Headlines News :
Home » » Untung sabut filem Malaysia

Untung sabut filem Malaysia

Written By zabidi on Tuesday 11 September 2018 | 2:40 pm

PEMBIKINAN filem boleh menerbitkan pelbagai genre naskhah, bagaimanapun belum tentu jika menggunakan formula yang sama sesebuah karya akan memperoleh kutipan pecah panggung.
Tagline Wakanda Forever yang menjadi dialog dalam filem ikonik pecah panggung tahun ini yang masih ditayangkan, Avengers: Infinity War dengan kutipan luar biasa sebanyak RM2.7 bilion merupakan sepotong ayat sarkal yang mudah dihadam. Wakanda Forever menjadi tular di seluruh dunia.

Ironinya, Wakanda hanyalah sebuah negara fiksyen yang diwujudkan oleh Marvel Comics buat adiwira Black Panther yang ikut masuk beradu dengan lebih 15 karakter lain dalam naskhah arahan Anthony Russo dan Joe Russo itu. Bagaimanapun, kuasa sebuah filem untuk mewujudkan kepercayaan terhadap medium visual dan penceritaan yang mereka bikin ternyata mampu ‘merasuk’ penonton.

Avengers: Infinity War hanya satu daripada puluhan ribu naskhah filem antarabangsa yang telah menyihir penonton dengan persembahan mereka. Dalam filem, tidak ada satu garis yang menjadi tabu, tetapi semuanya okey dan lulus dengan cemerlang kerana mengguna pakai filem adalah sebuah seni, dan seni terlalu subjektif untuk dinilai sebagai buruk juga molek.

Namun, tidak semua naskhah yang dihasilkan sama ada menggunakan teknologi paling moden atau pemain panggung paling hangat mampu menjadi sebuah filem pecah panggung. Tidak ada formula tertentu yang mengatakan sesebuah naskhah akan laris manis saat ia mula ditayangkan sama ada ia berteraskan cinta, kehidupan atau fiksyen.

Di Malaysia, menonton naskhah yang diisi padat dengan intrik gengsterisme kemudian musim segalanya berkaitan mistik dan hantu sebelum kononnya mendalami pula kehidupan mat rempit pernah meledakkan pasaran sinema tempatan. Filem yang menjual cinta jangan cakap berapa banyak dihasilkan sepanjang tahun.

Filem terbitan Shaw Brothers, Adik Manja memegang rekod kutipan paling tinggi pada tahun 1980-an, sebanyak RM3.5 juta. Sembilu 2 pula memegang rekod filem kutipan tertinggi pada era 1990-an (ditayangkan pada tahun 1994) dengan kutipan sebanyak RM6 juta, sebelum Lagi Lagi Senario menyemarakkan pasaran filem milenium dengan kutipan sebanyak RM6.3 juta pada 2001. Pada tahun-tahun berikutnya, kutipan filem tempatan menyaksikan filem bersifat aksi seperti Polis Evo mengutip sebanyak RM17.47 juta dan gabungan dua gergasi iaitu Skop Productions dan Astro Shaw pada tahun 2017 menerusi filem Abang Long Fadil 2 menyaksikan pulangan yang lumayan iaitu RM18.14 juta.

Itu hanya sekadar beberapa rekod naskhah tempatan dalam pelbagai genre. Kutipan tiket bernilai belasan juta disifatkan sebagai luar biasa untuk pasaran filem Malaysia sekarang. Sementelah, tidak ada satu analogi yang tepat dalam memberi justifikasi sama ada filem aksi tersebut laris kerana barisan aktornya, pengucapan dialog atau itulah yang disebut untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Namun, menurut pemilik syarikat produksi MIG Production Sdn. Bhd. David Teo yang pernah mencetak keuntungan sehingga RM8.18 juta menerusi filem seram Ngangkung pada 2010, corak pasaran filem tempatan pada masa ini sudah ‘tidak cantik’. Masakan tidak, sejak 2014 sehingga 2017, David mengaku mengalami kerugian sebanyak RM15 juta dalam penerbitan filem.

