Oleh
Brunei yang pada asalnya juga
dirancang bagi menjadi anggota persekutuan, tidak menyertainya pada
saat-saat akhir. Singapura keluar daripada Persekutuan pada Ogos 1965
kerana masalah yang sukar diselesaikan.
Malaysia yang ada sehingga pada hari ini
terdiri daripada negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan
Sarawak. Persekutuan Malaysia tidak terbentuk dengan sendirinya, tetapi
melalui satu proses yang mempunyai hubungan dengan faktor perkembangan
politik dalaman dan juga percaturan politik antarabangsa.
Adakah pembentukan Persekutuan Malaysia hanya
dapat difahami dengan hanya memahami perkembangan dan keperluan politik
dalaman sahaja? Memadaikah memahami bagaimana ia dibentuk hanya dengan
memahami politik yang berlaku di peringkat domestik semata-mata?
Adalah tidak mungkin seseorang itu dapat
memahami proses pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 hanya dengan
memahami perkembangan politik dalaman tanpa menghubungkannya dengan
hubungan antarabangsa dan politik serantau Asia Tenggara yang berlaku
dalam tahun-tahun awal 1960-an, ketika persekutuan dibentuk.
Masalah politik yang berlaku di Singapura
tidak dinafikan menjadi asas dan permulaan yang penting dalam memahami
idea pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Adakah masalah politik yang
berlaku di Singapura mampu menerangkan secara jelas dan menyeluruh?
Jawapanya tidak memadai.
Walaupun perkembangan Barisan Sosialis yang
condong dan dipengaruhi unsur-unsur komunis serta kedudukan Parti
Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang terancam adalah faktor
penting untuk dijadikan asas penyatuan Singapura dan Persekutuan Tanah
Melayu. Kedudukan PAP berada dalam ancaman dan berbahaya apabila
pengaruh serta kedudukan Barisan Sosialis semakin kuat di Singapura.
Dalam Pilihan Raya Kecil Hong Lim pada April
1961, calon Barisan Sosialis yang dikatakan telah dipengaruhi ideologi
komunis mendapat kemenangan besar. Calon PAP hanya mendapat sebanyak
2,820 undi, manakala calon Barisan Sosialis, Ong Eng Guam mendapat 7,747
undi.
Majoriti diperolehi calon Barisan Sosialis
adalah 4,927 undi iaitu satu jumlah majoriti besar. Pencapaian ini amat
berbahaya bagi PAP dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Penduduk
Singapura yang terdiri daripada majoriti penduduk daripada kaum Cina
dipercayai akan mudah dipengaruhi pihak komunis.
Sekiranya perkembangan politik ini tidak
disekat maka kedudukan PAP yang pro-Barat dan anti-komunis akan berada
dalam keadaan sangat bahaya. Kemenangan Ong Eng Guam bukan hanya dilihat
kepada kemenangan calon Barisan Sosialis, tetapi sebagai kemenangan
puak yang menyokong komunis dan tamparan kepada puak PAP yang pro-Barat.
Bagaimana kedudukan politik PAP di Singapura
ini mungkin boleh diselamatkan? Jalan mudah adalah menggabungkan
Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Kedudukan sosio-budaya dan
struktur penduduk Tanah Melayu yang majoritinya terdiri daripada bangsa
Melayu akan lebih sukar dipengaruhi dan dikuasai ideologi komunis.
Darurat yang bermula dari tahun 1948 adalah
bukti gagalnya pihak komunis dalam usaha menguasai politik Tanah Melayu
dengan perisytiharan berakhirnya darurat dalam tahun 1960. Andainya
Barisan Sosialis menguasai sebahagian besar kawasan Parlimen di
Singapura, kekuatan Parti Perikatan yang anti-komunis di Tanah Melayu
akan dapat mengimbanginya.
Atas dasar ini gabungan dengan Tanah Melayu
adalah sangat penting bagi menjamin Singapura terselamat daripada
dikuasai pengaruh komunis. Dalam masa sama, kedudukan Tanah Melayu yang
terlalu dekat dengan Singapura juga tidak akan selamat dan terancam jika
ditakdirkan Singapura dikuasai komunis.
