk dua penggal, harga berganda
menjadi RM1,960. Buku apa yang mereka gunakan sehingga mencecah ribuan
ringgit? Ketika belajar di universiti pun, penulis tidak pernah
menghabiskan wang sebanyak itu untuk membeli buku.
Ada juga TADIKA yang pandai dalam konsep 'pembingkaian' dan membuat program dalam program.
Maksudnya
ibu bapa membayar untuk khidmat pengajaran dan pembelajaran bagi tempoh
sebulan, kemudian pihak TADIKA muncul pula dengan idea menganjurkan
program lain dalam masa sama dengan sesi pembelajaran.
Program
seperti kem alam sekitar, drama dan sebagainya dianjurkan ketika
pengajaran dan pembelajaran, iaitu Isnin hingga Jumaat dan ibu bapa
harus membayar untuk anak mereka menyertai program itu.
Harga yang dikenakan pula bukan murah. Untuk satu program selama tiga hari, kos dikenakan RM150 hingga RM300.
Kesan psikologi
Persoalannya ialah ibu bapa sudah membayar bagi tempoh sebulan dan mereka perlu membayar sekali lagi untuk program sampingan.
Apabila
ditimbulkan persoalan apa akan jadi kepada anak yang tidak menyertai
program itu, jawapan yang diberikan ialah anak akan belajar seperti
biasa.
Adakah pihak berkenaan sedar perasaan anak yang
tidak menyertai kawan lain. Apa logiknya pihak TADIKA membuat program
menggunakan konsep pembingkaian tanpa mengambil kira kesan psikologi
yang bakal dihadapi anak kecil ini.
TADIKA swasta juga
berlumba-lumba memperkenalkan pelbagai silibus baharu dari serata dunia
dan yang pasti setiap satu silibus pelik ini harus disertai dengan
bayaran daripada ibu bapa.
Begitu juga dengan penganjuran
konsert kanak-kanak yang dibuat di tempat mewah. Ibu bapa terpaksa
membayar untuk kos pakaian, tiket masuk ke konsert untuk melihat
persembahan anak sendiri dan makanan.
Kemudian, ibu bapa
juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli gambar konsert disertai
anak mereka yang boleh mencecah RM5 sekeping.
Ibu bapa
membayar semua permintaan kewangan daripada TADIKA. Ada yang terpaksa
bayar disebabkan tidak mahu mencari masalah kerana jika menyoal logik
untuk segala pembayaran itu, mereka diminta untuk mencari TADIKA lain
yang lebih murah.
Percayalah, tiada ibu bapa mahu
menghantar anak mereka ke TADIKA baharu kerana ia bukan sahaja akan
memberikan kesan psikologi kepada anak kecil ini, tetapi kos untuk
berbuat demikian boleh mencecah sehingga RM2,500.
Ia
termasuk deposit, harga buku, insurans, pakaian seragam, beg, bahan
penjagaan badan, harga bahan lain dan segala jenis kos yang tidak masuk
akal.
Sifat kapitalis
Bukan semua ibu bapa mampu dan mahu membayar semahal itu untuk anak mereka, tetapi terpaksa kerana sudah terjebak.
Mereka
hanya bertahan dan berharap supaya anak segera menamatkan pendidikan
prasekolah dan ke sekolah rendah agar azab untuk menghantar anak ke
TADIKA yang bersifat kapitalis dapat ditamatkan dengan segera.
Diharap
usaha Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula sistem prasekolah di
negara ini dapat memartabatkan kelas sedemikian yang dianjurkan agensi
kerajaan sendiri seperti TABIKA Perpaduan.
Ia diharap dapat
mentransformasikan kelas berkenaan menjadi pusat pendidikan prasekolah
yang boleh menyelesaikan masalah ramai ibu bapa di negara ini.
Kementerian
Pendidikan juga dirayu melihat semula semua aspek yang membabitkan
TADIKA swasta di negara ini, bukan sahaja dari segi kurikulum, modul dan
silibus, tetapi juga kelayakan tenaga pengajar, bayaran dikenakan dan
sistem pengurusannya.
Semua langkah itu perlu untuk
menjadikan pendidikan prasekolah di negara kita sebagai pusat untuk
menimba ilmu asas serta melahirkan kanak-kanak yang mempunyai kehidupan.
Kita
tidak mahu kelas prasekolah dieksploitasi dan kanak-kanak yang
menyertai kelas berkenaan sebagai sebagai 'lubuk' untuk mengaut
keuntungan.
Jangan jadikan TADIKA lubuk kaut untung
Written By zabidi on Wednesday 11 July 2018 | 4:20 pm
Labels:
Artikel
Post a Comment