Oleh Prof Madya Dr Mohd Fadzil Akhir
HARI
ini, genap lima tahun kapal terbang MH370 yang membawa 239 penumpang
dari Kuala Lumpur menuju Beijing, hilang dari radar dan sehingga kini
tiada sebarang petanda ia akan dijumpai. Walaupun sebahagian besar
rakyat Malaysia masih percaya ada konspirasi di sebaliknya, hingga kini
belum ada sebarang petunjuk jelas yang mampu membantu usaha pencarian.
Pada awalnya, ramai menjangka misteri ini bakal terjawab dalam masa
yang singkat. Amat mustahil pesawat sebesar Boeing 777 itu boleh hilang
daripada pengetahuan dengan mudah. Malangnya, semakin panjang hari
pencarian berlangsung, semakin tipis harapan untuk menjumpai pesawat itu
yang dikatakan terhempas di bahagian selatan Lautan Hindi.
Yang
menjadikan pencarian semakin sukar adalah lokasi terbabit antara
kawasan laut yang paling terpencil dan jarang dilalui manusia.
Kedudukannya yang paling hampir dengan daratan adalah bandar Perth,
Australia, terletak sejauh 7,000 kilometer (km) yang juga antara bandar
terpencil di dunia.
Cabaran terbesar hadkan pergerakan
Urusan
logistik kapal terbang dan kapal pencari adalah cabaran terbesar pada
masa itu yang banyak mengehadkan pergerakan. Maka, selepas beberapa
minggu, pencarian secara fizikal dihentikan tanpa sebarang petunjuk.
Bagaimanapun,
sepanjang tempoh pencarian, teknologi dan sains menjadi medium paling
ampuh dalam mencari jawapan kepada usaha ini. Di sepanjang proses
pencarian ini, pelbagai teknologi terkini telah dikedepankan. Yang
paling awal adalah usaha syarikat satelit dari Britain iaitu Inmarsat
yang menganalisis data satelit mereka menggunakan formula baharu yang
tidak pernah digunakan sebelum ini.
Perkataan seperti
‘ping’ dan ‘signal handshake’ menjadi terma yang sering diungkap dalam
menjelaskan bagaimana data satelit ini membaca pergerakan rawak kapal
terbang berkenaan sehinggalah mereka memutuskan di manakah lokasi
terakhir ‘ping’ itu diterima.
Teknologi SONAR makan masa lama
Lokasi itu kemudiannya menjadi rujukan kepada proses pencarian lebih terperinci.
Penggunaan teknologi terkini berdasarkan kepada lokasi berkenaan,
proses carian utama dilaksanakan menggunakan teknologi SONAR untuk
membuat pemetaan dasar laut.
Ia adalah satu proses yang sangat
perlahan dan memakan masa lama. Proses pemetaan ini merangkumi kawasan
seluas 120,000km persegi. Keluasan ini mencecah keluasan hampir sama
dengan Semenanjung Malaysia.
Malangnya, proses yang memakan
masa 27 bulan dan belanja hampir RM500 juta itu diberhentikan kerana
gagal memberi sebarang jawapan.
Penemuan terbesar dan
paling mengejutkan adalah serpihan ‘flaperon’ iaitu sebahagian daripada
komponen sayap pesawat MH370 di Pulau Reunion, terletak sekitar 10,000km
dari kawasan carian. Ia adalah yang pertama seumpamanya ditemui selepas
16 bulan kejadian berkenaan berlaku.
Pihak Perancis,
empunya pulau itu mengambil tanggungjawab menjalankan kajian kebersahan
terhadap serpihan itu. Ternyata nombor siri komponen itu serupa dengan
yang dimiliki MH370. Tiada siapa yang mampu mengesahkan bagaimana ia
boleh bergerak sejauh itu.
Bagaimanapun, teknologi simulasi
pergerakan arus lautan dibangunkan secara bersama oleh Universiti
Malaysia Terengganu dan Universiti of Western Australia. Ia menjelaskan
secara saintifik bagaimana serpihan itu dapat hanyut begitu jauh hingga
ke kawasan berkenaan, sekali gus memberi harapan baharu kepada usaha
pencarian.