Membentuk
Bagaimanapun, Tunku tidak boleh hanya
menerima gabungan Singapura dan Tanah Melayu sahaja kerana persoalan
imbangan kaum antara Melayu dan bukan Melayu serta jaminan masa depan
politik orang Melayu. Tunku berpendapat kedudukan politik didominasi
orang Melayu akan terancam jika Tanah Melayu yang bergabung dengan
Singapura kerana kaum bukan Melayu menjadi penduduk majoriti dalam
gabungan baru ini.
Bilangan penduduk bukan Melayu adalah
berjumlah 3,424,351 orang iaitu lebih besar daripada jumlah penduduk
bangsa Melayu yang berjumlah 3,322,554 orang.
Ini boleh melemahkan dan menghakis kuasa
politik orang Melayu sekali gus memberi kesan buruk kepada penguasaan
jangka panjang politik Melayu. Persoalan ini dilihat penting kerana
Tanah Melayu merdeka 1957 adalah kerana ingin mengembalikan semula kuasa
politik kepada orang Melayu.
Secara tersirat Perlembangaan Persekutuan
mempunyai falsafah kepada pembentukan one state one nation dalam jangka
panjang atau paling tidak kedudukan kuasa politik Melayu yang kuat dan
terjamin dalam Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Unsur yang mungkin
memberi kesan buruk kepada persoalan ini perlu diambil berat.
Tunku mempunyai cadangan membentuk gabungan
lebih besar iaitu meliputi semua wilayah British di pulau Borneo, iaitu
Sabah, Sarawak dan Brunei. Tunku boleh menerima gabungan antara
Singapura dan Tanah Melayu membentuk Malaysia jika wilayah British di
Borneo turut serta. Ketika awal tahun 1960-an, wilayah-wilayah British
di pulau Borneo ini masih belum merdeka.
Tunku mencadangkan agar semua wilayah British
yang belum merdeka ini perlu diberikan kemerdekaan dan menjadi anggota
Persekutuan Malaysia yang bakal dibentuk. Gabungan wilayah-wilayah
British di Borneo ini perlu bagi membentuk kesimbangan penduduk yang
stabil antara kaum-kaum bumiputera dan kaum bukan Melayu.
Sila rujuk jadual di bawah bagi melihat
imbangan penduduk secara terperinci. Dengan gabungan wilayah British di
pulau Borneo, penduduk Melayu dan bumiputera menjadi kumpulan penduduk
majoriti. Penduduk asal di Sabah, Sarawak dan Brunei mempunyai banyak
persamaan dengan orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. Ini akan
mampu membentuk imbangan kaum dan mampu membentuk kekuatan politik
Melayu yang lebih dominan serta kestabilan politik Melayu yang
didominasi oleh orang Melayu dan bumiputera.
Dalam memahami pembentukan Persekutuan
Malaysia 1963, ia tidak dapat dipisahkan daripada percaturan kuasa
politik yang bersifat bipolar iaitu Perang Dingin yang berlaku antara
pihak komunis-sosialis dan demokrasi-kapitalis.
Generasi kini harus memahami hubungan antara
perkembangan politik antarabangsa dan percaturan politik dalaman.
Sambutan 16 September perlu disematkan dalam hati generasi kini. Ia
bukan hanya sekadar merayakan 16 September setiap tahun, tetapi jauh
lebih penting roh kesedaran mempertahankan persekutuan.
Apa saja yang boleh melemahkan kekuatan
Persekutuan Malaysia mesti dibendung. Usaha perlu dilakukan bagi
membentuk hubungan yang lebih rapat khususnya antara Sabah, Sarawak dan
negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu.
Gerakan-gerakan seperti Sabah Sarawak Keluar
Malaysia (SSKM) harus dibendung dan disekat. Apa yang berlaku di Sudan
(pembentukan Sudan Selatan dan Sudan Utara), pemisahan Timor Leste dari
Indonesia harus diteliti.
Aktor utama dan struktur kuasa yang
mendominasi politik antarabangsa harus difahami dengan teliti. Dalam
masa yang sama, usaha bagi mengukuhkan hubungan antara anggota
persekutuan perlu diperkuatkan dari semasa ke semasa. Membina dan
menguatkan negara adalah tugas semua warganegara.
Penulis ialah pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah, (UMS).
Post a Comment