HIPERTENSI atau tekanan darah tinggi adalah topik yang sering dibincangkan dengan meluas disebabkan peningkatan kadar penyakit terbabit dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu berkenaan maksud dan kesan buruk penyakit ini biarpun hipertensi menduduki tempat kedua sebagai penyakit paling berisiko mengakibatkan kematian di negara ini. Lebih buruk apabila dua pertiga daripada kes terbabit masih belum didiagnosis.
Penyakit ini juga digelar pembunuh senyap kerana tidak menunjukkan simptom yang ketara pada peringkat awal. Kajian menunjukkan hipertensi boleh mengakibatkan kerosakan dalam diam terhadap organ dalaman badan selama bertahun-tahun sebelum simptom timbul.
Malah, jumlah penghidap hipertensi di Malaysia dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas meningkat hingga 30 peratus populasi kumpulan umur terbabit, sekali gus menyebabkan bilangan kematian yang tinggi bagi penduduk negara ini mahupun di seluruh dunia.
Hipertensi juga dikenal pasti faktor risiko utama bagi penyakit strok. Ini kerana, peningkatan risiko mendapat strok berkait rapat dengan kedua-dua bacaan atas tekanan darah (sistolik) dan bacaan bawah (diastolik). Risiko kian bertambah apabila tekanan darah sistolik melebihi 140 milimeter merkuri (mmHg).
Pakar Perunding Neurologi, Dr Sng Kim Hock berkata, strok atau angin ahmar adalah masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat lalu menyebabkan bekalan oksigen ke sebahagian otak terganggu. Bahagian otak yang tidak menerima oksigen yang mencukupi menyebabkan sel-sel otak rosak atau mati.
“Bagaimanapun, ramai yang menganggap strok penyakit eksklusif untuk golongan tua berikutan majoriti penghidapnya adalah warga emas atau kumpulan yang berusia 50 tahun ke atas.
“Strok yang selama ini hanya dikaitkan dengan golongan tua sebenarnya boleh menyerang orang muda dalam lingkungan bayi sehingga kumpulan yang berusia bawah 45 tahun,” katanya pada sesi bicara kesihatan sempena Program Kesedaran Kesihatan: Memahami Darah Tinggi dan Strok anjuran Media Prima Bhd (MPB) di Balai Berita, New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur.
Dr Sng berkata, salur darah tersumbat disebabkan oleh beberapa faktor dengan faktor utama ialah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal. Tekanan darah yang tidak stabil menyebabkan salur darah terluka mengakibatkan reaksi luar biasa oleh sel-sel pembeku seterusnya bekalan darah ke otak terganggu.
“Kombinasi beberapa faktor ini menjadikan risiko untuk seseorang mendapat strok akibat salur darah tersumbat adalah tinggi.
“Bagi hipertensi pula, dua punca utama yang dikenal pasti adalah gaya hidup tidak aktif dan diet yang tidak teratur. Faktor lain termasuk isu keturunan, pengambilan makanan bergaram yang berlebihan, tekanan, ketagihan arak dan obesiti.
“Bagi mengurus penyakit hipertensi, adalah disyorkan untuk memeriksa tekanan darah dengan lebih kerap. Ini bagi mengetahui sekiranya ada sebarang lonjakan dalam bacaan dan sebagai rekod untuk memantau hipertensi secara konsisten,” katanya.
Katanya, bacaan yang diperoleh itu dapat membantu supaya berjaga-jaga dengan status kesihatan terkini, selain mengetahui teknik dan pengetahuan yang betul berkenaan pembacaan tekanan darah juga boleh bantu mencegah krisis hipertensi.
“Biarpun rawatan untuk penyakit ini bergantung pada faktor penyebabnya, rawatan untuk hipertensi boleh dilakukan dengan perubahan gaya hidup dan pengambilan ubat-ubatan seterusnya mencegah berlakunya strok,” katanya.
KENALI TANDA-TANDA STROK
F - Face drooping (Sebelah muka secara tiba-tiba mengalami rasa kebas atau lemah atau lumpuh. Minta pesakit senyum dan perhatikan sama ada senyumannya sekata)
A - Arm weakness (Sebelah tangan secara tiba-tiba mengalami rasa kebas atau lemah atau lumpuh. Minta pesakit angkat kedua-dua tangan dan perhatikan sebelah tangan yang layu)
S - Speech difficulty (Kesukaran bertutur atau percakapan tidak betul. Minta pesakit mengulang satu ayat mudah dan dengari, adakah ia disebut dengan betul)
T - Time to call (Jika seseorang menunjukkan mana-mana tanda-tanda berkenaan walaupun gejala berkurangan, segera hubungi talian kecemasan atau bawa pesakit ke hospital. Periksa masa tanda-tanda awal muncul)
Post a Comment