Pilih digital

“Industri kreatif berubah dari masa ke masa. Formula yang diguna pakai tujuh tahun dahulu sudah tidak relevan dengan corak tontonan peminat filem di Malaysia. Sekarang penonton lebih berminat menonton filem secara digital berbanding ke panggung wayang.

“Selain faktor penapisan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem yang saya kira sudah tidak relevan, faktor ekonomi memainkan peranan menyebabkan penonton berkira-kira untuk ke panggung wayang. Penggiat seni tidak bebas berkarya kerana penapisan yang ketat. Penonton terutama anak mula beralih ke platform digital yang lebih terbuka berbanding filem di panggung wayang.

“Semua faktor di atas memberi kesan secara tidak langsung kepada kejatuhan jumlah penonton di pawagam. Jika dahulu 100 buah filem ditayangkan 50 judul akan mengaut keuntungan, 30 judul akan bawa pulang modal dan 20 filem rugi. Hari ini situasinya berbeza, daripada 100 buah filem yang ditayangkan 98 buah filem akan mengalami kerugian,” kata David.

Sebagai orang lama yang sudah masak dengan sifir untung rugi dalam bisnes yang dijalankan, David juga mengaku selaras perubahan kerajaan baharu, beliau lebih senang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum kembali melaburkan modal dalam filem seterusnya. Justeru itu, penerbit yang menerbitkan empat buah filem pada tahun lalu belum memulakan sebarang penggambaran filem pada tahun ini.

“Saya mahu menunggu dasar-dasar dalam industri kreatif yang bakal dikeluarkan oleh kerajaan baharu. Namun, saya sudah mempunyai empat skrip filem dan hanya menunggu masa sesuai untuk menjalani penggambaran,” ujar David.

Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof yang telah mengarah lebih 10 buah filem turut bersetuju dengan kenyataan David. Kerugian adalah satu risiko yang perlu diterima semua penerbit filem di seluruh dunia.

Syamsul yang pernah mengarah filem pecah panggung Munafik pada 2016 dan berjaya mengutip RM17 juta mendedahkan modal yang relevan dengan keadaan semasa dan pasaran kecil di Malaysia adalah RM1.5 juta. Jika modal yang digunakan lebih besar daripada itu pihak penerbit berdepan risiko yang tinggi.

“Kos yang relevan hanyalah RM1.5 juta, tetapi penonton Malaysia mahu filem berkualiti dan ia datang dengan pakej modal yang besar serta proses pembikinan yang lama. Saya sendiri menggunakan modal lebih daripada itu kerana mahu kualiti dan kepuasan bukan sahaja buat penonton, tetapi juga diri sendiri,” kata Syamsul yang bakal muncul dengan filem Munafik 2 pada 30 Ogos depan.

Jelas pewaris kepada syarikat produksi yang paling banyak mencetak naskhah hit yang dimiliki oleh bapanya, Datuk Yusof Haslam, formula membikin filem mengikut trend atau meletakkan pelakon popular dalam sesebuah karya juga tidak menjamin kejayaan sesebuah filem. Hal itu dibuktikan dengan beberapa buah filem Hollywood dan Bollywood yang meletakkan pelakon kelas A, tetapi tetap gagal menarik penonton ke pawagam.

“Filem bagaimana yang penonton mahukan bersifat subjektif. Orang kita selalu kata penggiat filem tempatan tidak kreatif kerana asyik menghasilkan filem genre sama seperti seram dan cinta. 

Walaupun genre filem diulang pakai, tetapi olahan setiap filem berbeza. Mengikut kajian saya penonton tempatan bukan menolak filem tempatan, tetapi mereka muak menonton filem yang tidak berkualiti.

“Penonton juga tidak kisah siapa pengarah dan pelakon sesebuah filem. Mereka hanya mahu filem yang ditonton berbaloi dengan wang dan masa yang dihabiskan,” ujarnya.

Dan sebagai sebuah hasil seni yang disifatkan subjektif, penerbit masih gagal menebak dengan busar panah yang tepat tentang naskhah yang mereka hasilkan pasti mendapat pulangan lumayan.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER