Oleh
Namun ramai tidak menyedari
kemerdekaan Malaysia saling berkait rapat dengan peranan ulama.
Berdasarkan catatan sejarah, untuk mendapatkan tarikh ‘kebebasan’ itu,
Tunku Abdul Rahman telah mendapatkan pandangan seorang ulama bernama
Sheikh Abdullah Fahim Sheikh Ibrahim, datuk kepada bekas Perdana Menteri
Malaysia yang ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Siapakah Sheikh Abdullah Fahim? Beliau yang
berdarah campuran Arab-Pattani dilahirkan di Kota Suci Mekah pada tahun
1869. Namun, ada pendapat mengatakan beliau dilahirkan di Kampung Kubur
Panjang, Padang Terap, Kedah. Ayahnya, Sheikh Ibrahim Tahir adalah guru
di Masjidil Haram. Sheikh Ibrahim telah berhijrah dari Pattani ke Kedah
dan kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Mekah ketika berlakunya Perang
Pattani-Siam (1830-an).
Ramalan
Ketika Sheikh Abdullah Fahim di Mekah,
beliau telah mempelajari pelbagai ilmu agama termasuk falak sebelum
pulang Tanah Melayu pada tahun 1921. Mufti Pulau Pinang itu kemudian
telah kembali ke tanah air atas semangatnya untuk memperjuangkan tanah
air daripada terus ditakluk penjajah British.
Tokoh hebat itu juga dikatakan memiliki
keistimewaan yang sangat mengagumkan iaitu bijak meramalkan sesuatu.
Berdasarkan satu penulisan, kehebatan Sheikh Abdullah Fahim dalam ilmu
falak telah membuatkan Tunku Abdul Rahman mengguna pakai dua buah
fikirannya iaitu:
* Rombongan ke London digalakkan tidak
menggunakan kapal terbang sebaliknya kapal laut. Rasionalnya, para
delegasi mempunyai masa yang panjang dan cukup untuk mengadakan
perbincangan lanjut.
* Tokoh agama itu juga telah menetapkan 31 Ogos 1957 sebagai hari paling sesuai diumumkan tarikh kemerdekaan negara.
Sheikh Abdullah Fahim pada asalnya telah mencadangkan dua tarikh iaitu pada 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962.
Mengapa 31 Ogos 1957 tarikh yang dipilih?
Kata pendakwah tersohor itu, ia memandangkan segala usaha dan perjuangan
penduduk sudah tiba di kemuncaknya. Beliau menyebut dalam bahasa Arab, am khir atana yang bermaksud tahun baik telah datang kepada kita iaitu pada hari Sabtu, 31 Ogos 1957.
Sheikh Abdullah Fahim turut berpesan, jika
pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak dipersetujui British pada
tarikh berkenaan, maka pada tahun-tahun berikutnya (sebelum tahun 1962),
adalah tidak baik untuk orang Melayu mengisytiharkan kemerdekaan.
Apabila pemuda UMNO berhasrat mahu melakukan
huru-hara jika British menghalang Tanah Melayu merdeka pada tarikh
tersebut, beliau secara tegas telah melarang kumpulan itu berbuat
demikian sebaliknya meminta mereka bersabar sehingga lima tahun lagi
iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962. Nasihat Sheikh Abdullah Fahim
ditaati dan akhirnya, Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.
Berdasarkan penyelidikan bertajuk Peranan Tokoh Islam Dalam Menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu,
seorang guru dari Sekolah Agama Daeratul Ma’rif Al Wataniah, Kepala
Batas, Pulau Pinang mendedahkan, Sheikh Abdullah Fahim telah menggunakan
alat astrolabe bagi menghitung pergerakan cakerawala dan buruj-buruj bintang untuk mendapatkan tarikh sesuai negara bebas daripada penjajah.
Berdasarkan pengiraan ulama itu, pada malam
kemerdekaan, empat buruj sedang berada di ufuk barat sejurus terbenam
matahari pada pukul 7.19 malam, 30 Ogos 1957. Ia terdiri daripada Buruj
Scorpius (kala jengking), Buruj Libra (dacing), Buruj Virgo (anak dara)
dan Buruj Kapal Layar.
Terdapat juga dua buah planet yang sangat
terang pada ketika itu iaitu musytari (kecerahan 100 peratus) dan Zuhrah
dengan kecerahan 79 peratus berhampiran Buruj Kapal Layar. Bulan pula
tepat berada di dalam buruj Libra.
Nasihat ulama
Sheikh Abdullah Fahim juga pernah
memberitahu Tunku Abdul Rahman bahawa selepas lima tahun Tanah Melayu
merdeka, negara akan bertukar nama. Barangkali benar atau secara
kebetulan, ramalan berdasarkan ilmu firasat ulama itu, nama Tanah Melayu
telah ditukar kepada Malaysia, lima tahun selepas merdeka.
Ketokohan Sheikh Abdullah Fahim tidak
terhenti setakat di situ sahaja. Sebagai seorang yang sangat cintakan
bangsanya, beliau mahu melihat perpaduan dalam kalangan orang Melayu
tidak hanya dipupuk di Tanah Melayu sahaja malah meliputi Indonesia.
Beliau pernah melontarkan slogan berbunyi: ‘Hidup Melayu dan Malaya, Merdeka Indonesia dan Malaya sebagai saudara kembar.’ Meskipun, hasratnya tidak tercapai, sekurang-kurangnya kata-katanya telah menaikkan semangat mereka hidup sezaman dengannya.
Sesungguhnya, Sheikh Abdullah Fahim telah
meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pun demikian, segala idea dan
nasihatnya sebagai pendakwah yang dihormati masih digunakan untuk
menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.
Sebagai ulama, segala kata-kata dan buah
fikirannya diyakini bebas daripada sebarang kepentingan diri serta
mendapat petunjuk dari Yang Maha Esa.
Diharap, para pemimpin zaman kini akan terus mengambil kira pandangan pendakwah agama dalam memimpin negara.
Post a Comment