Oleh
Agak mengejutkan apabila pihak
polis baru-baru ini mendedahkan ramai yang jatuh muflis akibat mengejar
cinta sejati bila wanita tempatan dikatakan sanggup kehilangan RM83.6
juta sepanjang lapan bulan pertama tahun ini di tangan kekasih siber
yang tidak dikenali dan tidak pernah jumpa. Jumlah kerugian yang cukup
besar ini sekali gus menunjukkan wanita kita sanggup berkorban apa saja
tanpa menyiasat sepenuhnya latar belakang lelaki yang dikenali di alam
siber.
Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah
Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit
Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail, berdasarkan statistik yang mereka
peroleh jumlah kes membabitkan kegiatan ini terus mencatatkan
peningkatan membimbangkan.
Pada 2017, sebanyak 1,652 kes Love Scam
dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM61.9 juta di seluruh
negara. Bagaimanapun jumlah kes tersebut yang direkodkan bagi tempoh
Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan angka yang cukup membimbangkan
apabila mencatatkan 1,301 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM83.6
juta.
Walaupun bilangan kes kelihatan rendah namun
jumlah kerugian besar ini amat menggusarkan dan wajar membuka mata semua
pihak supaya segera bertindak mengatasinya.
Pihak berkuasa sudah banyak kali mengingatkan
tentang modus operandi sindiket ini iaitu, media sosial terus menjadi
lubuk untuk penjenayah memancing mangsa. Biasanya mereka akan
menggunakan Facebook untuk berkenalan dengan golongan wanita yang
dipilih secara rawak.
Dengan berbekalkan ayat cinta mereka
mengumpan mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita
yang memiliki karier profesional mahupun suri rumah yang kesunyian.
Sindiket ini akan bijak menggunakan kata-kata
sehingga akhirnya mangsa percaya sepenuhnya dan sanggup membuat apa
saja yang diarahkan. Paling biasa mangsa akan diminta memberikan
sejumlah wang sama ada secara terus atau melalui panggilan telefon
daripada individu lain yang kononnya mahu memberi bungkusan, namun
barangan itu berada dalam tahanan pihak berkuasa sebelum diminta membuat
bayaran penebusan.
Sudah terlalu banyak kes seperti ini didedahkan selama ini yang sepatutnya menyedarkan masyarakat.
Antara beberapa kes terbaru adalah seorang
pengurus kanan syarikat hartanah kerugian RM100,000 selepas berkenalan
dengan lelaki mendakwa warga Eropah yang dikenalinya melalui Facebook
April lalu dan kemudian berhubung melalui WhatsApp. Mangsa ditipu
apabila dikatakan hadiah yang dikirim bernilai lebih RM1,000,000 ditahan
pihak kastam dan perlu dibayar cukai sebanyak RM100,000.
Jelas masalah ini semakin serius dan
memerlukan tindakan segera semua pihak. Kita percaya pihak berkuasa
sudah melakukan kerja mereka dengan baik namun apakan daya semua kes
hanya dilaporkan selepas mangsa menyerahkan duit kepada penjenayah
tersebut menyebabkan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pihak
berkuasa.
Justeru setiap seorang daripada kita perlu
memainkan peranan supaya dapat mencegah kejadian ini terus berulang.
Tidak logik untuk kita percaya mereka mengirim hadiah dengan nilai yang
begitu tinggi dan kita perlu bayar untuk tebus hadiah tersebut. Ingat,
ramai lagi lelaki tempatan yang baik, jujur dan budiman yang boleh
dipilih sebagai teman hidup.
Semoga golongan wanita akan ambil iktibar dan
segera sedar supaya kita dapat mencegah sindiket ini dari terus
berleluasa dan memperdaya wanita tempatan. Cukup-cukuplah jumlah
kerugian yang dialami dan bilangan kes yang dilaporkan selama ini.
Post a Comment