Sistem simulasi komputer ini menggunakan
algoritma matematik dalam membuat ramalan mengenai pergerakan arus laut
dalam tempoh dua tahun ke hadapan. Ia dibangunkan bagi menjejaki
pergerakan serpihan dengan andaian sekiranya serpihan itu ditemui di
tempat yang dicari, ke mana arus Lautan Hindi akan membawa ia pergi?
Susulan
penemuan itu, beberapa serpihan lagi dijumpai di sekitar kawasan
berhampiran termasuk serpihan terbesar yang ditemui di Tanzania. Namun,
setiap maklumat ini hanyalah sebagai petunjuk yang mungkin boleh
membantu memperbaiki lokasi pencarian. Kajian simulasi arus lautan tadi
hanya sekadar mampu mengesahkan kebenaran bahawa kawasan carian
berkenaan adalah benar.
Yang pastinya, usaha dan teknologi carian
adalah mekanisme terpenting dalam usaha ini. Pada 2017, syarikat Ocean
Infinity iaitu peneraju utama industri teknologi laut lepas telah
membuat satu tawaran kepada Malaysia menggunakan perjanjian no cure, no
fee.
Sekiranya mereka mampu menemui pesawat MH370 di dasar
laut, mereka akan dibayar RM70 juta, sebaliknya jika gagal, tiada kos
yang perlu ditanggung. Syarikat ini mempunyai reputasi tersendiri
apabila menghasilkan teknologi yang mampu mempercepatkan pemetaan dasar
laut. Kawasan yang mengambil masa lebih dua tahun sebelum ini
pemetaannya diselesaikan dalam tempoh hanya tiga bulan.
Tetapi
hasilnya masih mengecewakan. Syarikat ini tidak menolak untuk
menyambung usaha yang sama dengan menggunakan teknologi lebih canggih di
masa hadapan. Segala kebolehan sains dan teknologi diusahakan sehingga
ke tahap maksimum untuk melangkaui keterbatasan yang ada pada kebolehan
manusia.
Pengamal penerbangan dan saintis bersetuju, ini
adalah pencarian paling sukar dalam sejarah. Lebih mencabar, teknologi
laut lepas bergerak amat perlahan memandangkan ia memenuhi keperluan
hanya kelompok pengamal yang kecil jika ingin dibandingkan dengan
teknologi lain yang bergerak begitu pantas kerana permintaan tinggi.
Menganjak sempadan sains, teknologi
Setakat
ini jawatankuasa tiga negara yang melakukan pencarian terpaksa akur,
bukan sahaja dengan usaha mereka, tetapi dengan kekangan data serta
teknologi yang ada. Kerajaan Malaysia menyatakan usaha pencarian
menggunakan sains yang terbaik, teknologi yang terkini dan juga sistem
simulasi paling canggih serta disandarkan dengan nasihat pakar dan
profesional yang paling mahir di dalam bidang berkenaan, malangnya masih
lagi menemui jalan buntu.
Namun, wakil dari Australia yang
mengetuai pencarian sebelum ini menyatakan tidak mustahil carian akan
diusahakan semula sekiranya ada maklumat baharu yang lebih jitu dan ia
dipersetujui Malaysia dan China.
Perkembangan sains dan teknologi
yang berkembang pantas memungkinkan sesuatu maklumat baru dapat
diperoleh pada masa akan datang. Biarpun proses pencarian sudah lama
dihentikan, ia bukanlah titik akhir bagi menemukan semula MH370.
Setakat
ini sudah banyak agensi asing menyatakan minat untuk menerokai kawasan
carian dengan kapasiti sendiri. Mereka dimotivasikan dengan peluang
mencuba teknologi baharu dan penerokaan sains di kawasan yang sebelum
ini diabaikan manusia. Ia sedikit sebanyak memberi petanda positif,
sekurang-kurangnya usaha ini tidak akan terhenti begitu saja.
Ada
benarnya kata-kata wakil keluarga mangsa MH370, industri penerbangan
berhutang jawapan kepada semua pengguna mereka selagi misteri ini tidak
terjawab.
Perkembangan sains dan teknologi moden akan menjadikan pencarian MH370 sentiasa relevan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu
Mampukah teknologi terkini temui MH370?
Written By zabidi on Monday, 11 March 2019 | 8:05 am
Labels:
Artikel
Post a Comment