Headlines News :
Home » » Lambaian bayu Perhentian

Lambaian bayu Perhentian

Written By zabidi on Tuesday, 18 August 2020 | 11:33 am

HANYA mengambil masa sekitar 45 minit dari Jeti Kuala Besut, Terengganu ke Pulau Perhentian Kecil sememangnya terasa tenang apabila tiba di jeti pulau berkenaan. Mana tidaknya, air laut biru kehijauan menjadi hidangan mata!

Pengembaraan penulis bersama seorang sahabat baru-baru ini ke Pulau Perhentian Kecil selama tiga hari dua malam terasa tidak cukup kerana sehingga hari ini, penulis terasa rindu dengan bau laut dan juga ketenangan berada di pulau popular di Terengganu itu.

Jadi, penulis ingin kongsikan beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan jika berkunjung ke sana terutama dengan rakan-rakan memandangkan Pulau Perhentian Kecil begitu sinonim sebagai destinasi pulau untuk orang muda!

1.Penginapan di Long Beach

Destinasi ini adalah menjadi tumpuan orang ramai jika berkunjung ke Pulau Perhentian Kecil kerana di sini terdapat banyak hotel, chalet dan resort yang menawarkan pelbagai jenis harga mengikut kemampuan pengunjung.

Meskipun, amat terkenal sebagai kawasan yang padat dengan pengunjung, bagi mereka yang inginkan aktiviti pantai yang meriah pada waktu siang dan malam, Long Beach antara destinasi terbaik kerana di sini terdapat juga tempat melepak yang 'hidup' sampai melewati tengah malam.

Tidak sekadar itu, ia juga mempunyai pantai yang cantik dan bagi anda ingin berenang, ia juga menjadi destinasi yang menarik untuk melakukan aktiviti berkenaan.

PANORAMA marin ketika snookeling. FOTO: Hafiz Ithnin
PANORAMA marin ketika snookeling. FOTO: Hafiz Ithnin

2. Snorkeling

Bagi mereka yang inginkan aktiviti snorkeling, Pulau Perhentian Kecil mempunyai banyak operator yang menyediakan perkhidmatan membawa pengunjung ke destinasi melihat hidupan marin dari permukaan air.

Malah, berhampiran Long Beach juga terdapat lokasi snookling yang boleh dilakukan tanpa perlu pergi jauh.

Harga yang ditawarkan mengikut destinasi dan pakej tertentu. Misalnya penulis bersama sahabat memilih untuk mengunjungi dua destinasi sahaja iaitu Turtle Point dan Blue Lagoon.

Turtle Point adalah destinasi yang popular untuk melihat penyu. Boleh dikatakan sebaik sahaja kami berada berhampiran destinasi itu, sudah kelihatan beberapa ekor penyu.

Di Blue Lagoon juga agak menarik kerana terdapat banyak terumbu karang dan pelbagai jenis ikan seperti jinak bermain-main berhampiran kami.

3. Kincir Angin

Jika ke Pulau Perhentian Kecil jangan lupa untuk pergi ke destinasi wajib ini kerana ia adalah tempat paling menarik melihat panorama laut dari kaca mata burung.

Dari Long Beach ke Kincir Angin perlu melalui jalan denai yang mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit atau lebih. Ia bergantung kepada stamina anda untuk melalui jalan yang menawarkan pelbagai bentuk muka bumi itu. Kadang-kala rata dan berbukit.

Laluan ke sana juga agak mudah kerana terdapat papan tanda dan hanya ikut sahaja trek tunggalnya. Malah, pada sebelah petang khasnya memang ramai pengunjung ke sana.

Apabila tiba di puncaknya, terdapat kincir angin yang berpagar. Di sebelah kincir angin itu terdapat 'lubuk' bergambar tetapi diingatkan ia adalah tempat yang merbahaya kerana laluannya sudah rosak.

Jadi perlu berhati-hati jika ingin melalui jambatan menuruni ke jeti lama yang hampir runtuh.

LONG Beach menjadi tumpuan golongan muda. FOTO: Hafiz Ithnin
LONG Beach menjadi tumpuan golongan muda. FOTO: Hafiz Ithnin

4. Berkayak

Selain aktiviti snokel, anda juga boleh berkayak. Di Long Beach terdapat banyak operator menyediakan kayak untuk digunakan pengunjung dengan kadar harga yang agak berpatutan sama ada mengikut jam atau harian.

Penulis bersama sahabat berkayak dari Long Beach sehingga ke D'Lagoon iaitu terletak sedikit belakang dari tempat kami mula berkayak.

Dalam perjalanan ke D'Lagoon kami juga sempat singgah di jeti yang sudah roboh di bawah kincir angin untuk berenang.

Bagi penulis dan sahabat, aktiviti berkayak dan berenang berhampiran jeti itu adalah memori yang paling tidak dapat dilupakan kerana mengimbau semula waktu kami ketika di sama-sama aktif dalam aktiviti rekreasi semasa di universiti.

5. Melepak sambil menonton pertunjukan api

Pada sebelah malam, di Long Beach memang hidup kerana terdapat deretan tempat makan yang pelbagai. Dari meja sehingga duduk bersila. Anda pilih sahaja mengikut cita rasa.

Sambil melepak minum kopi dan bersembang, terdapat kedai yang menjadi tumpuan pemain api menunjukkan aksi mereka melakukan persembahan ekstrim itu sambil diiringi pelbagai rentak muzik.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER