Oleh
Bermula dengan Perdana
Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga ke Perdana
Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang sebelum ini pernah
memegang jawatan sama antara tahun 1982 hingga 2003.
Sejak negara mencapai kemerdekaan pada
tahun 1957, tampuk pentadbiran negara dikuasai parti Barisan Nasional
tetapi selepas rakyat memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14,
9 Mei lalu,
skripnya berbeza apabila Pakatan Harapan berjaya menewaskan gabungan 13
parti komponen tersebut.
Di bawah pentadbiran baharu kerajaan,
banyak perubahan yang dilakukan oleh pasukan Mahathir. Antaranya
membatalkan atau menyemak semula projek-projek mega yang sebahagian
proses pelaksanaannya telah bermula pada zaman Perdana Menteri keenam,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara yang menjadi ‘mangsa’ perubahan
tersebut ialah projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 3 (MRT3)
bernilai kira-kira RM45 bilion. Rancangan pembangunan itu merupakan
kesinambungan projek MRT1 dan MRT2.
Projek MRT1 sepanjang 51 kilometer
menghubungkan Sungai Buloh-Kajang telah siap dan beroperasi sepenuhnya
tahun lalu manakala projek MRT2 sepanjang 52.2 kilometer antara Sungai
Buloh-Serdang-Putrajaya yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap
pada tahun 2022.
MRT3 iaitu projek terakhir bagi Projek
MRT Lembah Klang yang masih di peringkat perancangan dan pembangunan
bagaimanapun ia dibatalkan selepas kerajaan mengambil kira implikasi ke
atas ekonomi dan kewangan negara.
Selain itu, dua rancangan pembangunan
infrastruktur lain iaitu pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan
Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura)
pula dikatakan bakal mengalami nasib sama. Begitu juga Tun Razak
Exchange (TRX) yang turut mendapat tempias.
Bagaimanapun, selepas membuat semakan
dan penilaian semula berkenaan kos dan isu-isu berkaitan, kerajaan
bersetuju untuk meneruskan projek TRX dan ECRL manakala projek HSR akan
dikaji semula.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi
dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohd. Azlan
Shah Zaidi, perubahan pelaksanaan sesuatu projek atau dasar sememangnya
tidak dapat dinafikan apabila berlakunya pertukaran pucuk pimpinan.
“Konsepnya adalah sama di peringkat jabatan ataupun di peringkat jawatan tertinggi seperti di kedudukan Perdana Menteri.
“Apa yang saya nampak ialah
masing-masing mahukan sesuatu yang baik kepada negara tetapi mungkin
cara seseorang pemimpin melihat atau memproses sesuatu keadaan projek
itu dengan cara berbeza,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Jelasnya, sebagai perbandingan antara
dua pemimpin, Najib mahu melaksanakan pelbagai projek mega untuk
merancakkan pembangunan ekonomi negara tetapi Mahathir melihat
kebanyakan projek tersebut membebankan kewangan negara dan seterusnya
bertindak membatalkan atau membuat penilaian semula.
Nasib malang
Bagaimanapun, bukan hanya ‘projek
Najib’ menerima nasib malang tetapi perkara sama turut berlaku ketika
Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima pada tahun 2003
apabila beliau membatalkan beberapa projek yang dirancang di bawah
pentadbiran Mahathir.
Antaranya projek jambatan bengkok bagi
menggantikan Tambak Johor menghubungkan Malaysia-Singapura berharga
RM620 juta di sebelah Malaysia yang kerja-kerja awal telah pun
dijalankan.
Projek jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada
Projek Bersepadu Gerbang Selatan.
Alasan pembatalan tersebut dilakukan
bagi mengelak implikasi dan komplikasi undang-undang yang mungkin
berbangkit antaranya berkaitan permintaan Singapura untuk mendapatkan
bekalan pasir dan menggunakan ruang udara negara.
Selain itu, Abdullah turut
menangguhkan projek landasan kereta api elektrik berkembar sepanjang 636
kilometer menghubungkan Ipoh dengan Padang Besar dan Seremban dengan
Johor Bahru. Ia merupakan sebahagian rangkaian Kereta Api Trans-Asia
bermula di Singapura dan berakhir di Kunming, China.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan
Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Mohamad Noorizuddin Nooh,
penilaian semula terhadap projek pembangunan biasanya dipengaruhi oleh
polisi ekonomi yang diguna pakai oleh seseorang pemimpin itu selain
jangkaan kos kewangan pembangunan serta kos penyelengaraan projek pada
masa akan datang.
“Ahli ekonomi melihat polisi yang
diguna pakai oleh Mahathir adalah berbeza dengan Abdullah dan Najib. Ini
kerana Abdullah dan Najib dilihat lebih kepada penggunaan polisi
ekonomi fiskal untuk merancakkan kedudukan ekonomi negara.
“Sementara polisi yang digunakan oleh
Mahathir pula lebih kepada campuran antara polisi kewangan dan fiskal
menyebabkan pendekatan yang digunakan pemimpin tersebut berbeza,”
katanya.
Jelasnya, pembangunan serta
projek-projek mega banyak dilakukan melalui polisi ekonomi fiskal. Ia
bagi meningkatkan perbelanjaan agregat dalam ekonomi dengan mencipta
peluang lebih banyak peluang pekerjaan dengan perbelanjaan oleh
kerajaan.
Sementara polisi kewangan ialah dasar kerajaan yang dijalankan oleh Bank Pusat untuk mengawal penawaran wang dan kadar faedah.
Post a Comment