SEMENJAK
kehadiran anak angkat, Nur Tiara Zinnirah Nasir sekitar Ramadan lalu
dalam hidup pasangan suami isteri, Achey dan Nor Hasanah Yahaya, aneka
haruman debunga kasih sayang yang mewangi dalam kehidupan mereka.
“Ya, masih lagi berusaha (untuk
mendapatkan anak sendiri). Namun, saya dan orang rumah tidak mahu
tertekan mahupun terkejar-kejar dalam urusan mendapatkan anak sendiri.
“Kehadiran Tiara dalam hidup kami pun datang
secara tiba-tiba. Namun, kami amat bersyukur dengan kurniaan ini. Dia
akan kami besarkan seperti menatang minyak yang penuh,” ujar Achey
ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran produk kosmetik, Dyxy di ibu negara baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Achey berkata, banyak
pengalaman baharu yang ditempuhinya bersama isteri dan anak angkatnya
sehingga baginya pada waktu sekarang, dia hanya ingin memberi fokus
penuh melihat puterinya itu membesar.
“Tiara sudah berusia tiga bulan, macam-macam
perkara yang saya lalui. Tidur lewat malam sehingga pukul 4 pagi, itu
satu kebiasaan dan saya tidak mahu tertinggal momen ini.
“Saya bersyukur. Harapnya apabila
diperkenankan hasrat oleh Tuhan untuk menimang anak sendiri, saya tidak
akan kekok dalam menguruskan hal anak kecil.
“Saya dan isteri tetap berjumpa doktor.
Doktor berpesan supaya masing-masing jaga pemakanan dan bersenam. Paling
penting sekali jangan tertekan,” katanya.
Andai tidak berjaya untuk mendapatkan anak
sendiri tahun depan atau tahun-tahun mendatang, Achey berkata, dia tidak
menolak kemungkinan untuk menambah anak angkat.
“Saya mahu anak banyak. Kalau boleh saya
mahu 10 orang cahaya mata. Kalau ada rezeki, saya akan ambil lagi anak
angkat sama ada diperkenankan hasrat dapat anak sendiri atau tidak.
“Rezeki saya semakin bertambah dengan
kehadiran Tiara. Alhamdulillah, semoga anak ini membesar dengan
sempurna. Saya dan isteri akan memberikan yang terbaik,” kongsinya.
Instagram percuma
Tiara kini mempunyai Instagram sendiri
dengan jumlah pengikut melebihi 100,000 orang. Kata Achey, dia tidak
mahu akaun Instagram anaknya itu dijadikan medium untuk mengeksploitasi
keuntungan.
Dengan itu, Achey bersama isterinya
bersepakat membantu mereka yang memerlukan dari sudut promosi produk
secara percuma melalui akaun berkenaan.
“Ada individu yang memohon untuk melakukan
rebiu produk lada di Instagram Tiara, kami terima dan tidak mengenakan
sebarang bayaran.
“Apa yang lebih utama andai mereka sentiasa
mendoakan Tiara berada dalam keadaan yang baik. Kami tidak terima wang
ringgit kerana bagi kami doa lagi penting. Apatah lagi, akaun saya dan
isteri sudah digunakan untuk tujuan sebegitu (rebiu produk berbayar dan
promosi),” jelas Achey.
Ditebak pertanyaan berkenaan cara
membesarkan Tiara dalam suasana glamor atau kemewahan, Achey berkata,
dia tidak akan berbuat demikian, sebaliknya lebih ke arah kesederhanaan.
“Saya dan orang rumah akan beri apa yang dia
perlu, bukan apa yang dia mahu. Saya tidak mahu dia membesar dengan
tanggapan cahaya glamor itu seronok.
“Apa yang kami lalukan, dekatkan dia dengan
suasana sederhana seperti sentiasa pulang ke kampung halaman di Ijok,
Kuala Selangor,” ujar Achey lagi.
Sementara itu, dedah Achey, dia mempunyai alternatif sendiri apabila isterinya gagal menghasilkan susu badan sendiri.
“Isteri saya berusaha untuk memberikan susu
badan untuk anak angkat, namun kurang berjaya. Jadi, doktor sarankan
agar berhenti kerana risau akan menjadi punca kanser payudara.
“Pilihan lain yang saya ada hanyalah kakak
saya, Nordiana. Dia kebetulan sedang menyusu badan, jadi dialah ibu
susuan Tiara sekarang.
“Selain itu, biras saya pun menjadi ibu
susuan Tiara. Jadi tiada masalah untuk halalkan hubungan Tiara dan
keluarga kami. Kedua-dua keluarga muhrimnya,” kata Achey.
Kongsinya, urusan untuk menghalalkan Tiara
dan keluarganya sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan sehingga dia
merujuk pandangan ustaz.
“Saya mendapatkan pandangan ustaz dan mufti
berhubung perkara ini sebab ia sangat merisaukan saya. Menurut mereka,
Tiara perlu sekurang-kurangnya lima kali puas susuan. Syukur kerana dia
sudah dapat lapan kali susuan.
“Urusan ini selesai pada Aidiladha lalu dan
semuanya berjalan lancar. Tiara sudah jadi darah daging saya,” ujar
Achey menutup bicara.
Achey yang mengambil anak angkat pada Ramadan
lalu bernama Nur Tiara Zinnirah Nasir selepas lapan tahun mendirikan
rumah tangga bersama isteri, Nor Hasanah Yahaya lega apabila isu ibu
susuan selesai, sekali gus anaknya itu sudah menjadi darah daging
mereka.
Post a Comment