Headlines News :
Home » » Ikut sunnah, adab meraikan Syawal

Ikut sunnah, adab meraikan Syawal

Written By zabidi on Sunday, 9 June 2019 | 10:18 am

Kehadiran 1 Syawal adalah anugerah dan kemenangan kerana kejayaan melaksanakan tuntutan agama yang juga antara lima Rukun Islam.

Ia diriwayatkan dalam hadis qudsi: “Semua amalan anak Adam adalah baginya kecuali berpuasa, ia hanya untuk Aku dan Aku menganugerahkan kepadanya dengan sebab puasanya itu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, harus diingatkan umat Islam perlu meneruskan disiplin dan adab seperti sepanjang Ramadan supaya Syawal tidak dicemari dengan amalan atau perbuatan yang tidak sepatutnya.

Meneladani amalan dan adab sambutan Syawal Rasulullah SAW perlu dilaksanakan, terutama untuk memastikannya tidak diisi dengan aktiviti sia-sia dan berunsur kemaksiatan.

Sambutan Syawal bertentang saranan agama

Pendakwah, Mohd Khairul Azman Md Daud, berkata umat Islam akhir zaman terdedah dengan sambutan Syawal yang lari daripada saranan agama seperti bermewah-mewah.

“Manusia tidak lari daripada sikap suka kelihatan gah sehingga ada berhabis duit untuk belanja raya sedangkan Rasulullah SAW meninggalkan kita dengan sunnahnya mengenai bagaimana Aidilfitri disambut.

“Ia hendaklah dilakukan dengan penuh kehambaan dan pengharapan, moga-moga ibadat dilaksanakan sepanjang Ramadan diterima Allah SWT,” katanya.

Antara sunah Rasulullah SAW dalam menyambut Syawal, kata Mohd Khairul Azman, adalah saling mendoakan antara satu sama lain ketika berkunjung atau bertemu sesama keluarga dan sanak-saudara.

“Kita disarankan dalam ucapan raya untuk melafazkan ‘taqabbalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud semoga Alah SWT menerima amalan kami dan ibadat kita semua.

“Hal ini diamalkan kerana sahabat Nabi SAW dan tabiin (pengikut sahabat) amat khuatir ibadat mereka sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT atau sebaliknya.

“Ulama terdahulu pula diketahui memanfaatkan Ramadan sebaiknya bahkan khatam al-Quran berpuluh kali, selain kerap berjaga pada tengah malam untuk melaksanakan qiamullail,” katanya.

Tambahnya, amalan yang dilaksanakan oleh sahabat, tabiin dan ulama silam ini realitinya amat sukar untuk kita capai apatah lagi ada yang masih bersifat acuh tidak acuh dalam melengkapkan ibadat Ramadan, termasuk culas menunaikan solat tarawih dan jarang membaca al-Quran.

Cara pemakaian

Mohd Khairul Azman berkata, kebiasaannya 1 Syawal menjadi medan untuk umat Islam kembali terdedah dengan pelbagai dosa, terutama dalam kalangan wanita.

“Rasulullah SAW mengajar kita supaya mengenakan pakaian yang mesti menutup aurat, barulah bertepatan dengan sunnah.

“Malangnya hari ini, ada wanita yang mengenakan fesyen yang terdedah. Ibarat mendapat penat sahaja ibadat Ramadan dilalui kerana sampai kepada Syawal, kita mula melakukan dosa kembali,” katanya.

Beliau menambah, anjuran Rasulullah SAW dalam soal pemakaian cukup sekadar mengkhususkan sehelai pakaian yang dipakai bagi tujuan tertentu sahaja dan tidak semestinya baju baharu.

“Maksudnya, Rasulullah SAW berkata, pakailah pakaian paling cantik yang ada dalam simpanan, jadi tidak bermakna wajib membeli pakaian baharu.

“Rasulullah SAW sendiri pada Aidilfitri mengenakan sehelai pakaian yang khusus kerana cuma dipakai ketika menunaikan solat Jumaat dan Syawal,” katanya.

Bagaimanapun, bagi yang berkemampuan untuk membeli pakaian baharu untuk anak-anak, tidak salah membeli asalkan berpada-pada.

Bagi sesetengah orang yang baju tahun sebelumnya sudah lusuh atau koyak sehingga dikhuatiri mengundang fitnah atau hinaan masyarakat, wujud keperluan membeli pakaian baharu.
Adab bersama ahli keluarga

Mohd Khairul Azman turut mengupas antara adab yang perlu diterapkan dalam kalangan ahli keluarga supaya penghayatan

Syawal dilaksanakan selari dengan ajaran Islam.

“Dalam meraikan Syawal, ada banyak perkara yang perlu diajarkan kerana kebanyakan kanak-kanak lebih memikirkan hal keseronokan semata-mata seperti mencari duit raya dan bermain bunga api.
“Dalam soal memberikan kanak-kanak duit raya, ia bukanlah satu masalah kerana antara lain boleh memotivasikan mereka untuk rajin menziarahi daripada rumah ke rumah.

“Cuma ibu bapa perlu ingatkan anak akhlak dalam ziarah, termasuk bersalaman dengan tuan rumah, menjamah makanan disediakan sebagai tanda hormat dan keperluan sifat malu supaya tidak meminta-minta duit raya,” katanya.

Beliau berkata, anak perlu diajar supaya sentiasa mensyukuri apa yang diperoleh seadanya termasuk tidak membandingkan jumlah duit raya yang diberikan antara rumah dikunjungi.

“Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak sepanjang Syawal kerana ada antara mereka menggunakan peluang ini bermain bunga api dan mercun hingga mengganggu ketenteraman masyarakat.

“Ia juga mengganggu jiran yang cuba melaksanakan rutin harian, sekali gus perbuatan sedemikian boleh mencemar keberkatan Syawal” katanya.

Katanya, kehadiran 1 Syawal juga perlu dihayati dengan nilai keinsafan terhadap penderitaan dan kesusahan sedang dihadapi umat Islam lain.

“Nikmat kekayaan, kemakmuran, keamanan, kesenangan dan keselesaan yang kita nikmati kini tidak akan kekal selama-lamanya kerana satu masa nanti semuanya akan musnah juga.

“Sepatutnya kita perlu memperbanyakkan syukur kerana hidup tidak diuji, bahkan untuk beribadah pun tiada sekatan atau halangan seperti dilalui masyarakat Islam di negara seperti Syria, Palestin dan etnik Uighur di China.

“Apa yang patut kita laksanakan adalah menzahirkan keprihatinan dan memberikan sumbangan setakat termampu seperti Rasulullah SAW sendiri yang sentiasa membantu golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin,” katanya.

Doakan kesejahteraan

Justeru, Mohd Khairul Azman meminta umat Islam mengambil sedikit masa untuk mendoakan kesejahteraan mereka supaya Allah SWT memelihara umat Islam yang sedang dizalimi.

“Sebagai tanda syukur, jangan pernah putus mendoakan semoga Allah SWT memelihara umat Islam di sana daripada terus dizalimi.

“Pada masa sama, antara tindakan terpuji yang boleh dilakukan dengan mengambil langkah berjimat cermat, sekali gus sentiasa bersederhana dalam sambutan Aidilfitri supaya memperuntukkan sedekah kepada golongan yang lebih memerlukan,” katanya
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER